suria

‘Pinjamkan Hatiku’ - Osman Ali Perlu Keluar Zon Selesa

Gandingan pertama Shaheizy Sam dan Ayda Jebat dalam filem Pinjamkan Hatiku.

Filem: Pinjamkan Hatiku

Pengarah: Osman Ali

Pelakon: Ayda Jebat, Shaheizy Sam, Farid Kamil, Lia Natalia, Normah Damanhuri, Naza Manas dan Azizah Mahzan

Genre: Drama

Durasi: 117 minit

Pengedar: Skop Productions Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 30 November 2017

PENULIS mempunyai pandangan skeptikal terhadap filem cereka ke-12 arahan pengarah terkenal, Osman Ali berjudul Pinjamkan Hatiku yang memulakan tayangannya pada 30 November lalu.

Perasaan itu timbul kerana penulis merasakan apabila Osman masih memilih melodrama sebagai taruhan ia akan menjadi sebuah karya yang sama seperti mana sudah dilakukannya sebelum ini.

Definisi sama yang penulis maksudkan ialah dari sudut penceritaan, tema dan iringan skor muzik yang mendayu-dayu serta melankolik yang secara tidak langsung membangkitkan rasa skeptikal penulis.

Biarpun pertama kali berlakon filem, lakonan Ayda Jebat sebagai Laila Safitri boleh dibanggakan.

Lihat sahaja bagaimana filem-filem popular arahan Osman sebelum ini – Kau Yang Satu (2017), Langit Cinta (2016), Pilot Cafe (2015) dan Ombak Rindu (2011) yang mana kesemuanya memiliki persamaan seperti mana yang penulis sebutkan di atas.

Bukan mahu menidakkan kemampuan pengarah kelahiran Pulau Langkawi, Kedah itu, bahkan, penulis merasakan Osman berjaya meneruskan legasinya sebagai pengarah filem melodrama daripada pengarah terdahulu.

Tetapi, sebagai pengarah yang penulis sifatkan seorang yang kreatif, penulis mahu Osman keluar dari zon selesanya dan menghasilkan sesuatu yang mencabar minda dan berbeza daripada acuan kegemarannya.

Ya, benar. Filem bercorak melodrama antara yang menjadi kegemaran sebahagian besar penonton Melayu tetapi, mengambil kira latar belakang dan senario hari ini, Osman harus memikirkan sesuatu yang dapat memantapkan profil seninya.

Tema kekeluargaan dan kasih sayang masih lagi menjadi elemen penting untuk menguatkan cerita Pinjamkan Hatiku.

Berbalik kepada filem Pinjamkan Hatiku yang ditunjangi tiga pelakon popular iaitu Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan Farid Kamil, nampaknya pandangan skeptikal penulis terhadap Osman sedikit terhakis.

Pertamanya, jalan penceritaan dan temanya adalah berbeza dengan filem melodrama Osman sebelum ini lalu menjadikan Pinjamkan Hatiku sebagai sesuatu yang boleh dikatakan agak segar dan menarik untuk ditonton.

Naratif Pinjamkan Hatiku bergerak dengan tempo yang walaupun di awalnya agak perlahan dan klise tetapi selepas disuntik dengan babak dramatik, panduannya bermula laju sehingga ke penghujungnya.

Satu yang pasti cerita Pinjamkan Hatiku lebih berfokus dan kemas lalu mampu membuatkan penonton untuk terus duduk dan merasai pengalaman cinta sejati oleh Laila Safitri (lakonan Ayda Jebat) dan Naufal (Shaheizy Sam).

Farid Kamil sebagai Dr. Hasnan dalam filem Pinjamkan Hatiku.

Tidak seperti filem-filem Osman sebelum ini, plot karya ini bersifat tunggal yakni bertumpu kepada kisah cinta Laila dan Naufal sementara subplotnya pula hanya memaparkan konflik cinta antara Laila dan Hasnan (Farid Kamil) secara ringkas.

Malah, Pinjamkan Hatiku tidak memerlukan subplot klise, memualkan dan mudah dijangka seperti mana yang sudah terlalu banyak diketengahkan sebelum ini dan disebabkan itu ia ibarat sebuah cerita yang ‘bersih’ tanpa sebarang drama tambahan yang tidak perlu.

Cukup sekadar permainan emosi dan gejolak jiwa antara tiga pemain watak utamanya yang menyokong dan melengkapkan filem ini untuk menjadikan ia sebagai sebuah filem cinta yang secara realistiknya, berpegang teguh kepada ketentuan takdir.

Pun begitu, dari sudut lakon layar, penulis berpendapat ia tidak memiliki elemen baharu dan masih lagi terikat dengan acuan sama seperti mana filem-filem melodrama Osman sebelum ini.

Malah, tema kekeluargaan, persahabatan dan kasih sayang seperti mana yang selalu disuntik dalam kesemua filem arahan Osman masih kekal dan pastinya itu adalah elemen wajib yang diterapkan Osman dalam filem-filemnya.

Gandingan Shaheizy Sam dan Ayda Jebat ada ketika kelihatan canggung.

Sesuatu yang wajar dipuji untuk Pinjamkan Hatiku apabila keindahan sinematografinya menjadikan filem ini jauh lari daripada apa yang pernah dipersembahkan dalam filem-filem terdahulu bekas calon Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali itu.

Disebabkan itu, penulis tidak dapat menyembunyikan perasaan skeptikal itu di awalnya kerana yakin Osman pasti akan mengekalkan acuannya seperti mana sebelum ini.

Ternyata, Pinjamkan Hatiku memberikan satu penontonan indah dari sudut sinematografinya hasil kerja Khalid Zakaria dan sekali gus mendokong kepada penceritaannya itu sendiri.

Sementara itu, menyentuh bab lakonan pula, untuk Ayda yang baru pertama kali berlakon dalam filem cereka, lakonannya boleh dibanggakan walaupun masih banyak lagi perlu diperbaiki terutama dari segi penghayatan emosi.

Ternyata gadis genit itu bertuah kerana dapat bergurukan primadona tersohor, Fauziah Ahmad Daud bagi mendalami watak Laila Safitri.

Untuk Sam pula, rasanya inilah kali pertama dia membintangi filem cinta melodrama seperti ini dan sebagai Naufal, lakonan Sam cukup menyakinkan. 


Salah satu babak filem Pinjamkan Hatiku yang kini masih ditayangkan di pawagam.

Walaupun wataknya boleh dikategorikan sebagai watak berat juga, tetapi tidak seberat watak-watak yang dibawakannya dalam filem bercorak drama sebelum ini.

Sam masih memiliki aura lelaki romantis yang bisa membuatkan penonton terutamanya wanita cair dan kagum dalam masa yang sama dengan persona Naufal.

Tetapi, penulis tidak tahu mengapa apabila merasakan gandingan Ayda dan Sam kelihatan sedikit canggung dan cengkaman emosi cinta mereka itu seperti tidak menusuk ke jiwa.

Namun begitu, penulis ada rasa sedikit kasihan dengan Farid yang nampaknya masih lagi membawakan watak lelaki loser yang gagal memenangi cinta dan hati wanita yang disayanginya.

Penulis melihat lakonannya sebagai Hasnan memiliki persamaan dengan watak Budiman yang dilakonkannya dalam filem Langit Cinta juga arahan Osman.

Untuk mereka yang masih belum berkesempatan menonton Pinjamkan Hatiku, tidak salah untuk anda meluangkan masa di pawagam menyaksikannya terutama untuk mereka yang gemarkan filem seperti ini.

***Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017. Penulis juga bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Osman Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain