FILEM: Kong: Skull Island
PENGARAH: Jordan Vogt-Roberts
PELAKON: Tom Hiddleston, Samuel L. Jackson, Brie Larson, John Goodman, John C. Reilly, Jing Tian dan Toby Kebbell
GENRE: Aksi
DURASI: 118 minit
PENGEDAR: Warner Bros. Pictures
TARIKH TAYANGAN: 9 Mac 2017
APABILA penulis membaca tentang keghairahan Hollywood yang mahu menerbitkan semula kisah tentang beruk gergasi, King Kong, tertanya-tanya juga apa lagi yang ingin mereka persembahkan.
Sementelah, sudah tujuh kali King Kong membuat kemunculan dalam sinema dunia bermula dari filem King Kong (1933) sehinggalah filem terakhirnya yang diarahkan oleh bekas pemenang Oscar, Peter Jackson yang turut menggunakan judul King Kong (2005).
Jujurnya, versi Peter Jackson adalah filem kegemaran penulis yang disifatkan memiliki nostalgianya tersendiri selain emosi dan jiwa yang telah memberikan nyawa terhadap filem King Kong tersebut.
Lalu, apabila King Kong dijelmakan sekali lagi untuk kali kelapan dalam filem Kong: Skull Island yang sudah pun ditayangkan sejak 9 Mac lalu, apakah istimewanya versi kali ini yang menerima sentuhan sutradara, Jordan Vogt-Roberts?
Perkara pertama yang menarik perhatian penulis untuk menonton Kong: Skull Island ialah barisan pelakonnya yang boleh dikatakan ditunjangi oleh pemain handalan termasuk bekas pemenang Oscar, Brie Larson.
Kemunculan Brie Larson sebagai Mason Weaver tidak meninggalkan impak besar seperti diharapkan.
Kekuasaan dan keperkasaan King Kong sebagai beruk gergasi kurang dirasai kali ini. Dalam erti kata lain, King Kong tidak digambarkan dengan begitu hebat seperti mana seharusnya ia menjadi sedemikian rupa.
Malah, babak beremosi sewaktu James Conrad (lakonan Tom Hiddleston) dan Mason Weaver (Larson) bertemu dengan King Kong sehingga mereka mengalirkan air mata juga tidak dirasai penulis.
Penulis melihat watak itu seperti mahu diadakan bagi meraih simpati penonton seperti mana babak yang lebih kurang sama dalam filem King Kong terdahulu walhal hubungan antara Conrad dan Weaver dengan makhluk itu tidak pernah dibina.
Perasaan mereka timbul hanyalah selepas mendengar kisah daripada seorang askar veteran, Hank Marlow (John C. Reilly) yang terperangkap di pulau berkenaan sejak Perang Dunia Kedua meletus tentang siapa sebenarnya King Kong.
Pun begitu, Kong: Skull Island tidaklah hanya sebuah filem blockbuster yang sudah bersedia untuk mengaut keuntungan berlipat ganda tetapi intipati filem ini adalah relevan dan masih berkaitan dengan masalah dunia yang tidak pernah berkesudahan.
Metafora Kong: Skull Island memperlihatkan kerakusan dan ketamakan manusia yang hanya mementingkan diri sendiri dan menceroboh hak asasi golongan lain.
Manusia digambarkan sebagai golongan yang tidak mempedulikan hati dan perasaan makhluk lain yang turut menginginkan kehidupan tenang tanpa sebarang gangguan.