suria

Polis Evo Menyerlah Sebagai Sebuah Filem Aksi

Polis Evo sudah pun berada di pawagam sejak 17 September lalu.

FILEM: Polis Evo

PENGARAH: Ghaz Abu Bakar

PELAKON: Shahiezy Sam, Zizan Razak, Nora Danish, Pablo Amirul, Wan Hanafi Su, Mimie Ernida, Amerul Affendi dan Harun Salim Bachik

GENRE: Aksi

DURASI: 90 minit

PENGEDAR: Astro Shaw

TARIKH TAYANGAN: 17 September 2015

JIKA bercakap mengenai filem genre aksi keluaran tempatan pasti ramai di antara kita yang bersikap skeptikal terhadap kualiti dan kehebatan yang mampu ditonjolkan selain membandingkan dengan karya-karya terbitan antarabangsa.

Ekoran itu, tidak ramai penerbit berani mengambil cabaran untuk menghasilkan naskah bertunjangkan genre berkenaan ditambah dengan keadaan industri yang agak perlahan ketika ini.

Namun tidak bagi Astro Shaw yang mengambil langkah berani mempertaruhkan produk terbaharu mereka berjudul Polis Evo.

Diarahkan pengarah berbakat besar, Ghaz Abu Bakar, Polis Evo sejujurnya mempunyai peluang cerah untuk menarik perhatian penonton kembali ke panggung.

Gandingan Zizan dan Sam menjadi.

Tidak keterlaluan untuk penulis katakan, Polis Evo adalah antara karya yang telah membawa perubahan dalam arus perfileman yang semakin mengecewakan.

Ghaz sebagai pengarah telah membawa filem genre aksi terbitan tempatan ke tahap lebih tinggi selain menunjukkan kemahiran dan kematangan dalam pembikinannya.

Pengalaman menonton tayangan perdana Polis Evo baru-baru ini cukup menarik kerana ia memberi kepuasan dan kelainan.

Filem menampilkan kepolisan yang bukan asing diketengahkan dalam filem atau drama namun sentuhan Ghaz menerusi cerita yang ditulis oleh empat penulis skrip cukup menyerlah.

Nora dalam satu babak mencemaskan.

Biarpun mengetengahkan isu biasa iaitu dadah namun ia berjaya diolah dengan menarik dan lari daripada kebiasaan.

Latar dipilih iaitu Terengganu dan loghat tempatan yang digunakan turut memberi tambah nilai kepada filem berkenaan.

Permulaan yang kuat diawal penceritaan turut menjadi tunjang kepada kejayaan filem ini kerana ia mampu membuatkan penonton ternanti-nanti tentang kisah selanjutnya.

Polis Evo menampilkan barisan pelakon seperti Shahiezy Sam, Zizan Razak, Nora Danish, Pablo Amirul, Wan Hanafi Su, Mimie Ernida, Amerul Affendi dan Harun Salim Bachik.

Mula ditayangkan pada 17 September lalu, ia mengisahkan mengenai Inspektor Khai (Shaheizy Sam) ditugaskan untuk menyiasat kes pengedaran dadah di Terengganu.

Sam sebagai Inspektor Khai.

Meskipun kes ini mempunyai kaitan dengan kes yang dikendalikan oleh Khai sebelum ini, namun dia harus bekerjasama dengan Sani (Zizan Razak) yang bertugas di Terengganu.

Khai seorang yang tegas dan sering bertindak tangkas dan ini berbeza sekali dengan Inspektor Sani, yang lebih mengikut prosedur dan protokol.

Ketidakserasian itu membuatkan misi mereka hampir gagal. Segalanya berubah apabila ketua penjenayah, Izrail mula melibatkan keluarga Inspektor Sani dalam kes ini.

Dalam padad itu, sudut teknikal naskah berkenaan, Ghaz jelas tidak malas dalam memastikan visual yang dihasilkan adalah terbaik.

Malah Ghaz bijak merancang pergerakan kamera selain menggunakan kamera berdefinisi tinggi iaitu Red Epic Dragon dalam membantu merakamkan visual dengan lebih menarik.

Ghaz cemerlang sebagai pengarah Polis Evo.

Malah kesan khas Polis Evo cukup cemerlang dan sukar untuk mengenal pasti ia sebenarnya dibantu dengan teknik imej janaan berkomputer (CGI).

Pujian harus diberikan kepada Ghaz kerana berjaya memaparkan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan cemerlang terutamanya dalam menggambarkan cara mereka bertindak dalam sesuatu kes jenayah.

Sementara itu, penulis pada awalnya agak skeptikal dengan gandingan Sam dan Zizan yang menerajui filem berkenaan namun pandangan kasar itu ternyata meleset.

Perbezaan karekter dan personaliti yang diwujudkan dalam watak mereka sebenarnya memberi warna selain ia melengkapi dalam menghidupkan peranan diberikan kepada mereka.

Antara babak menarik dalam Polis Evo.

Zizan secara individu telah berjaya melepasi sempadan yang selama ini terlalu sinonim dengan watak komedi apabila berjaya menunjukkan sisi lainnya sebagai pelakon.

Tidak ketinggalan watak Anis lakonan Nora yang tidak kelihatan kekok apabila perlu berturut dalam loghat Terengganu. Pujian sewajarnya diberikan kepadanya atas usahanya itu.

Secara keseluruhannya, Polis Evo adalah sebuah naskah yang cukup kemas yang merangkumi semua aspek yang perlu ada dalam sesebuah filem.

Pada penulis, filem ini adalah harus ditonton dipawagam dan ia adalah pelaburan yang sangat berbaloi!

Artikel Sebelum

Artikel Lain