suria

Idea Seram 'Senjakala' Kurang Menyengat

TATKALA menonton filem garapan pengarah prolifik Ahmad Idham ini, rasanya sudah tiba masanya untuk Ahmad Idham berhenti seketika menghasilkan filem seram.

Bukannya mahu mengutuk, cuma apa yang dihasilkan dalam filem Senjakala kurang menyengat seperti filem seram arahan pertamanya, Jangan Pandang Belakang yang dihasilkan pada tahun 2007.

Apa yang OopStarz! dapat lihat, sejak filem Damping Malam dihasilkan (sebelum Senjakala), Ahmad Idham seperti tidak mempunyai idea untuk digarap dalam filem serammya dan ia seperti diulang semula seperti yang pernah dilakukan dalam filemnya sebelum ini.

Memang benar, bukan mudah untuk menghasilkan filem seram kerana ia memerlukan idea yang kreatif serta fakta yang kuat setiap kali penerbitan filem seperti ini dihasilkan.

Namun, bagi penonton setia yang biasa menonton filem-filem seram Ahmad Idham, taruhan Senjakala dianggap sebagai sebuah naskhah yang biasa dan tidak begitu seram jika ditonton.

Lebih-lebih lagi dengan kehadiran filem dan drama seram yang terlalu banyak juga boleh membuatkan penonton tidak hairan dengan idea seram yang ditonjolkan.

Mengisahkan seorang gadis bandar, Karlisa, lakonan Liyana Jasmay yang sering diburu mimpi aneh dan menakutkan selepas kematian tunangnya akibat kemalangan jalan raya.

Mimpi tersebut seperti sedang memanggil-manggilnya untuk pulang ke kampung halaman, Kampung Senja Kala, yang sudah lama ditinggalkan oleh ibu bapanya.

Karlisa pula tidak mempunyai pengetahuan yang jelas kenapa mereka (ibu bapa Karlisa) melarangnya ke kampung tersebut.

Bagaimanapun, Karlisa berdegil dan pergi ke kampung itu bersama teman baiknya, Isabella (Faezah Elai) untuk bertemu dengan neneknya, Opah Maimun (Ruminah Sidek), tanpa memberitahu ibu bapanya. Namun kehadiran kedua-dua mereka tidak di senangi oleh penduduk kampung itu.

Karlisa dan Isabella dicemuh sehinggalah Karlisa bertemu dengan seorang pemuda kampung misteri, Arman.

Persoalan Karlisa tentang mimpi anehnya itu terjawab setelah Arman yang menceritakan hal sebenar di mana ibu Karlisa cuba menjauhi Opah Maimun kerana tidak mahu mewarisi saka yang dipelihara dan atas dasar simpati, bapa Arman merelakan dirinya dihuni saka tersebut buat sementara waktu sehinggalah ia bertemu dengan pewaris sebenar.

Kemudian, selepas kematian bapanya, Arman pula yang menjaga saka tersebut dan mengikut perjanjian, Karlisa perlu mengambilnya semula.

Demi cinta, Karlisa tidak mahu Arman menanggung beban lagi dan nekad untuk mewarisi saka tersebut. Pada masa yang sama juga, Arman dan ketua kampung Senja Kala telah merancang untuk memusnahkan perjanjian tersebut sejurus sahaja saka itu diturunkan kepada Karlisa.

Senjakala juga mengingatkan OopStarz! kepada filem Hollywood iaitu Twilight. Hal ini turut diakui Idham yang mengambil sedikit inspirasi filem tersebut tentang kuasa mistik, konflik dan cinta.

Secara keseluruhannya, pemilihan pelakon yang bagus ternyata membantu menguatkan penceritaan filem ini.

Selain itu, Senjakala juga harus dipuji kerana filem tersebut menggunakan sistem bunyi canggih dari Studio Digital Mixstage di Finas dan bukannya dari luar negara yang sering dilakukan oleh penerbit-penerbit filem tempatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain