FILEM: Jangan Pandang-PandangARAHAN: Ahmad idham LAKONAN: Zizan Razak, Sara Ali, Nas-T, Miera Leyana, Anith Aqilah, Azhar Sulaiman dan Tai.GENRE: Komedi SeramDURASI: 1 jam 30 minitTERBITAN: Excellent PicturesTAYANGAN: 29 Mac 2012 TINGGAL seminggu sahaja lagi tayangan filem arahan Ahmad Idham, Jangan Pandang-Pandang (JPP) di pawagam dan jumlah kutipan yang di kumpul setakat 10 April 2012 hanyalah RM1.2 juta.Tidak seperti filem Hantu Bonceng garapan pengarah ini berjaya meraih RM8.53 juta. Masih jauh lagi jika mahu mengejar kutipan itu.Berdasarkan apa yang telah ditonton, filem ini tidak banyak bezanya dengan karya Idham sebelum ini.Sukar untuk mengatakan sama ada ia adalah sebuah naskhah yang bagus atau tidak kerana setiap penonton masing-masing mempunyai cita rasa yang tersendiri dalam menilai sesebuah karya filem.Dan pada pendapat penulis, filem ini ada yang menariknya dan ada yang tidak.Mengekalkan Zizan Razak sebagai peneraju utama dalam JPP, wataknya sebagai Ajis, ketua kumpulan bersama rakan-rakannya, Ben (Nas-T), Yaya (Sara Ali) dan Diana (Anith Aqilah) ditugaskan untuk membuat satu tugasan mengumpul maklumat dan data tentang artifak-artifak di Gua Bewah, Tasik Kenyir.Tugasan berkumpulan memaksa mereka mencari ahli kumpulan kelima, seorang pelajar jurusan sama tetapi dari kampus lain bernama Marsha (Miera Leyana), seorang gadis gothik yang penuh misteri.Marsha mengakui yang dia boleh membantu kumpulan itu membuat kajian dan penemuan-penemuan artifak di kawasan gua yang tidak pernah dimasuki manusia moden.Tiba di jeti Tasik kenyir, mereka bermalam di dalam sebuah rumah bot kepunyaan seorang lelaki misteri bernama Abang Bob.Plot cerita bermula apabila perkara-perkara misteri mula berlaku, lebih-lebih lagi apabila Marsha telah menjumpai artifak tersebut, Yaya dirasuk dan Abang Bob menghilangkan diri meninggalkan kumpulan itu di tengah tasik.Ingin saya kupaskan dahulu isu menariknya, naratif penceritaan filem ini senang difahami dan seperti biasa, Idham bijak mengadun babak demi babak untuk disesuaikan dengan situasi jalan cerita.Saya difahamkan, filem ini banyak dipotong oleh pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) kerana menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang kononnya boleh mengundang sensitiviti.Watak Ajis sangat menghiburkan kerana lakonan komedi Zizan dalam filem ini ada berbeza dengan lakonannya dalam filem-filem lain.Karakter Ajis yang agak melebih-lebih dengan sedikit unsur ego dan sombong, tetapi lucu, menunjukkan sisi lawak lain Zizan.Sara Ali juga bagus lakonannya, watak Yaya yang mencintai Ajis dalam diam pada mulanya, menjadi. Ditambah pula dengan lakonan komedi secara neutral menarik perhatian penonton, kerana sebelum ini Sara banyak melakonkan watak-watak yang agak serius.Miera pula, solekan ala ghotik yang ditonjolkan sangat sesuai dan menarik cuma lakonannya tidak cukup kuat dan kurang penjiwaan lagi tetapi tidaklah sampai mencacatkan perjalanan filem tersebut.Menariknya tentang filem ini ialah apabila Yaya dirasuk dan Ajis cuba menyelamatkannya dengan memasang lagu “Wassini”, nyanyian Wahida, menggunakan telefon Blackberry (BB) miliknya.Sesuatu yang agak berbeza untuk ditonjolkan. Walaupun pada asalnya, Idham memaparkan ayat-ayat Al-Quran, dan ia disunting semula di saat akhir atas arahan pihak LPFM, pemilihan lagu “Wassini” berjaya mencuit hati penonton yang tidak akan terfikir Ajis akan membuat begitu.Sebenarnya, babak ini besar mesejnya, di mana penggunaan ayat-ayat Al-Quran sudah tidak lagi terbatas hanya di dalam buku semata-mata, sebaliknya di zaman serba canggih, ayat-ayat suci itu juga boleh digunakan menerusi telefon bimbit ataupun tablet, mengikut teknologi semasa.Ada juga babak-babak lain yang menggeletek hati penonton dengan lawak spontan para pelakon, Idham akan memastikan mesej-mesej berguna kepada penonton kekal diterapkan lebih-lebih lagi mengenai tanggungjawab seorang pemimpin, jangan bersikap riak serta semangat setia kawan.Tidak lupa juga tentang sinematografinya, Idham mencuba sesuatu yang baru apabila babak-babak yang dibikin akan dihiasi dengan latar belakang Tasik Kenyir yang sangat cantik.Sementara itu, apa yang kurang menariknya tentang JPP ialah, apabila hantu-hantu yang ditonjolkan membuatkan penonton sukar memberi reaksi sama ada mereka perlu gelak sakan kerana lawak yang hantu-hantu itu lakukan atau hanya melihat dengan seribu persoalan, apa motifnya makhluk-makhluk berkenaan berbuat demikian.Bahagian ini, saya harus akui, ia kelihatan seperti sebuah filem seram yang pelik. Pada pendapat saya, biarpun ia merupakan filem komedi seram dan memaparkan sisi komedi watak hantu-hantu berkenaan, biarlah makhluk itu nampak “real”.Justeru itu, solekan wajah hantu amatlah penting sekali untuk menaikkan perasaan seram. Bukannya, wajah sahaja yang disolek sakan, tetapi juga bahagian anggota badan lain perlu sekata.Perlu diingat, solekan merupakan peranan yang sangat penting dalam menyempurnakan sesebuah filem itu.Sama juga dengan JPP, jika hantu yang direka itu nampak “real” dan aksi komedi pula diselitkan pada watak makhluk itu, maka ia akan menjadi lebih sempurna visual dan audionya.