suria

Azizulhasni raih perak pada kejohanan trek dunia

KUALA LUMPUR: Jaguh negara Azizulhasni Awang meraih pingat perak dalam acara pecut individu apabila tewas kepada Gregory Bauge dari Perancis di peringkat akhir Kejohanan Trek Dunia di Pruszkow, Poland, malam tadi.

Azizulhasni mempamerkan semangat juang tinggi apabila memenangi pusingan kedua dengan catatan 10.499s setelah tewas pada pusingan pertama kepada lawannya itu dengan catatan 10.406s.

Kedua-dua pelumba itu kemudiannya terpaksa bersaing di pusingan ketiga dengan menyaksikan Bauge memenangi pusingan itu dengan catatan 10.281s untuk mengecewakan Azizulhasni di tempat kedua.

Terdahulu itu, Azizulhasni menundukkan jaguh Australia, Shane Perkins pada peringkat separuh akhir.

Pencapaian Azizulhasni, yang juga merupakan pelumba harapan negara pada Sukan Olimpik 2012 di London, sedikit sebanyak dapat menebus kekecewaannya setelah gagal dalam acara kegemaran iaitu keirin dengan hanya menduduki tempat ke-11 keseluruhan.

Semalam, seorang lagi pelumba negara Mohd Rizal Tisin Rizal bagaimanapun mencipta sejarah merangkul pingat gangsa menerusi acara 1km ujian masa individu lelaki dengan masa 1 minit 01.658s pada perlumbaan empat pusingan itu.

Malaysia kini boleh berbangga dengan pencapaian satu perak dan satu gangsa pada kejohanan itu serta muncul pasukan terbaik Asia dalam acara pecut berpasukan setelah menduduki tempat keenam keseluruhan. BERNAMA

Artikel Lain