suria

Kejayaan 3D Melalui Fantasi ’29 Februari’

Keserasian Remy dan Jojo dalam 29 Februari menjadi.
Keserasian Remy dan Jojo dalam 29 Februari menjadi.
Keserasian Remy dan Jojo dalam 29 Februari menjadi.

FILEM: 29 Februari

ARAHAN: Edry Abdul Halim

LAKONAN: Remy Ishak, Jojo Goh, Izzue Islam, Fizz Fairuz

GENRE: Biografi Fantasi

DURASI: 1 jam 35 minit

TAYANGAN: Bermula 30 Ogos 2012

JIKA diminta mencari satu titik unik tentang filem terbaru arahan Edry Abdul Halim berjudul 29 Februari yang membuka tirai tayangannya bermula 30 Ogos 2012, barangkali ia agak sukar kerana daripada pengamatan saya terlalu banyak keunikan tentang filem tersebut.

Satu perkara yang paling jelas mengenai filem terbitan KRU Studios ini adalah bukti bahawa industri perfileman tempatan telah melangkah setapak ke hadapan apabila ia dihasilkan dalam format tiga dimensi (3D) selain mengangkat tema dan genre berbeza daripada lambakan filem sedia ada di pasaran.

Namun itu bukan satu perkara luar biasa buat KRU Studios kerana sebelum ini mereka berani tampil dengan filem yang berbeza seperti Cicak-Man, Merong Mahawangsa dan Magika.

Filem 29 Februari turut tidak terkecuali apabila Edry mengambil langkah berani dengan mengangkat genre biografi fantasi sebagai tunjang utamanya.

Penggunaan visual lama daripada Filem Negara yang “di baik pulih” juga memberi tambah nilai tinggi pada filem ini kerana pada pandangan saya apa yang dilakukan oleh Edry dan pasukan produksinya dalam usaha memasukkan beberapa peristiwa penting dalam negara seperti zaman penjajahan Jepun dan British sehinggalah sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 bukannya mudah.

Edry berjaya merealisasikan perkara tersebut dengan baik walaupun ada juga cacat celanya.

Menerusi filem ini Edry menggunakan plot penceritaan yang ringkas bertemakan cinta antara dua bangsa. Hubungan itu tidak mendapat restu daripada keluarga, namun subjek utama filem ini adalah untuk menonjolkan watak Budi lakonan Remy Ishak yang dilahirkan pada 29 Februari iaitu tahun lompat yang disambut setiap empat tahun menjadikan ia cukup menarik.

Edry memanipulasi tentang tarikh tersebut dengan mewujudkan satu khayalan kepada penonton dan mengajak mereka berfantasi mengenai keunikan tarikh itu.

Malah Edry cukup bijak dalam memastikan penonton tidak hanya tertumpu dengan kecanggihan 3D dan teknik tampalan visual lama sehingga melupakan jalan ceritanya.

Kelebihan teknologi dan jalan cerita yang ringkas menjadikan kedua-dua elemen itu dapat bersatu dengan baik.

Tambah menarik, Edry turut menyelitkan beberapa buah lagu latar yang dinyanyikan sendiri oleh Remy dan beberapa watak lain sehingga ada ketikanya penonton akan terbuai.

Malah pada penghujung cerita elemen muzikal itu semakin kuat dan sedikit merosakkan 'mood' penonton.

Secara ringkasnya, 29 Februari mengisahkan mengenai kehidupan Budi yang hanya dimakan usia setiap empat tahun sekali dan dia melalui pelbagai peristiwa di dalam hidupnya walaupun percintaannya dengan seorang gadis Cina, Lily (Jojo Goh) tidak kesampaian.

Budi yang berusia 120 tahun tapi kelihatan masih muda belia menonjolkan sisi berbeza terhadap watak yang disampaikan dalam filem ini.

Dalam pada itu, dari segi lakonan pujian harus diberikan kepada Remy kerana berjaya memberikan mutu lakonan cemerlang selain nyanyian yang tidak sumbang.

Malah saya agak terkejut dengan kehebatan lakonan anggota kumpulan Forteen iaitu Izzue Islam menerusi watak Razak yang pada perkiraan saya layak untuk diberikan penghargaan.

Tidak dilupakan kepada gandingan Remy iaitu Jojo Goh yang benar-benar memberi impak kepada filem ini dengan lakonan yang meyakinkan walaupun dia mengakui tidak fasih berbahasa Malaysia.

Sejujurnya filem ini wajar ditonton jika mahu kelainan teknologi yang cuba dibawa oleh Edry walaupun pada dasarnya imej 3D lebih sinonim untuk filem-filem genre aksi atau perang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain