suria

Enam tahun jaga ibu sakit di kampung, pelakon Azman Ahmad muncul semula dengan filem 'Petaka'

Azman mahu menjaga ibunya sampai bila-bila.

DEMI menjaga ibu yang sedang sakit, pelakon Azman Ahmad sanggup mengorbankan karier lakonannya dan pulang ke kampung halaman di Alor Setar, Kedah.

Menurut Azman, ibunya iaitu Aishah Abdul Halim yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi enggan menetap di Kuala Lumpur selepas bapa meninggal dunia.

Biarpun kerinduan untuk berlakon sangat mendalam namun Azman tetap mahu menjalankan tanggungjawab menjaga ibunya yang kini berusia 80 tahun.

"Kali terakhir saya berlakon pada tahun 2014... enam tahun dah tak berlakon sebab ambil keputusan balik ke Alor Setar, Kedah nak jaga ibu.



Enam tahun berehat dari dunia seni demi menjaga ibunya.

"Selepas arwah bapa saya meninggal, ibu tak nak duduk di KL dan dia ajak pulang ke kampung. Sudah tentu saya rindu nak berlakon sepanjang enam tahun itu.

"Tapi kebanyakkan tawaran yang dapat di kawasan KL. Ibu saya sakit dah keadaan dia semakin teruk sejak tiga tahun lalu.

"Saya memang tidak mahu tinggalkan dia... sebagai anak lelaki, tanggungjawab saya untuk menjaga dia," kata Azman kepada mStar.

Azman berkongsi mengenai perkara itu ketika sesi temu bual bersama media berhubung filem terbaharunya berjudul Petaka secara maya pada Khamis.

Alhamdulillah... adik-beradik pun turut membantu walaupun tak dapat pulang sebab keadaan Covid-19.

AZMAN AHMAD

PELAKON

Telemovie berjudul Salam Dari Syurga yang ditayangkan pada 27 Jun lalu merupakan lakonan pertama Azman selepas enam tahun berehat daripada dunia seni.

Selain itu, Azman juga bakal muncul dalam filem Petaka pada awal Disember menerusi Astro First.

Sementara itu, Azman memberitahu dia sanggup berulang-alik sekiranya perlu ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan menyediakan jururawat untuk menjaga ibunya.

Dia juga meluahkan rasa syukur kerana mempunyai adik-beradik yang turut membantu biarpun tidak dapat pulang melihat ibu mereka disebabkan pandemik Covid-19.



Azman bergandingan dengan pelakon baharu Coki dalam filem Petaka.

"Kalau saya pergi KL pun hanya akan balik hari... tak sampai 10 jam di sana sebab saya akan balik ke Kedah semula. Saya tak berani nak tinggalkan ibu lama-lama.

"Sekarang ini, saya ada upah jururawat dua orang untuk pagi dan malam tapi kalau saya ke KL, saya akan upah seorang lagi.

"Sejak beberapa tahun ini ibu cepat lupa. Alhamdulillah... adik-beradik pun turut membantu walaupun tak dapat pulang sebab keadaan Covid-19.

"Tapi saya selalu update dengan menghantar video atau foto keadaan ibu kepada mereka," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain