Filem: Wheely Pengarah: Carl Mendez Penyumbang Suara: Zizan Razak, Lisa Surihani, Johan, Aiman Affendi, Erni Yusliana, Fadhil Rawi dan Ahmad Shahrizal Ahmad Roslan Genre: Animasi/Komedi Durasi: 90 minit Pengedar: Primeworks Studios Tarikh Tayangan: 16 Ogos 2018 BARANGKALI menyedari landskap perfileman negara yang tidak menentu membuatkan KRU Studios lebih selesa untuk tidak menghasilkan sebarang filem cereka. Kali terakhir mereka muncul dengan filem Cicakman 3 yang ditayangkan pada tahun 2015 yang telah mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM2.55 juta. Namun, itu bukan bermakna KRU Studios hanya duduk diam tanpa memikirkan sebarang perancangan baharu untuk merancakkan lagi dunia sinema tempatan. Tidak hanya menerbitkan filem cereka tempatan dan antarabangsa, KRU Studios juga mahu mempelbagaikan portfolio seni mereka dengan menubuhkan studio animasi mereka, Kartun Studios. Studio animasi berkenaan yang ditubuhkan di bawah label KRU International itu lebih memfokuskan kepada penghasilan filem animasi dan meneroka pasarannya yang ternyata lebih meluas selain dapat memberi pulangan yang tinggi dengan penjualan hak cipta ke serata dunia. Buktinya, filem animasi pertama terbitan mereka, Ribbit yang ditayangkan pada 2014 berjaya memenangi kategori Filem Cereka Animasi Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-27 pada tahun 2015. Bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali, Lisa Surihani menyumbang suaranya untuk watak Bella di Monetti. Selepas empat tahun, Kartun Studios kini kembali dengan filem animasi kedua mereka berjudul Wheely yang baharu sahaja menjengah pawagam tempatan pada 16 Ogos lalu. Filem Wheely yang ditayangkan dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Inggeris itu diarahkan oleh Carl Mendez manakala idea cerita asal pula adalah daripada pengasas KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim. Penulis berkesempatan menonton filem Wheely dalam bahasa Melayu beberapa hari lalu tidak menafikan bahawa filem ini secara keseluruhannya memang dihasilkan untuk tontonan seisi keluarga. Dari satu aspek, sebelum menonton Wheely, penulis tidak dapat menafikan dan lari daripada bayangan untuk membandingkannya dengan filem trilogi terbitan Walt Disney Pictures, Cars. Penulis percaya perkara itu tidak dapat dielakkan apabila Wheely dan Cars memiliki premis yang lebih kurang sama iaitu tentang dunia pemotoran dan kereta. Sementelah, perihal seumpama itu memang tidak dapat dielakkan kerana ia adalah lumrah. Namun, selepas satu setengah jam menonton Wheely, perbandingan itu tidak lagi timbul kerana ternyata jalan cerita antara kedua-duanya adalah jauh berbeza sama sekali. Johan menghidupkan wataknya sebagai skuter penghantaran bernama Putt Putt. Menyentuh tentang jalan cerita Wheely, bagi penulis, ia adalah sesuatu yang biasa dan pernah disaksikan sebelum ini. Apatah lagi acuan cerita sedemikian seolah-olah sudah menjadi resmi untuk filem animasi dan juga filem cereka. Apa yang penulis maksudkan di sini adalah kisah tentang bagaimana sebuah kereta biasa bernama Wheely (suara oleh Zizan Razak) yang memiliki cita-cita tinggi untuk menjadi kereta pelumba jalanan yang berjaya. Meskipun aksinya di jalanan menjadikan Wheely sebagai seorang juara namun, impiannya musnah untuk bergelar juara pertandingan antarabangsa apabila dia tidak dapat mengawal pemanduannya lalu terbabas ke dalam laut. Rentetan daripada peristiwa itu, Wheely harus menerima hakikat bahawa dirinya tidak lagi seperti dahulu dan merubah keadaan fizikalnya menjadi sebuah teksi. Pun begitu, dia masih bersemangat dan tetap berlumba di jalanan dalam diam sehingga ditahan oleh pihak berkuasa. Wheely memiliki sahabat karib iaitu skuter penghantaran bernama Putt Putt (Johan) yang sentiasa bersamanya susah dan senang. Dalam masa yang sama, Wheely sudah jatuh cinta dengan sebuah kereta mewah merah buatan Itali, Bella di Monetti (Lisa Surihani) selepas insiden Wheely menyelamatkan Bella daripada sebuah kemalangan yang tidak disengajakan. Salah satu babak filem Wheely yang kini sedang ditayangkan dalam dua versi. Sehinggalah pada satu hari, Wheely ditahan di penjara selepas dipergunakan oleh teman lelaki Bella bernama Ben (Aiman Affendi) atas kesalahan yang bukan berpunca daripada Wheely. Dalam masa yang sama, Kota Gasket berhadapan dengan ancaman jenayah oleh sebuah lori treler, Kaiser (Fadhil Rawi) yang memanipulasi sistem GPS dengan bantuan dua pembantunya untuk memerangkap kereta-kereta mewah untuk dijual di pasaran haram. Kemuncak ceritanya apabila Bella turut menjadi mangsa Kaiser dan dengan bantuan Putt Putt dan rakan-rakannya, Wheely berjaya meloloskan dirinya daripada penjara lalu melunaskan misinya menyelamatkan Bella daripada menjadi mangsa sindiket haram Kaiser. Daripada ringkasan cerita Wheely itu sahaja, sudah dapat digambarkan bagaimana kisah klise yang ditampilkan. Daripada bukan sesiapa lalu menjadi seorang hero dan mendapat seorang teman wanita yang cantik rupawan dan dari kalangan orang berada. Disebabkan itu penulis menyifatkan tiada apa yang luar biasa tentang cerita Wheely tetapi memandangkan ia adalah filem animasi, maka, mesej positif itu adalah elemen penting untuk memberikan impak kepada penonton cilik dan muda kerana ia lebih mudah menarik perhatian mereka. Di sebalik mesej positif itu, sebenarnya ada sedikit elemen negatif yang penulis rasakan tidak sesuai seperti membicarakan tentang soal perkahwinan dan juga dialog-dialog yang kedengaran dangkal. Filem Wheely turut memaparkan kisah persahabatan antara Wheely dan Putt Putt. Akan tetapi, kelemahan dan kekurangan utama Wheely apabila latar belakang cerita dan sentuhan animasinya yang penulis sifatkan begitu asing dan tidak dekat dengan rakyat Malaysia. Penulis faham Kartun Studios memiliki visi dan misi yang besar untuk memasarkan Wheely ke seluruh dunia tetapi bukankah lebih baik dan menarik jika latar belakang cerita itu dibuat dengan mengambil persekitaran Malaysia. Misalnya, kisah ceritanya mungkin dapat mengenegahkan kisah tentang dunia Proton dan Perodua dalam suasana muhibah negara yang lebih dekat dengan rakyat Malaysia. Mungkin juga pihak Kartun Studios tidak memikirkan tentang pandangan penonton terutama kanak-kanak kerana bagi mereka, filem animasi tetap filem animasi. Di pengakhirannya, penonton akan tetap pergi menonton hanya sekadar untuk berhibur. Disebabkan itu, apabila Wheely dibandingkan dengan Cars, perkara itu memang tidak dapat dielakkan kerana perkara-perkara seperti ini lalu Wheely menjadi sebuah karya yang tidak asli. Sebagai contoh, dalam satu adegan ketika Putt Putt sedang memilih makanan, tanda harganya diletakkan sebagai RM yang membawa maksud Ringgit Malaysia tetapi latar belakang ceritanya adalah di luar negara. Kisah perhubungan antara Wheely dan Bella di Monetti ibarat kisah antara dua darjat. Tambahan pula, dengan kelemahan penyumbang suara oleh para pelakonnya menjadikan ia bertambah janggal dan canggung apabila melihat suara Melayu melatari sebuah kisah yang berlatar belakangkan antarabangsa lalu dilihat seperti serba tidak kena. Bukanlah Zizan dan Lisa Surihani tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik tetapi permainan suara mereka untuk watak masing-masing kedengaran satu dimensi sahaja. Walaupun sekadar alih bahasa, tetapi, ia bukanlah satu kerja yang wajar diambil ringan kerana watak animasi juga mempunyai jiwa jika ia dilakukan dengan penuh bersungguh. Penulis harus berikan kredit kepada Johan kerana watak Putt Putt memang berjaya dihidupkan olehnya tetapi itu juga sebenarnya adalah satu stereotaip buat Johan kerana loghat Cina itu bukan asing untuk Johan dalam persembahannya sebelum ini. Apa yang penulis katakan ini adalah kerana memikirkan Kartun Studios adalah milik orang Melayu dan Malaysia. Pastinya ia sesuatu yang harus dititik beratkan kerana tiada gunanya untuk mengambil acuan barat yang sudah berzaman dipersembahkan kepada khalayak. Jauh sekali untuk membandingkan Kartun Studios dengan penerbit filem animasi yang lain tetapi studio animasi milik KRU Studios ini memiliki kelebihan tersendiri yang dapat meletakkan diri mereka sebagai terbaik jika dimanfaatkan sepenuhnya kreativiti itu. *** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017, kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.