suria

Tiada Rasa Dalam 'Lagenda Budak Setan 3: Kasyah'

Lagenda Budak Setan 3: Kasyah sedang ditayangkan di pawagam.
FILEM: Lagenda Budak Setan 3: Kasyah

PENGARAH: Sharad Sharan

PELAKON: Farid Kamil, Maya Karin, Iqram Dienzly, Ayu Raudah

GENRE: Drama

TARIKH TAYANGAN:
12 September 2014

NOVEL tulisan oleh Ahadiat Akashah berjudul Lagenda Budak Setan mencipta satu fenomena di kalangan pembaca sekitar tahun 90-an sekali gus meninggalkan impak besar sehingga mampu kekal di dalam minda pembaca sehingga ke hari ini.

Dua sirinya sebelum ini iaitu Lagenda Budak Setan dan Lagenda Budak Setan 2: Katarina yang diangkat sebagai filem turut mencetuskan kegilaan di kalangan peminat novel itu yang sudah lama ingin melihat karya itu diterjemahkan dalam bentuk visual.

Pelbagai reaksi diberikan - ada yang suka dan tidak kurang menganggap membaca novel memberikan lebih kepuasan kerana pelbagai babak kesukaan mereka tidak dimasukkan dalam versi filem.

Sekali lagi, Tarantella Pictures dengan kerjasama Astro Show menghidangkan kepada penonton dengan lanjutan kisah tersebut menerusi Lagenda Budak Setan 3: Kasyah (LBS3) yang pada pandangan penulis adalah sebuah karya biasa tanpa keistimewaan.

Gandingan Maya Karin dan Farid Kamil dalam LBS3 menjadi.
Jujurnya penulis tidak pernah membaca novel berkenaan dan pada pandangan penulis, LBS3 tidak menggambarkan secara keseluruhan tentang apa hendak disampaikan iaitu tentang kehidupan Kasyah lakonan Farid Kamil.

Seperti ada suatu kehilangan dalam filem berkenaan namun ia sukar dijelaskan dengan kata-kata yang membuatkan karya itu hambar biarpun asas pembikinannya cukup kuat.

Tidak tahu dimana silapnya, pengarahnya, Sharad Sharan gagal melunaskan naskhah berkenaan dengan baik biarpun dia turut dibantu oleh penulis asal dalam memilih plot dan sub-plot sesuai untuk LBS3.

Sharad seolah-olah terpaksa mengarahkan filem berkenaan dan ia jelas kelihatan pada hasilnya yang tidak mempunyai jiwa selain jalan ceritanya berserabut di mana ia sepatutnya memberi fokus kepada Kasyah tetapi sebaliknya berlaku.



Sama ada secara sengaja atau pun tidak, watak Zahirah lakonan Ayu Raudah yang trauma akibat menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh suaminya sendiri iaitu Shan (Iqram Dienzly) menyerlah berbanding pemain lain.

Barangkali babak melibatkan mereka berdua paling meninggalkan kesan sehingga suami aktres itu sendiri berang dengan lakonan Iqram yang seolah-olah benar-benar menyeksa Ayu.

Bagaimanapun, peminat setia novel tersebut masih boleh menghargai filem berkenaan kerana masih ada babak-babak menyentuh hati dipaparkan mengenai perjalanan hidup Kasyah bersama Kate.

LBS3 mengisahkan mengenai Kasyah yang kehilangan isteri tercinta dan anak perempuannya berazam untuk membina semula kehidupannya bersama Kate lakonan Maya Karin.

Bront kembali dalam LBS3.
Perkahwinan yang dibina bersama Kate mula mengalami masalah selepas bekas suami Kate iaitu Hisyam (Bront Palarae) kembali menggangu wanita itu kerana tidak berpuas hati dia berkahwin dengan Kasyah.

Masalah bertambah rumit apabila Zahirah sering menggangu Kasyah dengan menceritakan masalah rumah tangganya dengan Shan sehingga dapat dihidu oleh Kate.

Artikel Berikut

Artikel Lain