suria

Osman Ali kembali dengan filem misteri, ‘Telaga Suriram’ bakal buat penonton tak senang duduk

Osman kembali mengarah filem bergenre seram.

KES kehilangan kanak-kanak sememangnya antara isu membimbangkan dalam kalangan masyarakat terutama bagi mereka yang bergelar ibu bapa.

Biarpun kebanyakan kes berjaya diselesaikan pihak berkuasa akan tetapi terdapat juga kes masih menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Oleh itu, terciptalah sebuah idea oleh syarikat produksi Odissi Creative Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem berjudul Telaga Suriram.

Osman merupakan pengarah filem Telaga Suriram.

Pengarah Osman Ali berkata, filem tersebut diinpirasikan daripada sebuah kisah lama melibatkan seorang kanak-kanak mati terjatuh ke dalam telaga.

Tambah Osman, 52, dia bersama pihak produksi merasakan kisah tersebut sangat menarik untuk diangkat menjadi sebuah filem.

“Terdapat cerita atau mitos rakyat dahulu yang mengaitkan tentang kepercayaan telaga-telaga lama yang dipercayai berhantu dan mengambil nyawa manusia.

“Jadi, kami rasa adalah sangat menarik untuk menghasilkan sebuah naskhah menggabungkan elemen mistik yang penuh dramatik dengan kepercayaan lama diwarisi turun-temurun,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kekecewaan peminat terubat, konsert 2NE1 di Kuala Lumpur 1 Februari 2025

ARTIKEL BERKAITAN: Kiss Of Life akhirnya ke Asia, konsert di Kuala Lumpur 13 April 2025

Dalam pada itu, Osman mengakui terdapat beberapa cabaran dalam menghasilkan filem berkenaan seperti diganggu kelibat-kelibat makhluk halus.

Bagaimanapun Osman, kru dan pelakon menganggap perkara itu sebagai salah satu dugaan ketika sedang bekerja.

“Lokasi yang kami pilih semuanya mempunyai kisah mistik tersendiri, jadi memang ada kejadian-kejadian seram yang berlaku seperti suara misteri.

“Selain itu, ada kru yang rasa diperhatikan dan ternampak kelibat pelik. 

Farid dan Scha bekerjasama dalam Telaga Suriram.

"Namun, kami anggap itu semua sebahagian daripada cabaran kerja,” ujarnya.

Telaga Suriram mengisahkan tentang kejadian di sebuah kampung terpencil. 

Insiden kehilangan seorang anak kecil bernama Suriram menjadi misteri, pelbagai cerita orang kampung tentang korban saka dan anasir mistik menjadi bualan hangat.

Rohaya (Maya Karin) dan Sopiyan terus berusaha mencari kehilangan anak mereka.

Nabila Huda antara pelakon dalam Telaga Suriram.

Seorang gadis bisu yang menjadi pengasuh Suriram bernama Maimon (Nabila Huda) menjadi suspek utama pembunuh Suriram. 

Zakir (Farid Kamil), seorang bakal pemimpin muda yang memperjuangkan keadilan buat Suriram membantu seorang Pegawai Penyiasat bernama Karmila (Scha Alyahya) bersama-sama dalam menyiasat dan memperjuangkan keadilan terhadap kematian Suriram.

Telaga Suriram merupakan terbitan sulung syarikat Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama produksi milik Osman iaitu Nuansa Films yang akan ditayangkan di pawagam mulai 1 Mei 2025.

Filem itu menjalani sesi penggambaran selama 45 hari bermula penghujung Januari 2022 yang berlangsung di Perlis, Kedah dan Perak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain