suria

10 sebab wajib tonton 'Busut Bonang', komedi seram buat anda tiada masa ke tandas!

Busut Bonang bakal membuatkan anda tidak kering gusi dari awal hingga penghujung cerita.

JIKA anda merupakan peminat filem-filem bercorak komedi seram, Busut Bonang adalah pilihan terbaik untuk ditonton seisi keluarga mahupun rakan-rakan terutama pada musim cuti sekolah ini.

Berbanding filem seram lain, Busut Bonang terbitan Alfanazra Productions Sdn. Bhd ini bakal mencuit hati dengan aksi komedi yang pastinya membuatkan anda tidak kering gusi. Malah, babak seramnya juga akan membuatkan anda merinding bulu roma.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir dua bulan bergelar suami, berat badan Nadzmi Adhwa cecah 80 kilogram

ARTIKEL BERKAITAN: Ardell lamar Nadzmi Adhwa dengan Al-Quran, “Saya mahu dia khatamkan dan fahami sebelum terima”

Berikut mStar senaraikan 10 sebab mengapa anda wajib tonton filem komedi seram, Busut Bonang.

Poster Busut Bonang.

1. Melihat pada tajuknya sahaja, pasti ramai yang menyangka filem ini mempunyai elemen Negeri Sembilan disebabkan tajuknya berjudul Busut Bonang. Namun anda silap kerana menurut pengarahnya, Khalid Nadzri pemilihan tajuk Busut Bonang itu diambil bagi memperkenalkan sejenis alat muzik yang penting dalam muzik gamelan yang berasal dari perkataan jawa dan dipanggil bonang yang juga merupakan runut bunyi bagi filem ini.

2. Penyampaian humor dengan skrip-skrip komedi yang spontan oleh pelakon Ah Loy Paradoks membuatkan penonton ketawa berdekah-dekah. Bagi penggemar filem Hantu Kak Limah ciptaan Mamat Khalid, filem Busut Bonang amat sesuai buat anda kerana konsep skrip, lakonan, semangat orang kampung dan babak di warung memiliki persamaan dengan filem itu.

3. Watak Cikgu Hassan lakonan Ropie yang sememangnya dikenali dengan watak komedi bagaimanapun agak subtle sekaligus memberi laluan kepada watak-watak lain untuk menyerlah dalam momen mereka sendiri. Setiap karakter merupakan nadi buat filem ini terus bergerak sehingga ke penghujungnya.

Lakonan Along Eyzendy, pemilik rancangan Merungkai Misteri pastinya membuatkan anda ketawa.

4. Lebih menarik apabila lakonan Sahronizam Noor menerusi watak Ngah Ali yang sering bermain dengan kata-kata pujangga dan peribahasa mewujudkan satu representasi terhadap lelaki Melayu.

5. Kredit harus diberikan kepada pengarah filem ini iaitu Khalid Nadzri yang berani menampilkan pelakon-pelakon tidak popular tanah air namun ternyata apa yang cuba dijual adalah jalan cerita yang menarik. Ia mampu menarik perhatian penonton untuk kekal hingga ke penghujung filem.

6. Selain itu, garapan cerita yang kemas membuatkan perjalanan serta aliran cerita Busut Bonang lancar dan penonton tidak bosan menantikan babak-babak seterusnya. Penulis dan pengarahnya juga bijak menghimpunkan watak dalam sebuah jalan cerita agar ia seimbang malah boleh dijadikan contoh pada filem lain di Malaysia.

Kerja tangan jurusolek kesan khas Ella Sandera harus dipuji.

7. Selain sarat dengan komedi, filem Busut Bonang juga penuh dengan mesej dan sindiran sinis buat masyarakat yang hidup dalam zaman moden namun masih tebal dengan kepercayaan mistik. Perjalanan ceritanya juga tidaklah begitu rumit atau berat dan ianya mudah difahami oleh penonton.

8. Dari segi sinematografi, banyak peningkatan apabila shotnya sangat cantik selain kerja tangan oleh jurusolek kesan khas terkenal, Ella Sandera yang sangat halus dan kemas antara pencapaian yang boleh dibanggakan di dalam filem ini.

9. Secara keseluruhannya, filem Busut Bonang pasti akan membuatkan penonton tertawa dengan adegan-adegan komedi yang ditunjukkan serta membuatkan penonton merasa berbaloi menonton filem ini di panggung wayang.

Busut Bonang menampilkan hasil kerja sinematografi yang memukau.

10. Bakal ditayangkan di pawagam bermula 19 Disember 2019, Busut Bonang menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayah, Rashidah Jaafar, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Badrolshah dan Ropie.

Busut Bonang merupakan kisah mengenai Arwah Cikgu Hassan ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di Kampung Bonang.

Sejak kejadian itu, buah mulut tersebar dalam kalangan orang kampung bahawa arwah berkeliaran menuntut pewaris baru dan Julia anak kepada arwah Cikgu Hassan sering mengalami gangguan makhluk halus.

Sementara itu, Joey pemilik rancangan televisyen Merungkai Misteri telah dipanggil untuk mencari kebenaran disebalik semua kejadian itu dan membersihkan nama keluarga arwah Cikgu Hassandan untuk tujuan itu, Joey telah 'menculik' Lutfy untuk dibawa ke Kampung Bonang untuk dijadikan pembantunya.

Pengarah bijak menghimpunkan banyak watak dalam satu jalan cerita yang menarik.

Lutfy hanyalah seorang penjual jeruk yang berhasrat untuk mencuba pekerjaan baru dan datang ke sesi temuduga namun diperdaya hingga ke Kampung Bonang.

Kejadian menjadi semakin misteri apabila Julia, Lutfy dan Joey dalam perjalanan mereka ke tempat Busut berkenaan telah ditutup pandangan oleh penunggu busut hingga mereka sesat.

Apa yang berlaku selepas itu, anda perlu tonton sendiri di pawagan terdekat bermula 19 Disember ini.

Tajuk : Busut Bonang 

Tarikh Tayangan : 19 Disember 2019 

Genre : Komedi Seram

Idea Asal : Siti Jasmina Ibrahim 

Skrip : Siti Jasmina Ibrahim, Aloy Paradoks 

Pengarah : Khalid Nadzri 

Terbitan : Alfanazra Productions Sdn Bhd 

Pelakon : Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayah, Rashidah Jaafar, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Badrolshah, Ropie

<p>
Busut Bonang, Nadzmi Adhwa, Ropie

Artikel Lain