suria

‘War for the Planet of the Apes’ Pelengkap Trilogi Terbaik

Bekas calon Oscar, Woody Harrelson (kanan) memberikan impak lakonan yang berkesan sebagai Kolonel.

FILEM: War for the Planet of the Apes

PENGARAH: Matt Reeves

PELAKON: Andy Serkis, Woody Harrelson, Steve Zahn, Karin Konoval, Judy Greer, Gabriel Chavarria dan Amiah Miller

GENRE: Aksi/Drama

DURASI: 143 minit

PENGEDAR: 20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN: 13 Julai 2017

NAMPAKNYA tahun 2017 bukanlah tahun yang dikira terbaik untuk Hollywood. Sebelum ini, mereka begitu berbangga dan megah dengan francais filem baharu yang dicipta mereka sendiri tetapi akhirnya, ia memakan diri mereka semula.

Ada alasannya mengapa penulis memulakan ulasan filem minggu ini dengan mukadimah sedemikan rupa.

Mengapa? Semuanya kerana francais filem mega yang sebelum ini memberikan keuntungan berlipat ganda tetapi sudah mula menampakkan kelesuannya.

Filem-filem sekuel yang ditayangkan tahun ini menerusi francais filem seperti Transformers, Pirates of the Caribbean, Cars dan Despicable Me yang sebelum ini mencatatkan kutipan tiket yang hebat di Amerika Syarikat (AS) nampaknya tidak mampu berdiri megah lagi.

Kutipan luar biasa yang pernah dicatatkan oleh francais filem ini di bumi Hollywood kini hanya mampu berbangga dengan kutipan tiket yang dicatatkan di luar AS untuk menutup kelemahan francais filem tersebut.

Filem War for the Planet of the Apes bukan sahaja diangkat sebagai salah sebuah naskhah terbaik tahun ini tetapi juga yang terbaik dalam francais baharu ini.

Bahkan, francais filem yang baharu sahaja hendak diwujudkan, Dark Universe menerusi filem pertama mereka, The Mummy pun tidak berupaya untuk mengaut keuntungan berlipat ganda di AS walaupun mempertaruhkan bintang Gred A, Tom Cruise.

Pada hemat penulis, kesilapan yang dilakukan oleh francais tersebut adalah terletak kepada jalan cerita dan pengolahan yang lemah dan cuba hendak merendah-rendahkan pemikiran audiens yang semakin hari semakin bijak untuk berfikir.

Disebabkan itu, apabila filem ketiga daripada francais filem Planet of the Apes versi baharu untuk dekad ini, War for the Planet of the Apes atau penulis singkatkan menjadi War sahaja, ia menebus kelemahan yang dilakukan oleh francais filem lain.

Kekuatan dan kelebihan War adalah terletak kepada jalan cerita dan lakon layar yang penulis sifatkan hampir sempurna kerana ia disusun dengan cantik, teratur serta penuh kekemasan lalu membuatkan ia menjadi sebuah naskhah yang hebat.

Walaupun francais Planet of the Apes yang baharu ini tidak mempertaruhkan bintang Gred A yang memiliki populariti luar biasa bermula daripada filem pertamanya, Rise of the Planet of The Apes (2011) dan kemudiannya, Dawn of the Planet of the Apes (2014), kekuatan naskhahnya itulah yang meletakkan francais baharu ini sebagai antara yang terbaik.

Filem War for the Planet of the Apes bukan sahaja diangkat sebagai salah sebuah naskhah terbaik tahun ini tetapi juga yang terbaik dalam francais baharu ini.

Sebagai pengarah dan salah seorang penulis, Matt Reeves membuktikan bahawa untuk terus menghidupkan sebuah francais filem adalah untuk terus memberikan kekuatan kepada struktur penceritaan yang segar dan realistik.

Hebatnya War terletak dalam pelbagai aspek yang melengkapi filem tersebut terutama tema filemnya yang mempunyai beberapa lapisan untuk penonton berfikir dan mencari solusi di sebalik mesej tersiratnya.

Hakikatnya, banyak perkara dalam War yang boleh menjadi perdebatan dan bahan kajian akademik terutama apabila membabitkan hubungan manusia dengan makhluk lain yang menghuni bumi dan bagaimana simbiosis yang kini sudah mula terjejas itu akhirnya membawa padah untuk semua.

Bahkan, menerusi War turut memaparkan perbezaan hubungan antara manusia dengan manusia lain jika hendak dibandingkan dengan komuniti beruk dan cimpanzi yang memang semulajadinya tidak diberikan akal fikiran seperti kita.

Lantaran itu, War memiliki resipi lengkap – cukup dengan segala rempah ratusnya yang menjadikan ia sebuah santapan enak yang memiliki pelbagai rasa lalu meletakkannya ia sebagai salah sebuah naskhah terbaik bukan sahaja untuk tahun ini tetapi dalam francais ini sendiri.

Antara babak menarik dalam filem yang ditayangkan sejak 13 Julai lalu.

Sejak dari filem Rise of the Planet of the Apes, teraju utamanya, Andy Serkis tidak pernah gagal memberikan persembahan terbaik sebagai cimpanzi pintar bernama Caesar yang memiliki pemikiran dan emosi seperti manusia normal.

Sama seperti dua filem terdahulu, Serkis sebagai Caesar telah memberikan pelbagai emosi dalam watak berkenaan sehingga ia mampu menyentuh jiwa penonton dengan setiap babak yang melibatkan dirinya.

Penulis merasakan sudah tiba masanya, pihak Anugerah Akademi atau Oscar merubah syarat kelayakan mereka dengan mengiktiraf Serkis dengan anugerah pencapaian khas atau lebih molek untuk membenarkannya dicalonkan untuk Pelakon Lelaki Terbaik.

Perkara ini sudah lama dibangkitkan sejak Serkis menempa nama menerusi watak Gollum dalam filem trilogi The Lord of the Rings kerana berlakon secara performance capture juga menepati istilah berlakon walaupun imej di skrin menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI).

Seperkara lagi yang menjadikan War sebagai sebuah naskhah hebat adalah kekuatan skor muzik yang dihasilkan oleh bekas pemenang Oscar, Michael Giacchino yang penulis sifatkan sebagai genius.

Salah satu babak filem War for the Planet of the Apes.

Setiap babak diberikan nyawa dengan skor muzik Giacchino yang meninggalkan kesan yang bukan sedikit untuk membuatkan penonton mengikut rentak cerita yang dipaparkan di layar.

Tidak salah untuk penulis katakan bahawa Giacchino antara calon yang berpotensi besar dicalonkan untuk Oscar bagi kategori Skor Muzik Asal Terbaik tahun hadapan.

Pengakhiran filem ini walaupun membuatkan penulis bergenang air mata tetapi mesejnya jelas bahawa francais ini telah dihasilkan dengan cemerlang untuk sebuah penutup yang menggembirakan.

Biarpun sudah ada ura-ura yang mengatakan filem keempat dalam francais ini sudah pun dalam pembikinan, penulis berharap biarlah War for the Planet of the Apes menjadi penutup kepada triloginya agar ia kekal menjadi salah sebuah francais terbaik yang pernah dihasilkan.

Jika tidak, bimbang ia akan merosakkan jenama baharu ini melainkan para pembikinnya terus memberikan idea segar dan baharu yang tidak merepek untuk dijual kepada khalayak.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain