FILEM: Suami Aku Ustaz PENGARAH: Ghaz Abu Bakar & Adi Putra PELAKON: Adi Putra, Nora Danish, Izzue Islam, Betty Rahmad, Jue Aziz, Liza Abdullah, Razak Ahmad, Norman Hakim & Kamaliah Mat Don GENRE: Cinta/Drama DURASI: 94 minit PENERBIT: Karya Seni Production TARIKH TAYANGAN: 14 Mei 2015 SUAMI Aku Ustaz nukilan Hannah Dhaniyah mungkin tidak asing bagi penggemar novel dan khabar mengenai naskah berkenaan bakal diangkat ke layar perak sememangnya dinanti-nantikan. Pengarah berbakat besar, Ghaz Abu Bakar diberi tanggungjawab untuk mengarah filem berkenaan dan tugas dipikulnya itu bukan mudah kerana dia perlu membuktikan karya dihasilkan berbeza dan menarik daripada karya adaptasi yang lain. Menariknya, Ghaz tidak bersendirian untuk duduk di kerusi pengarah kerana pelakon Adi Putra yang memegang watak utama filem berkenaan turut berganding bahu dengannya sebagai pengarah bersama. Tugas Ghaz dan Adi bukan mudah kerana mengadaptasi karya daripada novel ke layar perak bukan mudah kerana mereka perlu memastikan semua babak penting dalam novel dimasukkan agar jalan cerita tidak membosankan terutama kepada peminat tegar novel itu. Bagaimanapun kolaborasi mereka nampaknya berjaya dilaksanakan dengan baik dan hasilnya, Suami Aku Ustaz pada pandangan penulis mencapai standard dan tidak akan mengecewakan penonton. Bagi penulis, Suami Aku Ustaz ini merupakan sebuah filem ringan menghiburkan kerana ia memberi banyak pengajaran serta pengisian tersendiri dalam penceritaannya secara langsung atau pun tidak. Malah pelbagai maklumat mengenai kehidupan dan ajaran islam turut diselitkan dan ia adalah tambah nilai istimewa kepada karya tersebut. Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon seperti Adi Putra, Nora Danish, Izzue Islam, Betty Rahmad, Jue Aziz, Liza Abdullah, Razak Ahmad, Norman Hakim dan Kamaliah Mat Don. Suami Aku Ustaz mengisahkan tentang Alisa lakonan Nora Danish dipaksa bernikah dengan sepupunya merangkap guru agama di sekolah menengahnya iaitu Ustaz Hafiz lakonan Adi Putra apabila ibu bapanya ingin mengerjakan haji. Hanya kepada Ustaz Hafiz sahaja tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi untuk menjaga Alisa sepanjang mereka di Mekah. Dilema bermula setelah mereka berkahwin apabila Alisa perlu menyembunyikan statusnya di sekolah daripada diketahui oleh orang lain termasuk rakan baiknya sendiri, Wati (Betty Rahmad) dan Johan (Izzue Islam). Dalam dilema dan perbezaan usia yang ketara, Alisa juga terpaksa berdepan dengan pelbagai konflik untuk menerima Ustaz Hafiz sebagai suaminya. Sementara itu, dari segi persembahan para pelakon dalam naskah berkenaan, gandingan Adi dan Nora menjadi kerana mereka mempunyai keserasian sebagai pasangan serasi dalam layar. Ini mungkin kerana mereka sebelum ini pernah beberapa kali digandingkan bersama termasuk dalam filem Aku Terima Nikahnya sebelum ini. Pun begitu, Nora kelihatan sedikit ‘matang’ untuk memegang watak anak remaja namun dia dilihat selesa membawa peranan diberikan secara bersahaja meskipun usianya kini sudah menjangkau 33 tahun. Nora berjaya membuktikan kemampuan dirinya untuk melakonkan watak remaja 17 tahun yang memberontak akibat dipaksa berkahwin dengan lelaki matang tanpa rela walaupun dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan dugaan. Manakala Adi Putra dilihat begitu selesa memegang watak sebagai Ustaz Hafiz dan berjaya melunaskan tanggungjawabnya sebagai pelakon dengan cemerlang biarpun turut bertindak sebagai pengarah bersama filem itu. Keikhlasan Adi dalam menzahirkan karakternya sebagai seorang lelaki matang dan tabah untuk melayan karenah isterinya yang seperti kebudak-budakkan harus diberi pujian. Suami Aku Ustaz wajar diberi perhatian oleh penggemar filem adaptasi novel sekiranya mereka ingin mengetahui kisah cinta yang terjalin di dalam filem ini. Secara keseluruhannya filem ini berjaya menyentuh perasaan penonton dengan pelbagai unsur sedih dan jenaka diselitkan serta ia sarat pengajaran yang boleh dipelajari dalam kehidupan.