FILEM: Kingsman: The Golden Circle PENGARAH: Matthew Vaughn PELAKON: Colin Firth, Taron Egerton, Julianne Moore, Mark Strong, Channing Tatum, Halle Berry, Pedro Pascal, Jeff Bridges dan Elton John. GENRE: Aksi/Komedi DURASI: 140 minit PENGEDAR: 20th Century Fox TARIKH TAYANGAN: 21 September 2017 KEHADIRAN filem Kingsman: The Secret Service sekitar tiga tahun lalu diterima dengan baik oleh sebahagian besar penggemar filem secara amnya. Ramai menyifatkan filem arahan Matther Vaughn itu membawa angin perubahan dalam pembikinan filem bercorak aksi komedi dengan berlatar belakangkan dunia penyiasatan. Ditambah pula dengan bekas pemenang Oscar, Colin Firth yang bergandingan dengan bintang muda, Taron Egerton, gandingan mereka telah memantapkan lagi filem yang diadaptasi daripada komik Kingsman itu. Menyedari penerimaan positif peminat terhadap Kingsman: The Secret Service, Vaughn meneruskan misinya dengan menghasilkan filem sekuelnya, Kingsman: The Golden Circle atau ringkasannya, Golden Circle. Masih lagi bekerjasama dengan Jane Goldman dalam menghasilkan lakon layarnya seperti mana filem pertama, Golden Circle dilihat sebagai sebuah projek filem sekuel yang lebih besar dan bercita-cita tinggi. Gandingan mantap antara Kingsman lakonan Taron Egerton sebagai Eggsy (kiri) dan Colin Firth sebagai Harry Hart (tengah) bersama salah seorang anggota Statesman, Pedro Pascal sebagai Jack Daniels atau Whiskey. Pertamanya, ia menggabungkan bintang ternama berstatus Gred A di Hollywood termasuk dua aktres yang merupakan bekas pemenang Oscar, Julianne Moore dan Halle Berry. Jika filem pertama, Egerton satu-satunya penjamu mata buat audiens, kali ini, Golden Circle menampilkan pula aktor kacak, Channing Tatum sebagai gula-gula untuk terus menarik perhatian peminat ke panggung (sememangnya kali ini Tatum ‘dieksploitasi’ sepenuhnya dalam babak-babak tertentu). Dalam konteks cita-cita tinggi yang dimaksudkan itu apabila Golden Circle tidak lagi berkisarkan tentang dunia penyiasatan Kingsman semata-mata sebaliknya mereka mempunyai rakan sepasukan baharu yakni Statesman. Pastinya sesuatu yang menarik apabila melihat dua negara, Amerika Syarikat dan Britain bersatu untuk menyelamatkan dunia daripada pengaruh Poppy Adams (lakonan Moore) yang mahu meluaskan empayar dadahnya ke seluruh dunia. Lalu, babak aksi yang menjadi santapan wajib untuk filem sebegini disajikan kepada audiens dengan teknik suntingan serta pengarahan yang dilihat mahu memberikan sesuatu di luar kotak. The Golden Circle menampilkan dua pelakon ternama, Channing Tatum sebagai Tequila dan Halle Berry (Ginger Ale). Akan tetapi, ada momen tertentu, ia dilihat berlebih-lebihan dan tidak masuk dek akal lalu menjadikan Golden Circle telah mengubah keaslian konsep cerita Kingsman yang pada hemat penulis dibikin dengan penuh gaya dan dalam acuan tersendiri. Benar. Babak aksi merupakan taruhan untuk terus membuatkan penonton melekat di kerusi sehingga tamat tayangan lalu soal itu tidak seharusnya dijadikan satu isu besar. Namun, masalahnya di sini apabila perkara itu terjadi, ia tidak ubah seperti filem aksi sedia ada sedangkan Kingsman sepatutnya berada dalam kelas tersendiri seperti mana yang dapat dilihat dalam filem pertamanya. Masalah besar Golden Circle adalah penceritaannya tidak terlalu berkisarkan kepada dunia Kingsman selaku tunjang utama cerita sebaliknya memfokuskan cerita sampingan yang penulis rasakan telah mencuri ruang dan durasi masa filem ini. Sehubungan itu, perjalanan cerita Golden Circle berada dalam kedudukan naik turun namun, tidak memiliki momentum seperti mana seharusnya berlaku. Bekas pemenang Oscar, Julianne Moore menggalas tanggungjawab sebagai pengedar dadah bernama Poppy Adams. Penulis percaya Vaughn dan Goldman mahu memberikan penceritaan lebih matang penuh beremosi terutama melibatkan Gary Unwin atau Eggsy (Egerton). Perkara itu tidak salah tetapi ia tidak diolah dengan baik dan kelihatan tidak kemas lalu membuatkan Golden Circle menjadi bosan pada momen tertentu. Penulis sendiri menyangkakan ia akan menjadi sebuah filem yang boleh dikategorikan hebat memandangkan babak awalnya cukup menyakinkan. Barangkali Vaughn selaku penulis dan pengarah menjangkakan penonton dan peminat tidak kisah akan perkara sebegini kerana beliau tahu Kingsman sudah mula memiliki kelompok tersendiri. Namun, apabila membicarakan tentang konteks filem sekuel dalam sinema dunia sekalipun, ia merupakan satu cabaran besar untuk pembikin sama ada ia akan menjadi lebih hebat atau setanding dengan filem pertama atau sebaliknya. Dalam satu perkara lain pula, Golden Circle masih mengekalkan cetak biru (blueprint) seperti mana filem terdahulu terutama membabitkan selebriti terkenal membuat kemunculan sebagai kameo. Barisan pelakon ternama bertaraf Gred A Hollywood termasuk Elton John (kanan sekali) yang membintangi Kingsman: Golden Circle. Jika filem pertama, bintang Star Wars, Mark Hamill membuat kemunculan istimewa, kali ini, penghibur legenda, Sir Elton John mewarnai Golden Circle dengan lakonan bersahaja untuk memberikan sentuhan humor. Sama juga apabila watak antagonis dipegang oleh pelakon ternama apabila Samuel L. Jackson dalam filem pertama dan kali ini dijayakan oleh Moore pula yang memberikan dimensi lakonan berbeza dan tidak stereo tipikal apabila membabitkan penjahat wanita. Pun begitu, kasihan pula melihat Berry sebagai Ginger Ale yang masih lagi berada dalam acuan tipikal untuk aktres kulit hitam sepertinya. Mungkin kemunculannya dalam Golden Circle akan memberi anjakan dalam perkembangan wataknya untuk filem seterusnya kelak. Penulis percaya legasi Kingsman akan diteruskan apabila filem ketiganya sudah pun mendapat lampu hijau untuk dihasilkan. Bukan itu sahaja, filem turunan (spin off) Statesman juga akan dibikin selepas ini yang mungkin akan menonjolkan lagi karakter Ginger Ale kelak. *** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.