suria

'Apa Celop Toqq' Sekadar Komedi Ringan

FILEM: Apa Celop Toqq

ARAHAN: Ahmad Idham

LAKONAN: Hazami Azmi, Azad Jazmin, Taiyuddin Bakar (Thai), Intan Ladyana, Hasnul Rahmat.

GENRE: Romantik komedi

DURASI: 1 jam 30 Minit

EDARAN: Excellent Pictures

TAYANGAN: 25 Oktober 2012

PENGGUNAAN subjek 'mat rempit' sebagai fokus utama dalam filem arahan terbaru pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri iaitu Apa Celop Toqq nyata menjadi dan memberi kesan kepada tema komedi yang cuba diangkat dalam karyanya itu.

Plot serta perjalanan cerita yang ringkas tidak memeningkan penonton dilihat sebagai kekuatan kepada filem yang menampilkan pelakon Hazama Azmi, Azad Jazmin, Taiyuddin Bakar (Thai), Intan Ladyana dan Hasnul Rahmat ini.

Ahmad Idham juga mengambil peluang menerusi filem yang pernah popular sebagai drama bersiri yang pernah ditayangkan sebelum ini di TV3 untuk memaparkan sisi positif golongan 'mat rempit' yang sering dihimpit dengan gejala negatif.

Sejak awal permulaan cerita, Idham bijak menyusun dan mengadun arah filem berkenaan melalui penceritaannya yang jelas dan dapat memberi sisi lain kepada penonton tentang 'peminat' sukan permotoran kecil itu.

Filem genre romantik komedi ini turut memperlihatkan kebolehan penyanyi Hazama sebagai peneraju utama membawa watak sulungnya dalam sebuah filem dengan cemerlang dan bersahaja.

Imej Hazama yang sesuai dengan perwatakan 'mat rempit' menimbulkan kepercayaan penonton terhadap watak yang dipegang selain kelihatan tidak kekok bergandingan dengan nama yang lebih berpengalaman dalam bidang lakonan.

Pengarah juga bijak menyeimbangkan watak utama dengan watak lain terutama Azad dan Thai yang banyak mengundang gelak tawa penonton sepanjang filem tersebut.

Bagaimanapun, lakonan Azad yang menggunakan 'slanga mamak' cukup menyerlah dan barangkali dia boleh dikatakan sebagai 'pak lawak' utama dalam filem berkenaan.

Setiap kali kelibatnya muncul penonton akan ketawa berdekah-dekah melihat aksinya yang cukup menghiburkan.

Filem ini mengisahkan Hazama yang mempunyai impian menjadi penyanyi, melalui liku kehidupan bersama teman baiknya, Tapai. Hazama bekerja di bengkel membaiki motosikal, sering bersama menghadapi kerenah Tapai yang berhutang dengan samseng, Black.

Pada masa yang sama, Laila, seorang wartawan, telah ditukarkan ke bahagian hiburan apabila telah melakukan kesilapan ketika operasi yang melibatkan anggota polis tidak lama dulu.

Banyak perkara membuatkan Laila mulai rapat dengan Hazama. Namun, segalanya berubah kerana Laila hanya memerlukan Hazama untuk dia kembali semula ke bahagian jenayah. Apakah akan terjadi pada Hazama seterusnya?

Secara keseluruhannya, Apa Celop Toqq adalah satu formula 'biasa' bagi pengarah dan percubaannya selepas Hantu Bonceng yang menggunakan tema sama nyata menjadi dan dapat menghiburkan penonton.

Filem berkenaan sedang ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia