suria

Rodrick Rules,hiburan komedi kanak-kanak

Zachary Gordon
Zachary Gordon
Zachary Gordon

FILEM: Diary Of A Wimpy Kid: Rodrick Rules

ARAHAN: David Bowers

LAKONAN: Zachary Gordon, Devon Bostick, Rachael Harris, Robert Capron, Peyton List

GENRE: Komedi

DURASI: 1 jam 40 minit

EDARAN: 20th Century Fox

TAYANGAN: Bermula 26 Mei 2011

FILEM komedi kekeluargaan terbaru, Diary of A Wimpy Kid: Rodrick Rules (DOAWKRR) tidak memerlukan plot yang ekstravaganza untuk menjadi sebuah filem yang baik.

Karya yang diadaptasi daripada siri kedua novel popular tulisan Jeff Kinney dengan judul yang sama ini mengupas sambungan perjalanan hidup kanak-kanak sekolah bernama Greg Heffley lakonan Zachary Gordon.

Fokusnya kali ini berlegar pada cabaran Heffley dengan dilema cinta dan misi untuk mengeratkan hubungan yang renggang dengan abangnya.

Menerusi plot seringkas itu, pengarahnya David Bowers berhak dipuji kerana cekap memaparkan sebuah komedi yang mengasyikkan dan berkualiti.

Malah, secara kolektifnya, hidangan Bowers dalam filem sekuel ini lebih baik dan mencuit hati daripada filem pertama siri itu yang dihasilkan pada 2010.

Biarpun perjalanan DOAWKRR bermula dengan lemah dan perlahan, momentum filem dilihat beransur baik menjelang pertengahan plot dan ke titik akhir.

Ini sekali gus menjadikan filem ini sebuah komedi yang semula jadi dan padat dengan mesej positif dalam sulaman visual yang mencuit hati.

Mungkin ada yang menganggap tiada elemen yang benar-benar baru atau unik diketengahkan. Bahkan, apa juga sub-plot yang mendasari naratif DOAWKRR hanyalah satu ilustrasi tipikal kehidupan seorang anak remaja yang sedang membesar.

Pun begitu, yang menarik dan mengukuhkan perjalanannya adalah persembahan bersahaja dan memberangsangkan daripada para pendukungnya.

Pelakon cilik Zachary Gordon selaku nadi filem bernama Greg Heffley bukan saja kelihatan comel dan mengasyikkan pandangan, malah kesederhanaan dan kecekapannya menterjemahkan permainan watak itu menjadi kekuatannya.

Dilema Greg yang menaruh hati pada rakan sekolahnya Holly, namun tidak punya keberanian untuk meluahkan perasaannya itu adalah sesuatu yang meyakinkan.

Aksi Gordon itu segera mengimbas keberkesanan lakonan Frankie Muniz dalam siri popular Malcolm In The Middle, satu ketika dulu.

Lebih mewarnai DOAWKRR, kehadiran teman rapatnya Rowley Jefferson (Robert Capron) yang tembam dan spontan itu turut menarik perhatian.

Kita sedia maklum, naskhah ini hanyalah sebuah komedi kekeluargaan yang serba ringan tapi padat dengan mesej.

Justeru, jika ada yang mengharapkan sesuatu yang lebih daripada filem ini, ia adalah sesuatu yang tidak wajar.

DOAWKRR dibikin sedemikian rupa untuk dinikmati para peminat komedi dan merupakan sebuah tatapan ringkas seorang kanak-kanak yang kita semua pernah dan bakal lalui.

Ringkasnya, DOAWKRR berkisar tentang Greg yang kian membesar dan kini berada di gred ketujuh di sekolahnya.

Kali ini, Greg yang semakin yakin pada dirinya mula jatuh hati pada gadis yang baru berpindah ke sekolahnya iaitu Holly Hills (Peyton List).

Di rumah pula, hubungan Greg yang semakin renggang dengan abangnya Rodrick (Devon Bostick) memaksa ibu mereka Susan (Rachael Harris) memperkenalkan sistem ‘Mom Bucks’ untuk mengeratkan kembali hubungan itu.

Mampukah sistem tersebut menyuburkan semula hubungan adik-beradik ini dan berjayakah Greg memikat gadis impiannya itu, jawapannya akan terbongkar dalam DOAWKRR.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain