suria

'Langgar' Pamer Keyakinan Terhadap Arahan Sein

Langgar bakal menemui penonton di pawagam pada 11 April ini.
Langgar bakal menemui penonton di pawagam pada 11 April ini.
Langgar bakal menemui penonton di pawagam pada 11 April ini.

FILEM: Langgar

ARAHAN: Syed Hussein Syed Mustafa (Sein)

PELAKON: Adi Putra, Namron, Hans Isaac, Khir Rahman, Zul Huzaimy, Bell Ngasri, Natasha Hudson, Nadia Heng, Daniel Wong, Komeng, Collan Koo dan Zalif Sidek

GENRE: Aksi

DURASI: 1 jam 30 minit

PENERBIT: Tayangan Unggul

TAYANGAN: 11 April 2013.

SUKAR untuk menyangkal kebolehan pengarah muda iaitu bekas anggota kumpulan Ruffedge, Syed Hussein Syed Mustafa menerusi filem sulungnya berjudul Langgar.

Walaupun ia sentuhan orang baru dalam dunia pengarahan, Sein memperlihatkan potensi besar untuk menjadi seorang pengarah berkaliber suatu hari nanti.

Sein juga mengambil langkah berani untuk mempertaruhkan genre aksi dan penelitian kerjanya di kerusi pengarah layak dipuji kerana jelas kesungguhan dan perincian terhadap filem itu tampak meyakinkan.

Ini kerana bukan mudah merealisasikan sebuah filem aksi ala gengsterisme, apatah lagi apabila ia membabitkan lebih 60 peratus babak pertarungan namun Sein nyata mampu menggarap Langgar dengan penuh teliti menepati kehendak penonton.

Malah Langgar berjaya menarik perhatian penonton pada 10 minit pertamanya di mana permulaan jalan ceritanya dibuat dengan padat tanpa mengelirukan penonton.

Sein juga berjaya mengekal dan mengimbangi momentum jalan ceritanya yang sarat dengan aksi ganas dengan penyusunan kemas dan teratur selain lingkungan plot dan sub-plot di jalur kemas.

Langgar mengisahkan Nizam (Adi Putra) yang ingin menuntut keadilan berikutan kematian isterinya, Aina (Nadia Heng) yang sarat hamil anak sulung dibunuh oleh sekumpulan gengster.

Nizam ingin mencari darah sebagai galang gantinya. Dia kemudian diperkenalkan kepada Radzi (Namron) oleh Khairul(Bell Ngasri), seorang teman lamanya.

Setelah diuji oleh Loy (Zul Huzaimy) iaitu orang kanan Radzi, Nizam layak menyertai mereka. Radzi juga berurusan dengan Jimi (Hans Isaac), seorang pengedar dadah yang mempunyai empayar di beberapa buah negara Asia Tenggara.

Amanda (Natasha Hudson) merupakan kekasih kepada Radzi dan juga seorang penagih dadah.

Sein sangat bertuah kerana filem ini dibarisi oleh pelakon handalan seperti Adi, Namron, Khir, Zul dan Hans yang tidak perlu lagi dipertikaikan kredibiliti mereka.

Karakter yang mantap menghidupkan lagi kisah perebutan tiga kumpulan samseng yang mahu mengukuhkan jajahan, tambahan pula penulisnya sendiri, Sein, memberi sentuhan magisnya sebagai sutradara.

Kepakaran barisan bintang utama selain penggunaan pelakon aksi menghidupkan lagi kisah pembalasan dendam itu.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Adi kerana berjaya menzahirkan emosi 'hitam' dalam dirinya dengan cemerlang dari awal sehingga akhir filem.

Tidak ketinggalan Bell Ngasri yang cukup bersahaja dan memberikan seri kepada filem ini dengan 'lawak ganas' dalam karya berkenaan.

Langgar menyerlahkan hasil kerja Sein di set yang penuh kreatif mencorakkan kisah seperti yang digambarkan dalam skrip malah jelas dapat dilihat dia melihat di luar kotak dan berani mencuba agar filem sulungnya itu berbeza daripada karya lain dari genre sama.

Kewibawaannya sebagai pengarah baru dalam menjahit setiap elemen di dalam karya pertamanya itu bakal meletakkan Sein sebagai pengarah pelapis berbakat besar.

Artikel Lain