suria

'KL Gangster 2' Filem Termahal Arahan Syamsul Setaraf Hollywood

KL Gangster 2 manampilkan pelakon-pelakon mantap seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Zizan Razak, Syamsul Yusof dan Soffi Jikan.
KL Gangster 2 manampilkan pelakon-pelakon mantap seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Zizan Razak, Syamsul Yusof dan Soffi Jikan.
KL Gangster 2 manampilkan pelakon-pelakon mantap seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Zizan Razak, Syamsul Yusof dan Soffi Jikan.

FILEM: KL Gangster 2

PENGARAH: Syamsul Yusof

PELAKON: Aaron Aziz, Rosyam Nor, Zizan Razak, Soffi Jikan, Sheera Iskandar, Adi Putra dan Syamsul Yusof.

DURASI: 1 Jam 30 Minit

GENRE: Aksi

TERBITAN: Skop Production Sdn. Bhd., Primeworks Studios Sdn Bhd

TARIKH TAYANGAN: 3 Oktober 2013

PENANGAN filem KL Gangster pada tahun 2011 sehingga meraih kutipan boxoffice sebanyak RM12 juta serta merangkul pelbagai anugerah mengundang si pengarah muda Syamsul Yusof untuk meneruskan karya menghasilkan ‘prekuelnya’ iaitu KL Gangster 2.

Apakan daya, KL Gangster 2 menjadi bualan hangat gara-gara isu cetak rompak sebelum tayangannya pada 3 Oktober 2013.

Namun ia terus panas bukan kerana kes yang masih lagi belum diselesaikan mengenai siapakah dalang menyebarkannya ke laman Internet sebaliknya kerana kepuasan peminat yang menonton filem ini pada tayangan awal yang dibuat oleh pihak pawagam pada 27 hingga 29 September lalu.

Lebih ganas daripada KL Gangster, filem ‘prekuel’ kali ini cukup kemas daripada segi susunan koreografi aksi yang diadun dengan jalan cerita yang mudah difahami di mana kisah pertelingkahan antara kumpulan-kumpulan kongsi gelap Kuala Lumpur yang mahu merebut 'kawasan' masing-masing.

Pengarahan Syamsul juga cukup baik terutamanya bagi babak aksi yang dilihat lebih bebas. Mungkin anak kepada Datuk Yusof Haslam ini sengaja mahukan elemen lebih ganas dalam pembikinan ‘prekuel’ filem ini.

Bermula daripada pergaduhan dan pelanggaran kereta yang dicantikkan lagi dengan teknik imej janaan komputer (CGI), filem ini bukan saja terus mengganas tetapi Syamsul menyelitkan elemen kekeluargaan, sebagai 'pelembut' keseluruhan jalan cerita.

Filem ini berkisah mengenai dua beradik, Malek (Aaron) dan Jai (Adi) terjebak dalam kegiatan gengster secara tidak langsung selepas kematian ayah mereka. Kerana kehidupan yang susah, mereka diugut dan diburu oleh gengster yang meminta hutang ayah mereka dulu.

Jai mula liar kerana mahu mendapatkan wang walau dengan apa cara sekalipun. Walaupun Malek menentang keras tindakan Jai tetapi Jai tidak mempedulikan nasihat Malek menyebabkan Malek mulai risau dan tertekan ditambah lagi ibu mereka menghidap penyakit barah.

Pergaduhan antara gengster-gengster turut melibatkan Zati (Shera), adik kepada Malek dan Jai apabila diperkosa Tailong (Rosyam Nor) gara-gara tidak membayar hutang.

Babak demi babak berjaya disulam Syamsul dengan sepenuh hati, di mana kesenian naskhah filem ini dilihat tersendiri sehingga tiada cacat cela di mata penonton apalagi dengan penampilan Aaron dan Adi, nilai komersial KL Gangster 2 lebih kuat.

Rosyam jadi sebutan

Selain itu, berdasarkan komen-komen umum di Twitter, nama Rosyam Nor menjadi sebutan ramai dek kerana lakonannya yang hebat sebagai Tailong, gengster besar di Kuala Lumpur (KL) yang sering digeruni kerana kuasa dan pengaruhnya.

Ternyata usia 46 tahun sekadar nombor buat Rosyam kerana melihatkan tenaga yang disampaikan pelakon itu dalam KL Gangster 2, dia cukup berbisa dan berkaliber.

Watak jahat yang melampau membuatkan penonton sendiri benci dengan karakter Tailong yang dibawakan. Lakonan pelakon itu juga dilihat mengatasi aktor muda lain dalam, apatah lagi dengan stamina yang ditunjuk dalam setiap aksi pertarungan.

Soffi juga memberi daya tarikan tersendiri dan dia antara watak gengster menghidupkan plot cerita yang disampaikan.

Dalam pada itu, Adi dan Aaron sebenarnya tidak bersandarkan kepada populariti semata-mata kerana kemampuan mereka melontarkan emosi cukup baik dan berbekas di hati penonton.

KL Gangster 2 merupakan filem termahal terbitan Skop Production dengan melibatkan kos sebanyak RM4.5 juta dan ternyata hasil naskhah tersebut setanding dengan nilainya yang juga menggunakan 320 gulung filem.

Walaupun ada beberapa babak yang menunjukkan aksi lawan yang agak lama, ia tetap memberi keterujaan kepada penonton yang mahu menyaksikan gaya pergaduhan seterusnya.

Si pengarah muda ini menjanjikan kualiti yang bukan sahaja daripada sudut idea dan teknologi, tetapi impak filem ini memberi kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang menontonnya.

Walaupun sedih dengan dugaan apabila karya berkenaan dicetak rompak, Syamsul harus berbangga kerana memiliki sebuah filem yang cukup berkualiti setaraf filem Hollywood dengan kos sebegitu..

Dan pastinya orang ramai menantikan karya anak muda ini yang seterusnya selepas KL Gangster 2.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain