Percubaan sulung Zul Suphian di layar perak tidak mengecewakan sebagai Muzir. - Foto BRIAN MOHBERAT untuk mengakuinya, namun harus dipersetujui bahawa filem terbaru terbitan MIG Production, Mantra lebih baik daripada mana-mana filem seram terbitan produser syarikat itu yang terdahulu.Ia bukan sebuah filem seram yang terlalu menakutkan atau mengejutkan, namun resipi yang diketengahkan dalam Mantra agak menarik. Dek kekuatan jalan cerita itu sendiri, pengarahnya Azhari Zain tidak perlu terikat dengan gaya dan pendekatan yang digunapakai oleh beberapa pengarah judul-judul seram di bawah label MIG sebelum ini.Maksudnya, elemen seram yang dibina dalam Mantra bersifat lebih semulajadi dan meresapi penonton secara perlahan-lahan tanpa perlu mengejutkan penonton secara paksa atau 'melacurkan' pelbagai jenis hantu seperti mana filem-filem mereka terdahulu.Paparan dan plot Mantra juga agak berbeza. Subjek sihir, jampi serapah, mistikal, dendam dan elemen anti-hero yang dipertaruhkan sebagai plot penceritaannya punya tarikan tersendiri.Malah, ia diperkuatkan lagi dengan lakonan barisan pelakon yang meyakinkan. Pertaruhan MIG menerusi Zul Suphian atau Zul (Handy Black) sebagai teraju utama adalah satu percaturan yang layak dipuji.Sebagai pendatang baru dalam dunia lakonan, Zul menterjemahkan watak Muzir dengan baik dan menepati tuntutan naskhah itu.Gestur tubuh dan ungkapan dialognya berkesan. Paling menarik, Zul juga bijak menggunakan kelebihan air mukanya yang dingin dan misteri itu untuk menimbulkan lebih unsur dramatik, benci dan ngeri setiap kali kemunculannya di skrin.Malah, Zul yang ditemui sejurus selesai pra tonton filem itu baru-baru ini, mengakui pemilihannya sebagai pelakon utama bukanlah kerana tarikan komersial tetapi dek paras rupa 'bajingan' dan mistikal yang dimilikinya.Jika Zul berkesan mempamerkan watak Muzir, pemilihan Hasnul Rahmat yang memainkan watak seterunya, Hasbi juga tidak mengecewakan. Kredibiliti Hasnul memang tidak perlu dipertikaikan.Permainan emosi dan ekspresi wajahnya sebagai ustaz yang berhati 'hitam' itu berkesan. Malah, ketenangan dan redup wajahnya yang dibaluti rahsia itu menimbulkan tanda tanya akan kebenaran di sebalik permusuhannya dengan Muzir.Sementara, pendatang baru Ana Dahlia yang memainkan watak Rindiani pula dilihat sekadar menghiasi plot. Memainkan watak isteri kepada Muzir yang kemudiannya bertukar tangan menjadi isteri Hasbi, Ana kurang menyerlah menterjemahkan Rindiani.Pembinaan watak itu sebenarnya istimewa dan penting dalam konflik dan dendam antara Muzir dan Hasbi, tetapi sayangnya Ana tidak diberikan tunjuk ajar sebaik mungkin untuk mempamerkan watak isteri yang penuh dilema, rindu dendam dan dingin itu.Perjalanan Ana masih jauh dan keberaniannya mencuba sebaik mungkin watak Rindiani itu harus dipuji. Cuma, jika Azhari dan produksi tidak mengambil jalan mudah dengan mengeksploitasi tubuh Ana, tentu persembahan Mantra menjadi lebih tulus dan jujur.Filem yang menampilkan Zul Suphian, Hasnul Rahmat, Ana Dahlia, Hamdan Ramli, Bob Lokman dan ramai lagi ini mengisahkan tentang penggunaan ilmu hitam yang diamalkan oleh dua sahabat, Muzir dan Hasbi kerana dendam dan kepentingan diri sendiri.Kisah bermula apabila Muzir dianiaya oleh Hasbi demi melengkapkan ilmu hitamnya serta mendapatkan isteri Muzir. Akibatnya Muzir dipenjarakan seumur hidup. Di dalam penjara, Muzir berjaya mendapatkan ilmu hitam daripada Embah (Ruzaidi Abdul Rahman). Namun, ilmu Muzir tidak sempurna kerana bilik penjaranya dikunci dengan ayat-ayat dan kalimah Allah.Muncullah Pak Long (Hamdan Ramli), seorang warden penjara dan juga pakcik kepada Muzir datang membantu melepaskannya dari penjara. Maka bermulalah pembalasan dendam kesumat Muzir terhadap Hasbi.Sinematografi filem ini yang menggunakan teknik cinemascope (julung kali di Malaysia) menaikkan gred visual filem ini. Terbukti, penggunaan teknik itu berkesan dalam penceritaan Mantra.Sayangnya, sentuhan Azhari tidak seperti yang diharapkan. Bukan kerjanya tidak bagus, cuma bagi penulis yang sudah meneliti skrip asal filem itu, garapan Azhari dirasakan tidak 'sampai' dan kurang mencengkam. Sudahnya, perjalanan filem berdurasi satu jam 26 minit itu dirasakan hambar dan membosankan.Paling meralatkan, babak kemuncak yang menyaksikan pertarungan dua sahabat lama (Muzir dan Hasbi) itu kelihatan tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga. Ia sepatutnya menjadi babak tersengit dan penamat yang signifikan dalam Mantra.Bariskanlah judul-judul MIG seperti Mistik, Potret Mistik, Jangan Pandang Belakang, Congkak atau Santau sekalipun, penangan Mantra memang berbeza.Cuma, kalau pengarahnya lebih 'tajam' mengupas plot dan menggarap naskhah ini, pasti Mantra akan jadi lebih berkesan, kemas dan mencengkam. Namun, untuk konteks filem Melayu, apa yang dilakukan oleh Azhari itu tetap boleh dipuji.Setidak-tidaknya, penerbit David Teo masih boleh tersenyum bangga apabila mempertandingkan filem ini di Festival Filem Malaysia yang akan datang.Mantra ditayangkan di pawagam bermula 15 Julai 2010.