Filem: Best Story Pengarah: Teddy Chin, JY Teng dan Eden Wen Pelakon: Jack Lim, Jack Yap, Eric Lin, Keat Yoke Chen, Wayne Chua dan Jane Ng. Genre: Komedi/Drama/Thriller Durasi: 90 minit Pengedar: Mega Films Distribution Sdn. Bhd. Tarikh Tayangan: 18 Januari 2018 ADA ketika, ia sesuatu yang cukup menyenangkan hati menonton karya bukan berbahasa Melayu tempatan. Kenyataan penulis itu ada sebabnya. Pertamanya, tidak dinafikan, majoriti filem Melayu hari ini masih dipersembahkan di takuk lama dan tidak menunjukkan sebarang evolusi terutama aspek penceritaan. Tetapi, itu tidak bermakna semua filem Melayu itu buruk dan teruk. Keduanya, menonton filem tempatan bukan berbahasa Melayu sebenarnya membuka mata bahawa pembikin filem mereka memiliki idea menarik untuk diketengahkan dan dipersembahkan menerusi filem. Percaya atau tidak, ada di antara filem yang mereka hasilkan (termasuk filem berbahasa Cina, India dan Inggeris) jauh lebih baik dan berkualiti daripada filem Melayu sendiri. Bukan bersikap berat sebelah atau bias tetapi itu adalah satu semakan realiti yang perlu diterima dengan positif. Filem Best Story menampilkan tiga cerita pendek yang mendapat sentuhan tiga pengarah berbeza. Masih ingat bagaimana kehebatan dan kejayaan luar biasa yang dikecapi oleh Ola Bola (2016) dan The Journey (2015) sehingga mencipta rekod kutipan pecah panggung luar biasa? Kejayaan dua buah filem itu membuktikan bahawa bahasa bukan satu halangan untuk menikmati sebuah filem yang berkualiti walaupun bahasa perantaraannya bukan bahasa kebangsaan. Tetapi, penilaian dibuat dari sudut artistik dan fahaman sinema yang sekali gus dapat membuka mata dan minda untuk melihat perkembangan industri filem tempatan dari perspektif baharu. Disebabkan itu, penulis mengambil peluang untuk menilai dan mengulas filem Best Story yang telah memulakan tayangannya bermula 18 Januari lalu untuk kolum Wayang minggu ini. Ada sebab mengapa penulis tertarik untuk menonton Best Story yang mempersembahkan tiga cerita berbeza dengan mengambil satu peristiwa sebagai latar yang kemudiannya mengubah hidup watak-watak utamanya. Jack Yap menghidupkan wataknya sebagai lelaki yang seringkali gagal dalam setiap apa yang dilakukannya walaupun sudah mencuba sehabis baik. Namun, setiap satu cerita dipersembahkan yang mendapat sentuhan tiga sutradara berbeza itu memiliki satu punca yang menjadi titik permasalahan kepada setiap konflik yang berlaku dalam cerita masing-masing. emuanya adalah tentang bagaimana kehidupan manusia hari ini yang sering melihat kemewahan dan duit dapat memberikan segala-galanya walhal ia sebenarnya mampu meruntuhkan nilai diri seorang manusia. Tetapi dalam masa yang sama, bukan hanya duit menjadi punca kepada masalah manusia tetapi keadaan sekeliling, senario realiti semasa dan juga tekanan mendorong manusia untuk mengambil jalan singkat dalam menyelesaikan masalah. Mengambil contoh cerita pertama yang diarahkan oleh Teddy Chin, dek kerana merasakan dirinya seorang yang gagal, watak protagonisnya, Chen Yao Zu (lakonan Jack Yap) tidak berfikir panjang sehingga menyebabkan dirinya bertindak di luar kewarasan. Semuanya adalah kerana apa yang diinginkan oleh Yao Zu tidak menjadi kenyataan sejak dia lahir sehinggalah pada hari perkahwinannya apabila bakal isterinya kembali kepada bekas teman lelakinya, Darren (Jack Lim). Tempoh setengah jam menonton cerita pertama, penulis menyifatkan ia sebagai resipi lengkap untuk menjadikan ia sebagai sebuah naskhah komedi namun, memiliki maksud tersirat yang jelas menerusi metafora kehidupan Yao Zu tentang realiti masyarakat tempatan hari ini. Kemunculan Jack Lim sebagai penyanyi rock bernama Darren tidak kurang lucunya. Natijahnya juga, jika tidak berlaku benda yang buruk, tidak mungkin akan ada sesuatu yang positif dan kebaikan yang terhasil daripadanya walaupun ada ketikanya ia terjadi tanpa disedari. Berbeza pula dengan cerita kedua yang penulis mentakrifkannya sebagai filem cinta indah yang memiliki cerita tersendiri. Siapa sangka bayangan yang bermain di minda selama hidupnya rupa-rupanya adalah jodoh di depan mata. Semuanya adalah tentang cerita seorang penulis skrip bernama Huang Xun Wen (Eric Lee) yang menemui jalan buntu untuk menyiapkan skripnya. Walaupun diasak oleh penerbit, namun, Xun Wen masih juga tidak dapat mencari jalan penyelesaiannya. Masalah Xun Wen adalah untuk menghasilkan skrip daripada kisah cintanya sendiri di mana ia bukan sesuatu yang jelas kerana berlaku sewaktu dia di bangku sekolah rendah. Namun, kemunculan seorang wanita berperwatakan ceria dan positif, Le Le (Keat Yoke Chen) mengubah segala-galanya sehingga Xun Wen berupaya keluar dari masalahnya walaupun di awalnya dia sudah hampir berputus asa dengan kehidupannya. Dalam konteks cerita kedua yang diarahkan oleh JY Teng, soal takdir dan jodoh itu sebenarnya rahsia Tuhan amat kuat dan penulis mengakui ceritanya begitu menyentuh. Walaupun durasinya juga selama 30 minit, tetapi perjalanan cerita Xun Wen dan Le Le meninggalkan impak tersendiri. Seperti mana cerita pertama, naskhah kedua ini juga ada cerita tersendiri yang lebih ke arah tentang jiwa dan minat seseorang yang sebenarnya tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit. Wayne Chua sebagai Kang Ning dalam cerita ketiga yang berunsurkan thriller. Tetapi ia perlu hadir dengan sendirinya dari lubuk hati yang paling dalam untuk memberikan hasil kerja terbaik dengan adanya semangat, sikap positif dan dorongan daripada mereka yang memberikan sinar baharu dalam hidup seseorang. Untuk mengekalkan momentum filem ini, cerita ketiga pula memilih genre thriller dengan pendekatan psikologi tentang dunia sebuah keluarga kecil yang juga menjadi mangsa akibat kerakusan dan dikaburi dengan wang sehingga sanggup mengenepikan tanggungjawab hakiki. Secara ringkasnya, cerita ketiga memfokuskan kepada masalah Kang Ning (Wayne Chua) dan adiknya, Kang Jing (Jane Ng) selepas kematian ibu mereka yang sebenarnya membawa kepada terlerainya sebuah misteri yang berlegar di rumah mereka. Mendapat sentuhan pengarah Eden Wen, walau bagaimanapun, cerita ketiga ini agak mudah dijangka oleh penulis. Pun begitu walaupun isinya kompak, tempoh setengah jam cerita memiliki fokus dan hala tujunya. Mungkin ada yang menyangka dengan tiga cerita ditampilkan, ia mempunyai hubung kait sesama mereka tetapi sebenarnya tidak. Eric Lee (kiri) dan Keat Yoke Chen dalam filem kedua yang bertemakan cinta. Itu membuatkan penulis agak sedikit kecewa kerana jika setiap cerita itu memiliki hubungan di luar jangkaan, Best Story akan menjadi lebih menarik. Disebabkan itu, penulis hanya melihat Best Story sebagai tiga cerita pendek disatukan menjadi sebuah filem cereka. Walaupun dikatakan ia mengambil latar belakang tentang masalah permainan wang (money game) tetapi itu tidak cukup kuat untuk menjadi titik fokus kepada setiap permasalahan dalam tiga cerita itu. Tetapi, dari satu aspek lain, bukanlah satu kerugian untuk menonton Best Story kerana isi dan ceritanya adalah sesuatu yang wajar untuk difikirkan. Ini adalah kerana setiap permasalahan yang berlaku dalam ketiga-tiga ceritanya walaupun sedikit, pasti setiap seorang daripada kita pernah melaluinya tetapi dalam ***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.