suria

Osman Ali hilang arah bersama ‘Langsuirnya’

Percubaan yang baik antara Hannah Delisha dan Syafiq Kyle dalam 'Langsuir'.

Filem: Langsuir

Pengarah: Osman Ali

Pelakon: Syafiq Kyle, Hannah Delisha, Firdaus Nazaman, Julia Farhana Marin, Halim Radzi, Shahkimin, Nazri John dan Daaim Jailani

Genre: Drama/Seram

Durasi: 98 minit

Pengedar: Early Bird Productions

Tarikh Tayangan: 20 September 2018

SELAMA lebih sedekad bergelar pengarah filem cereka bermula dengan filem Puaka Tebing Biru (2007), memang tidak dinafikan, Osman Ali berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pengkarya yang disegani.

Sebagai seorang yang mengikuti hasil kerjanya selama ini, penulis harus akui bahawa Osman memiliki identiti dan cop mohornya sendiri dalam setiap filem cereka yang dihasilkannya.

Jika ditanya kepada penulis secara peribadi filem arahan Osman yang menjadi kegemaran penulis, daripada 13 buah filem yang sudah dihasilkannya, hanya empat buah filem sahaja yang tersenarai iaitu Jwanita (2015), Sejoli: Misi Mencantas Cinta (2014), Cun! (2011) dan Anak Halal (2007).

Selebihnya, untuk penulis, ia hanyalah sekadar untuk tontonan semata-mata terutama filem-filem melodrama yang muncul selepas fenomena filem Ombak Rindu (2011) kerana Osman sudah kelihatan seperti statik.

Filem ‘Langsuir’ yang menyaksikan gandingan pertama Hannah Delisha dan Syafiq Kyle di layar perak.

Lalu, apabila Osman muncul dengan filem baharunya, Langsuir yang merupakan filem ke-13 arahannya, penulis tidak menafikan bahawa berasa teruja kerana tema yang diketengahkan Osman kali ini boleh dianggap menarik.

Sementelah, sinema tempatan untuk sembilan bulan kebelakangan ini hanya dibarisi filem aksi, drama dan komedi, lalu penulis melihat Langsuir hadir tepat pada waktunya dalam memberikan variasi kepada khalayak.

Penulis menjangkakan Langsuir akan menjadi sebuah filem seram yang berjaya daripada Osman memandangkan anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah itu belum pernah menghasilkan karya seram dalam erti kata sebenar.

Namun, telahan penulis terhadap Langsuir ternyata meleset kerana ia bukanlah seperti mana yang disangka dan perkara itu membuatkan penulis berasa ralat.

Ralat kerana penulis mahu melihat pembaharuan daripada Osman tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku.

Bukan mahu bersikap kejam tetapi realitinya dan selepas menghabiskan masa selama lebih kurang satu setengah jam menontonnya, Langsuir adalah sebuah karya yang hilang arah tujunya.

Kepincangan dalam filem ini bukan sedikit kerana banyak kelompongan yang membuatkan penulis tertanya-tanya apakah sebenarnya yang mahu dipersembahkan oleh Osman menerusi Langsuir?

Pertamanya, Langsuir dilabelkan sebagai sebuah filem seram romantik. Dalam konteks itu, penulis tidak memiliki masalah kerana mengenali Osman, dia cukup mahir dalam memberikan pendekatan elemen cinta dan romantis dalam karyanya.

Salah seorang pelakon baharu yang diketengahkan dalam filem Langsuir, Daaim Jailani yang memegang watak sebagai Eron.

Namun, yang menjadi permasalahan di sini apabila elemen cinta yang diketengahkan itu langsung tidak kesampaian jika itu adalah tujuan utama Osman mahu menghasilkan Langsuir.

Memang tidak syak lagi, Osman memilih Syafiq Kyle dan Hannah Delisha sebagai teraju utama adalah disebabkan ledakan populariti yang dikecapi oleh mereka menerusi drama rantaian Mencintaimu Mr. Photographer, tahun lalu.

Tetapi gandingan mereka berdua yang pertama kali menerajui filem cereka nampaknya tidak meninggalkan impak gara-gara persembahan lakonan mereka yang hanya bersifat superficial atau cetek.

Pada awalnya, penulis mengakui lakonan Hannah Delisha sebagai langsuir bernama Suri agak menyakinkan tetapi bermula di pertengahan cerita, fokus lakonannya mula merosot dan akhirnya tenggelam bersama ceritanya yang mendatar.

Tidak dinafikan, Hannah memiliki wajah yang cantik tetapi untuk menjadi langsuir, paras rupa sahaja tidak mencukupi kerana semuanya memerlukan satu pakej yang lengkap termasuklah persembahan lakonan.

Tetapi, apabila dikaji sebaliknya pula, jika Langsuir ini dianggap sebagai sebuah filem seram yang sebenar dengan mengenengahkan kisah entiti berkenaan sebagai plot utama, perkara itu juga tidak kesampaian.

Penulis percaya jika Osman memfokuskan cerita Langsuir itu lebih kepada kisah hidup watak legenda dalam masyarakat Melayu itu dengan menjadikan kisah cinta sebagai sub plot, ia akan menjadi lebih kemas, kukuh dan tidak mustahil menjadi sebuah filem seram yang menarik.

Sebagai seorang pengkarya yang sering mengangkat watak wanita sebagai fokus utama, mengapa tidak Osman menjadikan watak Suri itu sebagai satu lambang kekuatan meskipun dia adalah langsuir.

Apatah lagi, sinema tempatan sudah lama ketandusan filem seram serius, Langsuir sebenarnya mampu menjadi sebuah karya terbaik jika penghasilannya lebih teliti dan tidak hanya memikirkan soal populariti semata-mata.

Seperti mana penulis menyentuh soal kelompongan yang menjadi punca kepada kegagalan Langsuir, semuanya adalah kerana cerita yang tidak kukuh yang menjurus kepada pelbagai tanda tanya.

Bayangkan apabila Suri kerap berkata kepada Azlan (Syafiq Kyle) bahawa dia serba-salah untuk meninggalkan pulau yang didiaminya bersama-sama keluarganya jika mahu terus bersama Azlan yang dicintainya, tetapi kelibat keluarga Suri langsung tidak kelihatan.

Ini kerana cara penyampaian itu seolah-olah menggambarkan pulau itu merupakan kawasan perkampungan langsuir yang secara pantas membuatkan penulis berfikir bahawa pastinya banyak lagi langsuir yang akan muncul.

Tetapi, yang dipaparkan hanyalah kakak Suri, Dewi (Julia Farhana Marin) yang bertindak sebagai one woman show dalam menyerang kawan-kawan Azlan dengan pengimejan yang langsung tidak menyeramkan.

Bukan itu sahaja, kunjungan Azlan dan rakan-rakannya ke pulau itu juga tidak jelas. Apakah mereka mahu bercuti menenangkan fikiran atau niat mereka memang mahu benar-benar mencari langsuir dan meluangkan bersama dengan entiti itu.

Hanya satu sahaja dalam fikiran penulis iaitu niat salah seorang kawan Azlan bernama Zaman (Firdaus Nazaman) yang memang kelihatan seperti lelaki gila seks yang mahu melempiaskan nafsu serakahnya bersama langsuir sejak dari awal kemunculannya di skrin.

Dalam erti kata lain, Zaman digambarkan sebagai seorang lelaki yang memiliki nafsu pelik sehingga begitu beriya-iya mahu mencari langsuir untuk melunaskan impiannya.

Sedangkan, dalam fikiran penulis sewaktu menilai watak Zaman, penulis menyangkakan dia ada agenda tersendiri dengan mahu membalas dendam terhadap langsuir yang mungkin telah membunuh ahli keluarganya dalam satu kejadian barangkali.

Osman Ali (tujuh dari kiri) bersama para pelakon Langsuir.

Ia berikutan bahasa tubuh dan ekspresi Zaman memang cukup jelas untuk melakukan sesuatu seperti mana yang penulis gambrakan dalam perenggan di atas.

Bahkan perasaan cemburu Zaman terhadap Azlan juga dengan pantas berlaku hanya kerana dia terlihat Azlan bersama Suri sedang berbual di dalam gua sedangkan babak berkenaan bukannya berlaku dalam jarak dekat.

Dalam erti kata lain, Zaman seperti memiliki kuasa luar biasa yang boleh melihat wanita bersama Azlan itu dan terus melabelkannya sebagai langsuir sedangkan Zaman sendiri tidak melihat wajah sebenar Suri ketika itu.

Pun begitu, aspek sinematografi oleh Bob Fitri wajar diberikan pujian yang menampakkan hasil kerja yang kemas dan menyakinkan.

Malah, penulis memberikan kredit kepada Osman kerana berani dan berjaya mempertaruhkan barisan pelakon baharu untuk menjadikan Langsuir lebih segar walaupun mereka memiliki ruang untuk terus memperbaiki mutu lakonan mereka.

Namun, apakan daya, kelebihan itu belum cukup untuk menjadikan filem Langsuir mencapai standard seperti yang diharapkan untuk seorang pengarah senior seperti Osman.

Hakikatnya, bekas calon Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali ini sebenarnya mampu melakukan lebih daripada itu untuk Langsuir sekali gus mengukuhkan portfolionya sebagai sutradara.

Sudah tiba masanya, Osman perlu kembali menjadi dirinya semula seperti mana dia dikenali menerusi filem-filem pendek Malaikat Di Jendela (2001) dan Bukak Api (2000) dalam menghasilkan karya yang memiliki tema dan cerita yang terbaik.

Seperti mana kata seorang sahabat sebaik selepas dia bertanyakan pendapat saya tentang Langsuir: “Osman Ali sudah lama hilang arah.”

Filem ini bagaimanapun berjaya mengutip RM1 juta selepas empat hari ditayangkan.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

 

Artikel Sebelum

Artikel Lain