Sayang, kemunculan semula Lopez dalam filem selepas empat tahun menyepi dirasakan kurang impak. - Foto APPENYANYI dan pelakon yang terkenal dengan gestur menggiurkan, Jennifer Lopez kembali dengan filem terbarunya, The Back Up Plan selepas kali terakhir muncul di layar perak menerusi El Cantante dan Bordertown, hampir empat tahun lalu.Namun sayang, kemunculan semulanya dalam The Back Up Plan bukanlah sebuah karya terbaik yang boleh dikenang. Bukan persembahan Lopez tidak berkesan, cuma filem ini tidak banyak bezanya dengan kebanyakan filem-filem komedi romantik yang pernah dibintanginya termasuklah Maid In Manhattan (2002), Gigli (2003) dan Shall We Dance (2004). Filem arahan Alan Poul ini tidak lebih daripada sebuah naskhah komedi romantik yang biasa. Bahkan, persoalan dan subjek yang dikupas tentang isu cinta, perhubungan, dilema seorang wanita yang beberapa kali gagal dalam cinta tetapi punya keinginan untuk memiliki anak dirasakan terlalu klise.Sementelah, kupasan isu watak Zoe yang ingin mendapatkan anak sendiri tanpa berkahwin itu juga dilihat langsung tidak relevan dengan budaya Melayu dan agama Islam, khasnya.Bezanya, subjek itu dipersembahkan dalam jalur komedi romantik. Justeru, mungkin mesej yang cuba diserapkan, iaitu manipulasi karyawan Barat akan keterbukaan mereka terhadap isu sebegini dalam bentuk santai, ringan dan komedi ini membuatkan penonton terlepas pandang.Umumnya, plot The Back Up Plan bukanlah sebuah naskah yang 'sihat' untuk dibanggakan. Kupasan isu permanian beradas (artificial insemination) itu bukanlah satu subjek yang positif untuk dipromosi atau dicanangkan, terutamanya di kalangan penonton remaja Islam.Ingin juga ditegaskan, penulis bukan bersifat ortodoks, kolot atau prejudis menerusi pandangan ini, cuma apa perlunya menghargai sebuah karya yang tidak memberikan mesej yang baik kepada penonton.Bukan berniat untuk menghalang atau menegah sesiapa pun untuk menonton filem ini, namun subjek yang diketengahkan dalam The Back Up Plan tidak lebih daripada sebuah manipulasi atau kononnya keterbukaan masyarakat Barat terhadap isu sebegini.Lebih parah lagi, filem ini juga sarat dengan adegan-adegan ranjang yang tidak seharusnya dijadikan umpan oleh pengarahnya untuk memancing penonton. Mungkin pada mata kasar, orang mudah untuk berkata, "Apa yang hendak dihairankan, nama pun filem Barat".Bagaimanapun, jika didalami sepenuhnya penceritaan filem ini, rasanya banyak lagi pendekatan di luar kotak yang boleh dimanipulasi oleh Poul untuk mencerminkan keharmonian hubungan yang dijalani Zoe (Jennifer Lopez) dan Stan (Alex O'Loughlin).Terasa seperti sangat klise dan kuno melihat paparan visual di ranjang dan kamar tidur yang dipaparkan beberapa kali sepanjang durasi filem ini. Sekalipun filem ini diklasifikasikan untuk penonton berusia 18 tahun ke atas, adakah bahan sebegini sesuai untuk ditonton oleh remaja Islam (khasnya) yang sememangnya 'tenat' dihimpit gejala sosial hari ini?Cuma, pujian tetap perlu dilayangkan pada kemunculan Lopez dan olahan filem yang menghiburkan ini. Walaupun lakonan Lopez mahupun plot filem ini terlalu biasa dan tiada impak, ia masih membuai kita yang menontonnya.Sekurang-kurangnya, ia mengubat kerinduan para peminat lakonan Lopez yang sudah lama menantikan kemunculannya di layar perak. Jangan terlepas menyaksikan babak-babak lakonan bersahaja Lopez yang pastinya mencuit hati penonton.Bagi pasangannya O'Loughlin pula, lakonannya sebagai Stan itu bersifat sederhana sahaja. Memang diakui, secara visualnya, aktor dari Australia ini punya pakej yang menarik untuk ditonton, namun sisi lakonannya mudah dilupakan.Secara ringkas, The Back Up Plan yang mengupas tentang isu cinta, perkahwinan dan kekeluargaan ini mengisahkan tentang Zoe yang terdesak untuk bergelar ibu telah memutuskan untuk menjalani proses permanian beradas selepas gagal menemui lelaki terbaik untuk dijadikan teman hidup.Dilema tercetus apabila Zoe bertembung dengan Stan dan mula jatuh hati dengan jejaka itu pada hari yang sama ketika dia bersetuju untuk menjalani proses itu.The Back Up Plan kini ditayangkan di pawagam bermula 1 Julai 2010.