suria

Dua atlet boling padang hantar surat bantahan

KUALA LUMPUR: Dua atlet boling padang negara yang sepatutnya menghantar surat rayuan kepada Lembaga Rayuan Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM) berhubung penggantungan mereka, bertindak menghantar surat bantahan kepada Lembaga Disiplin persatuan itu Isnin lepas.

Siti Zalina Ahmad berkata beliau dan rakannya Norhashimah Ismail mengambil keputusan untuk menghantar surat bantahan secara terus kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PLBM Datuk Ir Mohd Anas Mohd Nor sebagai respons kepada surat penggantungan mereka yang dikeluarkan oleh lembaga tersebut pada 12 Mac lalu yang meminta mereka memberi jawapan dalam tempoh 14 hari surat itu dikeluarkan.

"Kami mengambil keputusaan untuk menghantar surat bantahan dan bukannya surat rayuan seperti yang diminta oleh PLBM sebelum ini kerana kami tidak bersalah dalam kes ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pemain yang kini berada di ranking ketiga dunia itu berkata beliau harap dengan campur tangan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pihak Majlis Sukan Negara (MSN), PLBM akan menyelesaikan kes ini dengan jujur tanpa campur tangan pihak dalaman yang mempunyai kepentingan dalam persatuan.

"Saya tidak perlu risau mengenai kontrak saya dengan pihak MSN kerana pegawai MSN telah memberi jaminan bahawa isu itu tidak akan menjejaskan kontrak dan saya akan terus menjalani latihan seperti biasa walaupun akan berdepan dengan tindakan PLBM pada Selasa ini," katanya dengan tenang.

Sementara itu, Mohd Anas yang dihubungi Bernama enggan membuat sebarang ulasaan mengenai perkara ini dengan alasan kes itu masih lagi dalam siasatan Lembaga Disiplin PLBM.

"Adalah tidak wajar untuk saya membuat sebarang ulasan ataupun komen mengenai perkara yang masih lagi dalam siasatan Lembaga Disiplin," katanya.

Pada 12 Mac lepas Siti Zalina dan Norhashimah masingmasing digantung selama 18 bulan dan setahun oleh PLBM kerana melakukan kesalahan disiplin ketika menjalani latihan di pusat latihan Bukit Kiara pada 26 Okt tahun lepas.

Siti Zalina didakwa melakukan tiga kesalahan disiplin iaitu bergaduh dengan salah seorang anggota pasukan, menyerang pegawai PLBM dan tidak mengikut arahan jurulatih.

Norhashimah pula dikenakan tindakan gantung setahun kerana gagal meleraikan pergaduhan terbabit dan tidak bertindak sebagai ketua pasukan wanita kebangsaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini meminta MSN membuat siasatan terhadap kes tersebut dan juga meminta pihak PLBM segera menyelesaikannya sebelum Pesuruhjaya Sukan diminta untuk campur tangan dalam kemelut tersebut.

Presiden PLBM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebelum ini meminta Siti Zalina dan Norhashimah segera membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan persatuan itu sebelum 1 April (Rabu) ini dan jika gagal penggantungan itu akan berkuat kuasa.BERNAMA

Artikel Lain