BUKAN sekadar naskhah biasa, filem berjudul Memoir Seorang Guru mengangkat kisah guru dan anak murid dengan sentuhan berbeza. Kata penerbitnya, Datuk Arisz Ab. Rahman, karya yang diadaptasi dari novel penulisan Allahyarham Azizi Abdullah ini sarat dengan mesej positif kepada penonton. "Kami akui sudah banyak filem kisah guru dan pelajar diterbitkan namun Memoir Seorang Guru ini mempunyai kelainan kerana ia bukan sahaja menceritakan tentang hubungan anak murid dan guru sahaja. Filem ini menyuntik nilai positif kepada penonton. "Ia mengangkat mesej-mesej positif seperti nilai kasih sayang, mengenang budi dan kejayaan, kegagalan, penyesalan dan kisahnya begitu dekat dengan sesiapa sahaja yang pernah bergelar guru dan anak murid. "Malah penulis novel ini juga bekas seorang guru dan ia banyak mempengaruhi kisah dalam karya tersebut,” katanya. Memulakan pengambaran sejak Disember tahun lalu, filem ini menampilkan pelakon tersohor, Datuk Rosyam Noor sebagai watak utama iaitu Cikgu Sunan. ARTIKEL BERKAITAN: Sekali lagi angkat genre seram, produksi tampil gabungan pelakon Indonesia-Malaysia dalam ‘The Parcel’ ARTIKEL BERKAITAN: ‘Geng Kubur’ jentik memori lalu, kisah 4 sahabat main psikologi penonton Kata pengarahnya, Kyoll Hamzah pemilihan Rosyam diusulkan sendiri olehnya kepada pihak penerbitan kerana percaya pelakon itu mampu menjayakan watak tersebut. Jelasnya, Rosyam juga belum pernah dicabar dengan karakter sebegini sepanjang kariernya. “Apabila diberi peranan sebagai pengarah, saya terus mengusulkan supaya Rosyam diberi watak tersebut kerana melihat kriteria watak ‘Cikgu Sunan’ ini adalah dirinya. Semua pelakon kanak-kanak menjalani latihan untuk menghayati watak. “Lagipun Rosyam sendiri belum pernah lagi membawakan watak sebegini dalam mana-mana filem dan pastinya ia amat dinantikan penonton,” katanya. Memoir Seorang Guru turut membabitkan pelajar sekolah sebagai pelakon, Kyoll menjelaskan setiap daripada mereka juga menjalani latihan lakonan demi menghidupkan watak masing-masing. “Untuk menghasilkan filem ini tidak terlalu sukar, namun cabarannya tetap ada. Misalnya apabila membabitkan pelakon kanak-kanak dan kami telah menganjurkan sesi kelas lakonan untuk mereka bagi menghayati watak masing-masing,” ujarnya. Kyoll yakin Rosyam mampu menjayakan watak Cikgu Sunan. Selain Rosyam, filem ini menggabungkan barisan pelakon terkenal lain seperti Nabila Huda, Johan As'ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi. Filem terbitan Tanah Merah Ventures Sdn. Bhd. dan KalamAriff Holdings Sdn. Bhd. ini bakal menemui penonton di pawagam bermula 30 Mei 2024. Secara ringkas, Memoir Seorang Guru mengisahkan tentang seorang guru bandar, Cikgu Sunan yang telah ditukarkan ke sebuah sekolah di pedalaman dan ditugaskan menjadi guru kelas tercorot. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!