suria

Keharmonian Masyarakat Dalam 'Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit'

Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit mula ditayangkan pada 7 Februari.
Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit mula ditayangkan pada 7 Februari.
Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit mula ditayangkan pada 7 Februari.

FILEM: Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit

ARAHAN: Mamat Khalid

LAKONAN: Awie, Shy8, Delimawati, Zami Ismail, Ezlynn, Rashidi Ishak dan Man Kadir

GENRE: Seram Komedi

DURASI: 1 jam 30 minit

EDARAN: Tayangan Unggul

TAYANGAN: Bermula 7 Februari 2013

FILEM yang menggunakan Kampung Pisang sebagai latar utama cukup sinonim dengan pengarah filem, Mamat Khalid dan kali ini beliau tampil dengan buah tangan terbaharu selain mengekalkan genre komedi seram dalam Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit.

Selepas Hantu Kak Limah Balik Rumah berjaya mencatat kutipan RM7.9 juta dua tahun lalu, sekual filem ini sememangnya ditunggu-tunggu dan karya terbaru Mamat ini tidak mengecewakan.

Sudah tentu perhatian filem ini terletak kepada kekecohan penduduk Kampung Pisang yang terdiri daripada pelbagai karakter yang membuatkan penonton pecah perut dengan gelagat mereka.

Mamat mengambil langkah bijak apabila menggunakan sepenuhnya pelakon-pelakon yang diambil dan memastikan setiap watak menyerlah dalam cara mereka tersendiri.

Dari segi lawak jenaka yang ditampilkan, Mamat nyata tidak mengulangi formula lalu yang telah mencipta kejayaan besar buatnya sebaliknya menampilkan komedi baru supaya penonton tidak bosan.

Tambah menarik, Mamat berjaya memaparkan keharmonian kehidupan masyarakat di kampung itu yang terdiri daripada pelbagai karakter dengan kewujudan beberapa watak baru memberikan nafas baru kepada latar filem ini.

Jika diteliti dengan baik, ia sebenarnya sarat dengan pelbagai maksud tersirat dan pengajaran menerusi paparan kehidupan bermasyarakat.

Dengan memasukkan elemen kisah dongeng dan amalan tahyul di kalangan masyarakat dengan pelbagai peristiwa lucu, Mamat berjaya menghidupkan jalan ceritanya dengan baik selain gelagat penduduk kampung itu.

Watak-watak seperti Usop Wilcha, Pak Jabit, Kak Limah dan rakan-rakan cukup mencuit hati penonton dan membawa warna kepada filem itu.

Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit mengisahkan mengenai kepulangan Husin lakonan Awie ke Kampung Pisang dan kembali menjalinkan hubungan cinta dengan Mon (Ezlynn).

Tanpa menyedari kejadian sebenar, Husin melayan bekas kekasihnya itu sehingga dia telah diculik ke alam ghaib.

Sejak itu Kampung Pisang telah dilanda pelbagai perkara aneh dan misteri yang telah menyebabkan kekecohan di kampung tersebut.

Dalam pada itu, sisi grafik dan teknik pengimejan berkomputer (CGI) yang melatari hampir 30 peratus dalam filem berkenaan juga dilakukan dengan kemas oleh pihak produksi dan Mamat berjaya memberikan visual yang baik kepada penonton.

Bagaimanapun, kekurangan pada filem ini mungkin terletak kepada jalan ceritanya yang terlalu meleret sehingga menyebabkan penonton bosan.

Mamat terlalu ingin menjelaskan setiap butiran yang berlaku di kampung tersebut sehingga menimbulkan rasa 'potong' ketika menontonnya.

Dari segi lakonan watak utama, Awie cemerlang dalam menghidupkan karakter Husin yang sebelum ini bukanlah peranan utama namun percubaan Rashidi Ishak sebagai Dr Shamsuddin tidak meninggalkan kesan.

Secara keseluruhannya, Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit kekal membawa penonton terhadap nostalgia bersama dua sirinya yang lalu dan elemen klasik seperti tajuk dan pemilihan lagu dalam filem ini mampu membawa kenangan lalu kepada penonton.

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia