suria

Tan Fook-Wan Wah rangkul gelaran terbuka India

HYDERABAD: Bekas beregu utama negara, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah berjaya merangkul kejuaraan pertama tahun ini apabila membenam cabaran beregu Singapura pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka India di Stadium Gachibowli di sini semalam.

Bagaimanapun, bekas juara All England 2007, Mohd Hafiz Hashim dan pemain wanita negara Julai Wong Pei Xian gagal mengulangi kecemerlangan apabila tumpas pada perlawanan akhir acara perseorangan masing-masing.

Pasangan beregu pilihan utama, Tan Fook-Wan Wah, yang kali terakhir menjuarai Terbuka Vietnam Disember lepas, menewaskan gandingan Hendri Kurniawan Saputra dan Hendra Wijaya 219, 2111 pada perlawanan akhir itu.

"Mereka tidak bermain dengan baik dan terus melakukan kesilapan bagi membolehkan kami mengumpul mata demi mata. Ia merupakan perlawanan mudah bagi kami," kata Wan Wah kepada Bernama selepas perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, peluang Mohd Hafiz untuk mencatat kejuaraan sejak sekian lama tidak kesampaian apabila beliau gagal mengawal rentak perlawanan ke atas pemain pilihan kedua kejohanan Taufik Hidayat.

Pemain Indonesia itu menampilkan corak permainan pantas dengan pukulan tepat bagi menjinakkan Mohd Hafiz 21-18, 21-19 untuk membawa pulang hadiah wang tunai US$9,000 (RM32,557).

Dalam perlawanan akhir perseorangan wanita, Julia Wong melakukan kejutan pada set pembukaan apabila menewaskan pemain berpengalaman Pi Honyan dari Perancis 21-17.

Bagaimanapun, Pi Honyan bangkit pada set seterusnya dengan corak persembahan menyerang untuk meraih gelaran dengan 21-15, 21-14.

"Dia membuka permainan dengan memaksa saya bekerja keras. Saya turut terperangkap dengan corak permainannya sehingga melakukan banyak kesilapan.

"Saya amat kecewa kerana ini merupaka kekalahan ketiga dalam perlawanan akhir," kata Julia Wong yang masih memburu gelaran antarabangsa sulungnya.

Dalam perlawanan akhir acara beregu wanita, pasangan China Jin Ma dan Xiaoli Wang dengan mudah mengenepikan cabaran Vita Marissa dan Nadya Melati dari Indonesia 21-14, 21-13.

Gandingan Flandy Limpee dan Vita Marissa dari Indonesia memenangi acara beregu campuran selepas menundukkan pasangan tuan rumah Diju Valiyaveetil dan Jwala Gutta 21-14, 21-17 pada perlawanan akhir.

Artikel Lain