Filem: Guang Pengarah: Quek Shio Chuan Pelakon: Kyo Chen Chong Wei, Ernest Chong, Emily Chan dan Adrian Lai Genre: Drama Durasi: 88 minit Pengedar: MM2 Entertainment Sdn. Bhd. Tarikh Tayangan: 29 November 2018 PENULIS selalu berpegang kepada prinsip bahawa bahasa bukan satu kekangan mahupun halangan untuk menikmati sebuah filem yang bagus. Pokok pangkalnya, semuanya perlu berbekalkan dengan cerita yang ampuh dan kemudiannya digarap dengan cukup teliti dalam menghasilkan sebuah lakon layar yang berkesan. Maka itu, terhasillah sebuah filem yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa perlu runsing memikirkan bahasa perantarannya. Rumusan itulah yang penulis simpulkan usai menonton filem Guang arahan Quek Shio Chuan yang baharu sahaja membuka tirainya pada 29 November lalu. Hanya satu perkataan yang dapat penulis gambarkan tentang Guang. Indah. Benar. Dari sudut pandang penulis, segala-galanya tentang Guang adalah cantik belaka dan penulis meletakkan Guang sebagai salah sebuah karya tempatan terbaik yang dihasilkan tahun ini. Jika bukan kerana bahasa pertuturannya adalah bahasa Mandarin, penulis memang meletakkan karya ini sebagai salah satu daripada lima calon untuk memenangi Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) akan datang kerana ia melengkapi acuan sebagai sebuah karya terbaik. Kyo Chen dan Emily Chan masing-masing sebagai Wen Guang dan Sue Ann dalam filem Guang yang kini ditayangkan di pawagam tempatan. Seperti mana penulis katakan di awal tadi, bahasa bukan masalah besar untuk meletakkan Guang antara yang terbaik tetapi intipati ceritanya yang membuatkan karya arahan Shio Chuan ini cukup mahal sekali. Keindahan Guang terletak kepada ceritanya yang begitu istimewa dan jarang sekali untuk melihat sebuah filem seperti Guang ini dihasilkan untuk layar perak. Jika ada sekalipun adalah filem Redha arahan Tunku Mona Riza yang pernah ditayangkan pada tahun 2016. Secara umumnya juga, Guang sebenarnya sebuah kisah realiti masayarakat di mana permasalahannya wujud di kalangan masyarakat terutama di negara ini. Lebih-lebih lagi apabila ia mengenengahkan tentang bagaimana penerimaan dan pandangan skeptikal terhadap mereka dari golongan kurang upaya walaupun dari kalangan ahli keluarga sendiri. Titik tumpu cerita Guang adalah berkisar tentang hubungan antara Wen Guang atau Guang (lakonan Kyo Chen) dan adiknya, Didi (Ernest Chong). Kehidupan mereka tidak mewah apabila hanya tinggal di sebuah rumah pangsa lama selepas kematian ibu mereka. Tetapi itu membuatkan mereka bersyukur dengan apa yang dimiliki. Salah satu babak filem Guang arahan Quek Shio Chuan. Disebabkan kekurangan diri Wen Guang, Didi mengambil alih tugas untuk mencari nafkah dan memenuhi amanat mendiang ibunya untuk menjaga Guang biarpun kehidupan mereka ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Walaupun rasa terbeban dan menyalahkan takdir, Didi tidak berputus asa untuk mencari pekerjaan untuk Guang setaraf dengan kemampuan diri abangnya itu. Namun, tanpa diketahui Didi, Guang memiliki misi sendiri dalam melunaskan impiannya yang terpendam sejak sekian lama. Sehinggalah, pada satu hari satu insiden telah berlaku dan melibatkan pihak berkuasa, konflik mula timbul antara adik-beradik itu. Tetapi, semuanya berubah dan membuatkan Didi sedar lalu membuka mata dan mindanya bahawa Guang juga sebenarnya memiliki keistimewaan seperti manusia normal lain. Penulis harus katakan bahawa premis cerita Guang sebenarnya pada hemat penulis adalah sebuah kisah biasa. Tetapi, kisah Guang yang biasa itu bertukar menjadi luar biasa apabila garapan dan olahannya membentuk sebuah lakon layar yang berkesan dari segenap aspek. Terjemahan warna dalam penyampaian simbolisme antara karakter Wen Guang dan Didi dalam salah satu babak filem Guang. Keberkesanan lakon layar ini adalah disebabkan ia sememangnya semulajadi dan tidak dibuat-buat. Lantaran itu, tidak mustahil untuk Guang dicalonkan dalam kategori Lakon Layar Terbaik FFM nanti. Dalam erti kata lain, ceritanya luhur dan jujur untuk membuatkan penonton menonton dari awal hingga akhir dalam memahami perjalanan serta jiwa Guang sebagai seorang manusia. Bukan mahu bersikap prejudis, tetapi di kala filem tempatan lain mengagungkan aspek kosmetik dalam menentukan kehebatan karya mereka, tetapi berbeza dengan Guang. Seperti mana yang sering kali penulis suarakan, tunjang utama kepada nyawa sesebuah filem adalah cerita dan lakon layar yang berkesan. Maka itu, Guang memiliki aspek tersebut untuk menarik perhatian masyarakat menyelami dunia nyata golongan marhaen. Guang bersifat sejagat. Itu bermakna, ceritanya mempunyai hubungan yang cukup kuat dengan masyarakat di negara ini dan dunia secara amnya. Guang tidak memerlukan kisah cinta fantasi memualkan antara dua darjat untuk dipersembahkan. Cukup sekadar hubungan antara adik-beradik yang hakikatnya turut memiliki jurang dan darjatnya sendiri tanpa kita sedari hanya kerana salah seorang daripadanya bukan normal. Tidak hanya kepada lakon layarnya itu tetapi aspek sinematografinya terus memperkukuhkan Guang untuk menjadi hebat lalu meletakkan nilainya cukup eksklusif sekali. Adrian Lai (kanan) sebagai Tony yang menhadirkan impak tersendiri sebagai sahabat Didi lakonan Ernest Chong. Apabila melihat nama Eric Yeong sebagai pengarah sinematografinya, penulis tidak hairan kerana hasil kerjanya memang tidak pernah mengecewakan. Sebagai seorang bekas pemenang Sinematografi Terbaik FFM 27 (2015) menerusi filem The Journey, Yeong bijak dan tahu untuk menzahirkan visual luar biasa untuk sebuah filem kecil seperti Guang. Penulis menyifatkan babak akhir di mana Guang mempersembahkan hasil kerjanya di dalam biliknya itu adalah yang paling indah. Ditambah dengan keberkesanan aspek suntingan juga telah menggandakan keindahan babak itu. Disebabkan keberkesanan babak itu, ia telah membuatkan penulis mengalir air mata tanpa dipaksa. Lebih-lebih lagi dengan skor muzik yang telah membina satu momentum untuk penonton sama-sama merasai pengalaman Guang. Sinematografi tidak terletak kepada gerak kamera semata-mata tetapi permainan warna turut memainkan peranan penting. Untuk itu, Yeong juga telah menterjemahkan warna untuk mewujudkan simbolisme bagi membezakan karakter antara Guang dan Didi. Biarpun tidak dibarisi pelakon yang ramai dan bukan dari kalangan mereka yang dikenali dalam pasaran arus perdana, tetapi cukup hanya dengan empat pelakon sahaja untuk menghidupkan Guang. Sebagai Guang, Kyo Chen membuatkan penonton berasa terhibur dan dalam masa yang sama simpati dengan apa yang dilaluinya. Malah, lakonan Kyo Chen mampu melayakkan dirinya tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik FFM akan datang. Salah satu kecemerlangan aspek sinematografi oleh Eric Yeong yang menzahirkan satu momen di sebalik babak ini. Begitu juga dengan Ernest Chong yang melakonkan watak sebagai Didi apabila persembahannya layak untuk dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan tidak mustahil juga untuk Pelakon Lelaki Terbaik. Malah, kemunculan Adrian Lai yang dikhabarkan bukan seorang pelakon profesional yang melakonkan watak sahabat baik Didi bernama Tony juga menghadirkan impak tersendiri dalam Guang biarpun babaknya tidak banyak. Rasanya sampai di sini sahaja ulasan penulis untuk Guang. Penulis hanya mampu menyarankan kepada pembaca dan masyarakat Malaysia secara amnya agar mengambil peluang keemasan ini untuk menonton dan menilai sendiri filem kecil berjiwa besar ini. Ada kala kita perlu lari seketika daripada norma kebiasaan agar kita dapat melihat realiti hidup dari perspektif berbeza untuk kita merenung dan mensyukuri apa yang kita miliki. ***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.