Zamperini juga mengimbau perjalanannya menjadi seorang atlet bagaimana tanpa dia sedari, dia memiliki kemampuan untuk berlari dengan pantas yang dapat dikesan oleh abangnya, Peter (Alex Russell) selepas dia ditangkap kerana menghendap wanita.
Lantaran itu, Peter tekad untuk melatih adiknya itu untuk menjadi seorang atlet terkenal sehingga layak untuk mewakili Amerika Syarikat dalam acara balapan pada Sukan Olimpik 1936 di Berlin, Jerman.
Walaupun hanya sekadar menduduki tangga kelapan, tetapi Zamperini berjaya mencipta rekod baru dalam acara 5,000 meter.
Untuk set pertama bagi filem ini, Jolie sebagai pengarah melakukan tugasnya dengan baik. Malah, suntingan antara babak imbasan kembali
(flashback) dan babak semasa kemas dan teratur lalu membuatkan penonton faham dengan perjalanan ceritanya.
Buang Masa
Namun, untuk set kedua iaitu selepas pesawat terhempas akibat kegagalan enjin berfungsi di lautan yang hanya menyelamatkan Zamperini dan dua sahabatnya, Mac (Luke Treadway) dan Phil (Miller), saya merasakan ia agak meleret dan sedikit membuang masa.
Memandangkan filem ini diadaptasi daripada buku
Unbroken: A World War II Story of Survival, Resilience, and Redemption hasil tulisan Laura Hillenbrend, barangkali Joel dan Ethan Coen mahu merakamkan sebanyak mungkin detik dan situasi penting yang berlaku dalam tempoh masa 47 hari Zamperini dan rakan-rakannya terdampar di lautan untuk divisualkan.
Pun begitu, babak seperti melapah ikan dan burung camar, dikelilingi ikan jerung yang menunggu masa untuk membaham mereka, berhadapan dengan ombak besar yang bergelora serta diserang pesawat tentera Jepun menambahkan babak dramatik di samping skor muzik oleh Alexander Desplat.
Angelina Jolie ketika mengarahkan Unbroken.
Ditambah pula dengan transformasi fizikal ketiga-tiga pelakon itu sehingga menjadi kurus kering dan tidak bermaya juga berjaya menyakinkan dan membuatkan penonton merasai penderitaan yang mereka alami.
Perjalanan
Unbroken diteruskan pada set ketiga selepas Zamperini dan Phil yang diselamatkan oleh kapal perang milik tentera Jepun yang kemudiannya membawa mereka ke dunia yang penuh kekejaman dan keazaban.
Kegerunan itu ditambah apabila mereka dibawa ke kem tahanan perang di Tokyo, Jepun dan dipertemukan dengan pegawai atasan yang kejam dan tidak berhati perut, Mutsuhiro Watanabe atau The Bird (Takamasa Ishihara).
Mengetahui Zamperini seorang yang cukup terkenal dan dilaporkan mati di negaranya, peluang itu diambil penuhnya oleh The Bird untuk menghukum Zamperini dengan kuasa yang ada pada dirinya.
Sehingga ke pengakhirannya, The Bird malu dan tewas kepada dirinya sendiri kerana kekejaman dan kezaliman yang dilakukannya sedikit pun tidak menjadikan Zamperini orang yang lemah.
Sebaliknya, kekuatan, daya tahan dan survival yang dimiliki Zamperini sebenarnya adalah senjata yang paling tajam untuk memusnahkan, menghukum dan membalas perbuatan orang yang kejam seperti The Bird.
Penonton Semakin Resah
Namun, saya merasakan untuk set ketiga filem ini terutama pada babak akhir, ia dibuat dalam keadaan yang sedikit tergesa-gesa seolah-olah Jolie mahu menghabiskan filem ini dengan cepat seperti menyedari masa telah banyak dibazirkan dan penonton semakin resah menunggu penamatnya.
Akan tetap, saya suka kepada karakter The Bird yang dijayakan oleh Ishihara yang sangat menyakinkan. Raut wajahnya sahaja sudah menunjukkan sikap antagonis yang dimilikinya sehingga mampu menimbulkan kebencian kepada penonton.
Melihat keseluruhan perjalanan
Unbroken, saya dapat menyimpulkan bahawa Jolie seperti mana yang diketahui umum cukup dikenali dengan aktiviti kemanusiaan mahu menonjolkan isu seperti itu dalam filem keduanya ini.
Dari sudut pandang
(point of view) Jolie sebagai pengarah wanita, dia melihat kekuatan seorang lelaki terletak kepada sikap optimistik, kesetiaan dan daya tahan seperti mana yang dimiliki oleh Zamperini.
Walaupun seorang lelaki, Zamperini tidak menggunakan kekerasan untuk membalas perbuatan mereka yang menzalimi dirinya. Seperti mana kata-kata yang dipegang oleh Zamperini yang berbunyi: “A lifetime glory is worth a moment of pain.”
Biar perit jerih dan dugaan yang menimpa, namun, kepercayaan dan kemaafan yang ada dalam diri adalah sebenarnya kekuatan untuk seseorang terus mengharungi kehidupan.
Bukan mahu menjadi dayus atau lemah, tetapi, kemaafan itu sebenarnya adalah dendam yang cukup terindah dan mesej itulah yang mahu diketengahkan oleh Jolie dalam
Unbroken.
Saya tidak mengatakan
Unbroken sebuah filem yang teruk mahupun hebat tetapi ia masih boleh ditonton dan dihayati sebaiknya kerana tema filem ini bagi saya sangat bersifat sejagat.
Kemaafan bukan ditentukan oleh warna kulit, bangsa mahupun agama akan tetapi, selagi kita bernama manusia, ia akan tetap ada dalam diri kita waima apa jua sekalipun yang berlaku kepada diri kita.
*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.