Tiga tunggak utama yang mewarnai komedi Ngangkung (dari kiri) Azad Jasmin, Shaheizy Sam dan Angah (Raja Lawak).TABIAT gila judi nombor ekor bukan subjek asing dalam masyarakat mahupun khazanah seni kita. Jika diimbas kembali, subjek ini sebenarnya pernah diangkat dalam beberapa judul filem dan drama tempatan.Cerita sebegini adalah rencah dan realiti masyarakat. Malah, mungkin tidak keterlaluan dikatakan ia adalah refleksi kepada amalan hidup segelintir daripada kita. Paling diingati, tokoh filem negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sendiri pernah memaparkan tema ini dalam salah sebuah filem arahannya iaitu Ragam P. Ramlee (1964).Salah satu filem pendek yang dimuatkan dalam filem itu berjudul Minta Nombor Ekor mengetengahkan perihal tabiat berjudi di antara dua sahabat lakonan P. Ramlee dan Raden Sudiro.Pada era 80an pula, filem komedi Sikit Punya Gila (1982) lakonan Dharma Harun dan Hamid Gurkha turut memaparkan perihal kaki judi sebagai rencah cerita.Terbaru, filem berjudul Ngangkung sekali lagi memilih subjek tersebut dan hasilnya boleh disifatkan sebagai sebuah filem komedi yang baik.Menurut Kamus Dewan, ngangkung bermaksud perbuatan bercangkung sambil melakukan pemujaan. Mungkin ia kedengaran pelik dan asing, namun perihal itu cekap dieksploitasi dalam menzahirkan hidangan komedi yang selamba, menghiburkan dan bermesej.Ngangkung mengungkap kisah tiga sahabat iaitu Azim, Wan dan Tasnim yang menjalani kehidupan sederhana di samping keluarga masing-masing. Atas keinginan untuk mengubah nasib dan meningkatkan taraf hidup dengan jalan mudah, mereka terjebak dengan amalan ngangkung untuk mendapatkan nombor ekor.Pembabitan mereka dalam amalan itu hanya mengundang padah apabila perkara yang tidak diingini berlaku sehingga memporak-perandakan kehidupan mereka dan keluarga masing-masing.Bagaimanapun, kekuatan Ngangkung bukan didasari oleh subjek itu semata-mata tetapi kaedah penceritaan serta garapan yang menarik, selamba dan ringkas itu yang memikat.Sebagai percubaan sulung pengarah baru Ismail Bob Hasim (Bob) di layar perak, anak jati Klang, Selangor ini bertuah kerana penyampaian Ngangkung dikemudi oleh tiga pelakon utama yang bijak mencorak watak.Kredibiliti Shaheizy Sam atau Sam yang mula mencuri tumpuan selepas kejayaan watak komedinya dalam Adnan Semp-it (2010) terus meyakinkan menerusi penterjemahan komedi yang berbeza kali ini.Sam yang menggalas watak Azim, seorang bapa yang pelik dan kaki nombor ekor menarik perhatian menerusi mimik muka yang pelik dan ton suara yang dalam serta diselangi gestur tubuh yang spontan.Pendek kata, kelancaran filem ini sebenarnya bertitik-tolak daripada kemampuan Sam mengemudi perjalanan Ngangkung.Melengkapi Sam, dua lagi pelakon iaitu Azad Jasmin dan Angah (Raja Lawak) yang pertama kali diberi peluang sebagai teraju utama juga tidak canggung mewarnakan cerita.Yang jelas, keserasian ketiga-tiga pelakon ini tersulam dengan baik dan spontan, tanpa perlu berhempas-pulas untuk menggeletek penonton.Faktor ini sekaligus menjadikan paparan komedi yang mendasari filem ini seronok dan senang untuk dinikmati.Filem terbitan MiG ke-42 ini turut membariskan Putri Mardiana, Eira Syazira, Mazlan Ahmad, Farisya Fatin dan Azlee Jaafar.Filem Ngangkung kini ditayangkan di pawagam bermula 25 November 2010.