suria

Muzikal ‘Hoore! Hoore!’ Tampil Kelainan Pada Filem Melayu

FILEM: Hoore! Hoore!

ARAHAN: Saw Teong Hin

LAKONAN: Akim Ahmad (AF7), Farah Nazirah, Fauziah Nawi, Harun Salim Bachik, Adibah Noor, Sahronizam Noor, Kilafairy, Afi Aris

GENRE: Drama, muzikal

DURASI: 1 jam 33 minit

EDARAN: Tayangan Unggul

TAYANGAN: Bermula 24 Mei 2012

FILEM terbaru arahan Saw Teong Hin iaitu Hoore! Hoore! wajar dipuji kerana keberaniannya menawarkan kelainan kepada filem tempatan.

Mungkin pada mata kasar, genre muzikal dan drama seumpama ini masih asing bagi kalangan penonton filem Melayu tetapi pembaharuan yang cuba disampaikan itu pastinya mampu mencatat nilai tersendiri untuk khazanah filem kita.

Bermain di antara ruang, muzik dan dialog yang jitu, Hoore! Hoore! tidak hanya menghiburkan, malah sarat dengan mesej dan nilai-nilai positif yang boleh menjadi inspirasi kepada sesiapa juga yang menonton.

Seperkara yang paling utuh mengenai filem ketiga pengarah dari Pulau Pinang ini adalah keberkesanan skrip tulisan Shariman Wahap yang berjaya diterjemahkan dengan baik.

Elemen-elemen nyanyian dan tarian yang mengetengahkan 11 lagu popular penghibur legenda Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dalam filem ini pasti janggal untuk diterima bagi segelintir pihak.

Namun, saya tidak boleh nafikan tarikan yang dipaparkan pada penyampaian unsur muzikal oleh para pelakon seperti Akim Ahmad (AF7), Farah Nazirah, Harun Salim Bachik, Adibah Noor, Fauziah Nawi dan ramai lagi.

Dalam kita dibuai alunan muzik lagu-lagu antaranya Hoore Hoore, Merisik Khabar, Salam Terakhir dan Balik Kampung, penonton pasti juga terkesan daripada ungkapan dialog yang mendalam dan bermakna daripada para pelakonnya.

Saya cukup terpikat dengan pendekatan dan stail yang digunakan Saw dalam mewarnai perjalanan filem ini menerusi syot yang menarik dan memberikan impak ekstra yang diharapkan.

Tanpa terlalu mencuba, saya menikmati filem ini dengan seadanya dalam bahasa dan bentuk yang ringkas tetapi efektif.

Kalau hendak diukur pada aksi lakonan barisan bintang muda seperti Akim, Farah, Kilafairy dan Afi Aris, mungkin tidak banyak yang boleh diharapkan tetapi memadai bagi paras mereka sebagai orang baru.

Sebaliknya, nadi lakonan filem ini tersandar pada lakonan berkesan daripada para pelakon berpengalaman dan versatil termasuklah Fauziah Nawi, Harun Salim Bachik, Adibah Noor dan Sahronizam Noor.

Secukup rasa dalam hidangannya, Hoore! Hoore! adalah sebuah filem yang patut diberikan peluang oleh rakyat Malaysia kerana temanya, suasana dan penjiwaannya yang seagung legasi ditinggalkan Sudirman.

Filem ini mengisahkan gadis bertubuh gempal Nurul Aiman lakonan Farah Nazirah yang tidak terlalu cantik dan lurus bendul tetapi berhati baik.

Di sekolah Aiman mempunyai seorang kawan lelaki yang tampan dan segak bernama Johari (Akim Ahmad) . Dalam diam Johari menyukai Aiman.

Rita (Kilafairy) seorang gadis yang ego dan sering mencari pasal serta merendah-rendahkan Aiman. Pada masa yang sama, Aiman tergerak untuk menyertai pertandingan Ratu Impian yang dianjurkan sebuah majalah.

Rita yang mengetahui Aiman menyertai pertandingan itu turut terlibat bagi memberikan saingan. Pelbagai rintangan dihadapi oleh Aiman bukan saja daripada musuh ketatnya Rita tetapi masyarakat yang memandang serong niatnya itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain