suria

'Kami Histeria' Komedi Seram Luar Biasa

FILEM: Kami Histeria

PENGARAH: Shamyl Othman

PELAKON: Nur Fazura, Diana Danielle, Sara Ali, Nad Zainal, Mila Jirin, Izzue Islam, Afdlin Shauki.

DURASI: 1 Jam 30 Minit

GENRE: Komedi/seram/muzik

TERBITAN: Tayangan Unggul

TARIKH TAYANGAN: 6 Februari 2014

KARYA terbaharu hasil kerjasama Astro Shaw, Marna Films dan Red Films berjudul Kami Histeria bukan sahaja berjaya menggabungkan tiga genre iaitu komedi, seram dan muzik, malah garapan ketiga-tiga elemen ini dilihat berjaya memberi kelainan dalam industri filem tempatan yang semakin suram.

Pemilihan enam pelakon muda berbakat iaitu Diana Danielle, Sara Ali, Nad Zainal, Mila Jirin dan Umie Omar dengan tahap lakonan yang baik, mereka mampu membawa karakter masing-masing tanpa cuba mengatasi antara satu sama lain.

Karya asal dan lakon layar, bekas pengacara 3R, Rafidah Abdullah ini telah menukar persepsi negatif penonton terhadap lambakan filem tempatan.

Filem Kami Histeria juga bukan seperti filem-filem terbitan Red Comm sebelum ini yang dilihat tertumpu kepada golongan ‘urban’ semata-mata, sebaliknya elemen seram dan watak hantu langsuir lakonan pelakon Nur Fazura dapat menarik perhatian semua golongan dalam dan luar bandar.

Fazura dilihat melakonkan watak hantu langsuir dengan baik apabila menjiwai karakter Cik Lang sebagai perempuan cantik, lemah lembut tetapi menakutkan dengan menggunakan loghat Utara.

Sementara itu, lakonan Nad Zainal dengan watak tanpa dialog wajar diberi pujian kerana menghidupkan watak Peanut walaupun sekadar menggunakan mimik muka.

Penyanyi yang baru berjinak-jinak dengan bidang lakonan iaitu Mila Jirin pula berjaya membawa watak perempuan manja yang sentiasa mahu layanan istimewa.

Sementara, pelakon baharu Umie Omar, membawa karakter tomboi dan kelakar mamou mencuit hati penonton.

Filem ini menelan belanja sebanyak RM2 juta dan merupakan karya sulung pengarah muda, Shamyl Othman yang mana sebelum ini dia pernah mengarahkan Blogger Boy, Waktu Rehat, My Ghost Story dan Oh My English: Hello America.

Konsep yang mudah diterima penonton dan jalan ceritanya tidak hanya disulami dengan lawak kosong atau hanya dipenuhi dengan mesej berat yang sukar difahami sepanjang tayangan.

Lebih menarik lagi, filem ini juga menggunakan suara sebenar kesemua pelakon untuk adegan nyanyian sewaktu mereka membuat persembahan.

Lakonan hebat para pelakon yang membawa karakter ‘girl band’ ini membuatkan penonton mempercayai bakat mereka dalam bermain muzik.

Lagu-lagu yang dicipta khas dalam filem ini hasil karya komposer Loque sedap didengar dan bersesuaian dijadikan lagu tema Kami Histeria.

Filem ini mengisahkan tentang ‘girl band’ yang terdiri daripada Laila (Diana Danielle), Peanut (Nad Zainal), Bad (Sara Ali), Airin (Mila Jirin) dan Jojo (Umie Omar) yang ingin terkenal dan mengambil jalan mudah untuk berada dalam industri muzik arus perdana.

Kisah bermula apabila suara langsuir terakam ketika mereka merakam single baharu mereka. Perkara tersebut membuatkan mereka popular dan dikenali dalam masa yang singkat.

Mereka membuat perjanjian dengan langsuir yang dikenali sebagai Cik Lang untuk membantu menyumbangkan suara kepada lagu-lagu mereka yang lain selain meminta menaikkan nama mereka.

Biarpun pada awalnya Cik Lang menerima baik rancangan itu namun kumpulan berkenaan berhadapan dengan bahaya apabila terlupa dengan perjanjian yang tidak ditunaikan.

Bad bagaimanapun menjejaki Cik Lang di dalam hutan bagi merakam dan meminjam suara langsuir itu walaupun pada awalnya ditegah oleh ahli yang lain.

Biarpun niat mereka diterima baik oleh Cik Lang namun gadis-gadis ini berdepan bahaya apabila hantu itu mengamuk kerana permintaannya tidak ditunaikan.

Filem Kami Histeria berada di pawagam bermula 6 Februari lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain