suria

Adiwira Green Lantern Kurang Menyengat

FILEM: Green Lantern

ARAHAN: Martin Campbell

LAKONAN: Ryan Reynolds, Blake Lively, Mark Strong, Peter Sarsgaard

GENRE: Aksi, fiksyen sains

DURASI: 1 jam 54 minit

EDARAN: Warner Bros. Pictures

TAYANGAN: Bermula 16 Jun 2011

ADA yang kurang dan tidak kena pada filem adaptasi DC Comics berjudul Green Lantern (GL) ini.

Bukan kerana plotnya tidak menarik atau membosankan, cuma sebagai sebuah filem adaptasi komik yang dinantikan, GL tidak menjelma segah yang diharapkan.

Mungkinkah kerana penanda aras yang tinggi telah dipasakkan oleh filem X-Men: First Class sebelum ini seolah-olah menghukum GL sehingga ia dirasakan kurang menyengat.

Hakikatnya, tiada kecelaan total pada plot mahupun garapan filem ini. Mungkin yang mengecewakan adalah teknik penceritaan dan penyampaiannya yang dilihat dangkal, longgar dan kurang utuh.

Pengarahnya, Martin Campbell memang diperakui sebagai antara bilangan pengarah yang berkarisma di Hollywood.

Menerusi beberapa filem arahannya seperti Casino Royale (2006), Beyond Borders (2003), Vertical Limit (2000) dan GoldenEye (1995), Campbell terbukti berwibawa dalam mencorakkan sebuah filem yang baik.

Namun, sentuhannya agak kecundang kali ini. Bukan tiada kualiti cuma kurang rasa seperti yang pernah dihidangkan dalam filem-filem terdahulu.

Penyampaian GL dirasakan agak rapuh dan serba canggung, lantas menimbulkan perasaan tidak puas bagi yang menaruh harapan tinggi.

Lebih malang lagi, kerapuhan itu tidak hanya dihidu pada perjalanan GL dan aspek pengarahan malah ia turut dikesan pada keupayaan bintang utama Ryan Reynolds (The Proposal, Buried) dalam menggalas dwi-watak iaitu Hal Jordan/Green Lantern.

Sebagai Hal Jordan, Reynolds dilihat agak meyakinkan memacu watak juruterbang ujian yang bongkak dan cekap. Namun, kemanisan watak itu bertukar kelat apabila melihatkan susuk tubuhnya sebagai adiwira Green Lantern.

Bukannya Reynolds gagal tampil sebagai hero. Penampilan fizikalnya yang sasa dan segak itu sudah memadai untuk watak adiwira. Cuma penterjemahan dan gerak-gerinya tampak goyah dan canggung sebagai GL.

Justeru itu, selain pakej tubuh yang sasa dan menarik, pesonanya sebagai adiwira tidak meninggalkan impak.

Atau mungkinkah kerana kejituan aktor Michael Fassbender sebagai Magneto dalam X-Men: First Class, lantas mengundang keraguan pada kebolehan Reynolds bergelar adiwira?

Tambah mengecewakan apabila watak Senator Hammond lakonan aktor berkarisma Tim Robbins (The Shawshank Redemption) kelihatan tidak ubah seperti seorang bapa yang 'menyedihkan' dan gagal menonjol.

Mujurlah, watak antagonis Hector Hammond lakonan Peter Sarsgaard (Jarhead, Knight and Day) dilihat lebih menonjol dan secara tidak langsung mengaburi si hero.

Kejelitaan aktres Blake Lively (Gossip Girl) sebagai Carol Ferris, teman baik Hal Jordan juga diimbangi dengan lakonan yang meyakinkan dan bersahaja.

GL bukanlah sebuah adaptasi yang bersifat binasa, cuma penterjemahannya ke bahasa filem saja dilihat tidak seutuh jenama adiwira itu dalam rangkaian siri komik yang diminati ramai.

Pun begitu, sebagai filem pengenalan kepada ikon hero ini, kesederhanaan GL itu masih boleh dikompromi.

GL berkisar pada kisah seorang juruterbang ujian bernama Hal Jordan (Ryan Reynolds) yang diwariskan sebentuk cincin hikmat berwarna hijau oleh pahlawan angkasa lepas iaitu Abin Sur.

Menerusi cincin tersebut, Hal Jordan mendapat kuasa menjadi adiwira Green Lantern. Namun, mampukah dia menggalas tanggungjawab besar sebagai polis di galaksi dan menjalani hidup seperti manusia normal di bumi?

Adakah Green Lantern berjaya menewaskan makhluk jahat bernama Parallax? Jawapannya akan terungkai jika anda menonton GL.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain