suria

'The King’s Speech' Kisah Penuh Kagum

Colin Firth memegang watak Bertie/King George VI dalam The King's Speech.
Colin Firth memegang watak Bertie/King George VI dalam The King's Speech.
Colin Firth memegang watak Bertie/King George VI dalam The King's Speech.

FILEM: The King’s Speech ARAHAN: Tom Hooper LAKONAN: Colin Firth, Geoffrey Rush, Helena Bonham Carter, Guy Pearce, Michael Gambon dan Timothy Spall GENRE: Drama/Sejarah DURASI: 118 minit EDARAN: Golden Screen Cinemas TAYANGAN: 17 Februari 2011

TERLALU banyak faktor yang menjadi kekuatan filem The King’s Speech (TKS) sehingga mendapat pengiktirafan di merata anugerah filem.

Pada permukaannya, filem arahan Tom Hooper ini mungkin dilihat seperti sebuah paparan kisah raja gagap dalam lingkungan landskap kehidupan monarki British.

Hakikatnya, TKS adalah sebuah drama kemanusiaan yang dilingkari kasta diraja dan fakta sejarah.

Monarki British itu sekadar subjek pertaruhan. Jika dikikis tema itu, TKS sebenarnya adalah ceritera kehidupan yang mungkin berlaku pada diri kita, keluarga, teman mahupun jiran yang kita kenali.

Kupasan isu persahabatan yang terjalin antara Bertie dan Logue, dilema Bertie untuk menerajui negara serta kesungguhan dan kecekalannya sehingga dapat menguasai kegagapan dan keyakinan diri adalah sub-teks yang cukup ekstravaganza.

Aspek lakonan adalah nyawa filem ini. Barisan nama besar seperti Colin Firth, Geoffrey Rush dan Helena Bonham Carter bijak memacu penceritaan TKS.

Berdasarkan merit pada aksi dan penterjemahan tiga bintang ini, kita tidak mampu menyangkal kecemerlangan mereka menggalas peranan yang diamanahkan.

Selaku bintang utama, kredibiliti Firth sebagai Bertie yang seterusnya ditabalkan sebagai King George VI berada pada kelasnya tersendiri.

Berbaloi dengan komitmen jitu Firth menterjemahkan karakter lelaki gagap yang hilang keyakinan diri, Firth berjaya merangkul anugerah Aktor Terbaik di Golden Globes dan BAFTA.

Melihatkan rantaian penganugerahan yang memihak kepadanya, mungkin tidak mustahil jika Firth diangkat pula pada Anugerah Oscar ke-83, 27 Februari depan.

Selesa di sisi Firth, aktres Helena Bonham Carter juga berkesan menggayakan watak Elizabeth, isteri kepada Bertie.

Lagak, gaya dan gestur tunang kepada pengarah filem tersohor Tim Burton ini sebagai kerabat diraja memang memikat dan bersahaja.

Selain Firth dan Bonham Carter, dua bintang Australia iaitu Geoffrey Rush (sebagai Lionel Logue) dan Guy Pearce (David/King Edward VIII) turut memukau.

Aktor veteran Geoffrey Rush yang popular menerusi filem francais Pirates of the Carribean ini tajam dan tepat dalam menjelmakan karakter ahli terapi gagap yang cekal, berani dan optimistik.

Sehinggakan pada sesetengah babak, cengkaman Rush yang cekap menerajui watak Logue dirasakan cukup besar sehingga mampu membayangi kehadiran Firth.

Turut layak dipuji adalah Pearce yang mendukung watak sebagai abang kepada Bertie iaitu David/King Edward VIII. Pearce mempamerkan reaksi kegelisahan, dilema dan sinikal dengan baik sekali.

Kecelaan pada aspek ketepatan fakta dan kronologi sejarah adalah sesuatu yang mampu dimaafkan.

Sekalipun ada yang berpandangan beberapa fakta dalam TKS seolah-olah ‘diperkemaskan’ daripada fakta sebenar, ia masih boleh diterima kerana penghuraian naskhah ini divisualkan dengan baik dan bukan ditokok-tambah.

Menariknya juga di sebalik skrip David Siedler ini, TKS dibina berinspirasikan kisah kegagapan King George VI yang turut dideritai oleh Siedler dalam kehidupan sebenarnya.

Mungkin atas dasar itu, penekanan yang diberikan oleh Siedler pada aspek itu tampak telus dan jujur sehingga melayakkan ia tercalon untuk kategori Lakonlayar Asal Terbaik di Anugerah Oscar.

Berinspirasikan kisah benar Raja British, King George VI yang memerintah pada era 1936 hingga 1952, TKS menjejaki kronologi hidup pemerintah diraja itu dalam usahanya untuk mengatasi masalah kegagapan yang dideritainya.

Bertie (Colin Firth), anak lelaki kedua King George V (Michael Gambon) merupakan seorang anak raja yang pemalu dan tiada keyakinan diri ekoran kegagapannya.

Dalam keadaan terdesak British yang berada di ambang peperangan untuk mendapatkan raja baru, isteri Bertie iaitu Elizabeth (Helena Bonham Carter) bertindak mengaturkan pertemuan suaminya dengan seorang ahli terapi pertuturan, Lionel Logue (Geoffrey Rush) bagi mengatasi kelemahan tersebut.

Perhubungan Bertie dan Lionel yang bermula dengan tegang bagaimanapun menjadi kian erat menerusi teknik terapi secara santai yang diperkenalkan Logue.

Bertie akhirnya mampu mengatasi kegagapannya itu ketika menyampaikan amanat penting kepada seluruh rakyat dan jajahan takluk British menerusi siaran radio.

Sejujurnya, harus diperakui bahawa filem bercorak sebegini bukan dibikin untuk memenangi hati umum. Kandungan cerita dan rentak TKS yang perlahan pasti mengundang kebosanan pada segelintir pihak.

Namun, bagi penonton yang menghargai sebuah naskhah yang matang dan kompleks, maka TKS adalah wadah yang mampu buat anda terkedu kerana kagum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain