suria

Adiba Yunus Kekuatan 'Badi'

FILEM: Badi 

PENGARAH: Eyra Rahman

PELAKON: Azwan Kombos, Adiba Yunus, Hanif Safuan, Rashidah Jaafar, Sharisa Haris dan Navilya Husna.

GENRE: Seram/Drama

DURASI: 90 minit

PENGEDAR: Metrowealth International Group (MIG)

TARIKH TAYANGAN: 15 Oktober 2015

KEMUNCULAN pelakon Adiba Yunus dalam filem arahan Eyra Rahman berjudul Badi wajar diberi pujian berdasarkan lakonan mantap diberikan menerusi watak Sarah.

Persembahan yang dilontarkan Adiba cukup menyakinkan dan jelas dapat dilihat kesungguhannya dalam membuktikan kehadirannya dalam industri perfileman bukan sekadar berlandaskan rupa paras yang cantik.

Adiba berjaya menyelami peranan diberikan kepadanya dengan cemerlang selain menzahirkan Sarah sebagai seorang gadis kampung tipikal namun jelas pada wajahnya menyimpan misteri.

Tindakan pelakon itu mengambil kelas latihan seni tari tradisional Mak Yung juga tidak sia-sia apabila persembahan tariannya memberi aura berbeza.

Jujurnya, komitmen Adiba terhadap Badi penyelamat keseluruhan filem tersebut yang pada dasarnya agak longgar dari segi beberapa aspek termasuk jalan cerita ditonjolkan.

Ini kerana permulaan cerita yang agak longgar mencacatkan momentum naskah berkenaan namun ia masih berjaya menangkap perhatian penonton.

Sekumpulan pelajar perubatan diberi tugas untuk mengendalikan mayat Mek Nak.

Pun begitu, Eyra sebagai pengarah berjaya merialisasikan gambaran penulis skrip dengan cemerlang termasuk dari segi pengarahan, teknikal.

Malah elemen Mak Yong sebagai latar memberikan keunikan selain ia digarap baik dalam plot penceritaan yang ingin ditonjolkan.

Pergerakan halus kamera dalam menangkap setiap syot tarian Mak Yong yang mempunyai seni tersendiri cukup mengasyikkan.

Badi mengisahkan mengenai sekumpulan pelajar perubatan yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah hospital dan kejadian seram mula menimpa mereka selepas diberi tugassan untuk menjalankan pemeriksaan anatomi terhadap mayat seorang bidan iaitu Mek Nak.

Bagaimanapun semasa proses itu dilakukan mereka melakukan perkara melanggar etika seorang doktor selain mencuri barang kepunyaan Mek Nak.

Ekoran perbuatan mereka itu beberapa kejadian misteri mula menggangu mereka dipercayai akibat terkena badi mayat Mek Nak.

Badi sudah pun berada di pawagam sejak 15 Oktober lalu.

Sementara itu, hero Badi, Azwan Kombos juga memberikan persembahan bertenaga tetapi bersahaja dalam menterjemahkan watak sebagai Joe.

Badi barangkali adalah karya yang memperlihatkan sisi kematangannya sebagai seorang pelakon dan sekirnya diberi lebih peluang dia mampu memberi saingan kepada aktor sedia ada.

Kesimpulannya, Badi adalah sebuah karya menarik dan sewajarnya diberi perhatian ketika ia masih ditayangkan di pawagam.

Adiba Yunus, Badi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain