FILEM: Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa PELAKON: Fad, Acey, Abam, Epy Kodiang, Yassin. PENGARAH: Hashim Rejab GENRE: Komedi/Seram DURASI: 90 Minit TERBITAN: Mangkin Prestij Sdn. Bhd. TARIKH TAYANGAN: 14 Ogos 2014 MELIHAT kepada tajuk filem komedi seram arahan Hashim Rejab iaitu Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa (KAMDRS) mungkin ramai yang memandang skeptikal apakah ia satu lagi karya 'tangkap muat' dan adakah ia mampu menarik perhatian penonton untuk ke pawagam? Malah penulis sendiri ketika ditugaskan untuk membuat ulasan filem ini meragui kualiti karya terbitan Mangkin Prestij Sdn Bhd itu hanya berdasarkan judulnya selain tidak berhasrat untuk menonton filem berkenaan sehingga habis ketika tayangan perdananya baru-baru ini. Akan tetapi pepatah ada menyebut - 'Tak Kenal Maka Tak Cinta' dan pada malam itu penulis mendapat pengajaran daripada kata-kata bidalan tersebut. Kagum adalah respons pertama penulis bersama teman media lain selepas KAMDRS selesai ditayangkan dan kami sama-sama memberikan tepukan gemuruh kepada pengarah dan barisan pelakon yang turut hadir pada acara itu. Penampilan Bocey cukup menghiburkan. Biarpun Hashim lebih dikenali dengan pengarahan filem romantik seperti 3 Temujanji dan Sekali Lagi namun percubaan kali pertama menerusi genre komedi sama sekali tidak mengecewakan. Pandangan penulis KAMDRS adalah antara karya komedi seram terbaik selepas Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid dari genre sama. Sepanjang 90 minit filem berkenaan ditayangkan di skrin panggung, penonton termasuk penulis terus diasak dengan pelbagai komedi situasi yang digarap cukup sempurna ditambah kekuatan pada jalan ceritanya. Hashim bijak menyusun plot dan sub-plot yang ingin disampaikan dan ia dijalur secara ringkas namun disaratkan dengan pelbagai komedi secara berterusan dan ia berjaya direalisasikan dengan baik daripada semua pemain. Acey yang melakonkan watak sebagai Rudy. Komedi ditampilkan juga bukan sekadar 'melepaskan batuk ditangga' atau bersifat spalstik yang mana terlalu banyak digunakan pada filem-filem genre sama pada hari ini sebaliknya ia diterjemahkan dengan bijak dan paling penting bersahaja. Hashim juga tidak membiarkan penonton menunggu lama dalam menarik perhatian mereka kerana pada minit kedua KAMDRS berlangsung penonton telah dihidangkan dengan lawak yang cukup untuk membangkitkan 'mood' ketika menonton. KAMDRS yang menampilkan kumpulan Bocey iaitu Abam, Acey dan Fard, Yassin dan Epy Kodiang sebagai pemain utama mengisahkan tentang kehidupan tiga sahabat baik iaitu Rudy, Akhir dan Remy yang tinggal bersama di sebuah rumah sewa dimiliki oleh Pakcik Osman Basah. Pelbagai kisah menarik berlaku dalam rumah sewa yang diduduki mereka selepas anak saudara Pakcik Osman Basah datang daripada Kedah untuk menumpang di rumah sewa tersebut bersama-sama Rudy, Akhir dan Remy. Penampilan Yassin turut meninggalkan kesan kepada filem arahan Hashim Rejab itu. Dalam pada itu, dari segi teknikal, Hashim banyak bermain dengan pergerakan kamera dalam membangkitkan keterujaan terhadap sesuatu babak biarpun terdapat beberapa cacat-cela yang boleh dimaafkan. Sementara itu, kemunculan pertama kali Bocey di layar perak harus diberi pujian kerana penampilan mereka bertiga benar-benar menghidupkan jalan cerita dengan lakonan bersahaja daripada mereka. Mereka bertiga sangat serasi bersama dan lawak yang disampaikan cukup bersahaja dan bukan dibuat-buat biarpun mereka mengakui pada awalnya agak kekok kerana itu adalah filem pertama mereka. Bakat mereka jika diasah dan diberi peluang lebih besar pasti akan lebih menonjol selain mampu memberi saingan kepada kumpulan lawak sedia ada. Keputusan berisiko Hashim mengambil Bocey sebagai teraju utama nyata sesuatu yang cukup luar biasa dan terbukti Bocey bukan sekadar satu lagi kumpulan pelawak yang lahir daripada program realiti tetapi mempunyai bakat besar.