suria

FAS masih hutang pemain bola Sarawak satu bulan gaji

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAs), yang dibelenggu masalah kewangan, yakin masalah kelewatan pembayaran gaji pemain-pemainnya akan dapat diselesaikan.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, para pemain masih belum menerima gaji penuh mereka bagi bulan Mac tetapi usaha-usaha telah dilakukan oleh FAS untuk membayar pemain-pemain itu secara beransur-ansur dari serendah RM300.

"Keutamaan kami kini adalah kebajikan pemain, kami jujur dengan mereka tentang kedudukan kewangan kami dan kami sedang menunggu bantuan kewangan kerajaan negeri supaya pembayaran penuh dapat dibuat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Datuk Seri William Mawan Ikom, yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan di Sarawak, telah berjanji untuk meneliti masalah FAS dan cuba memberikan apa-apa bantuan yang diperlukan FAS.

Pada masa yang sama, beliau berkata, para pegawai FAS kerap bertemu pemain-pemain untuk menjelaskan tentang keadaan terkini dan memberi semangat kepada mereka supaya ia tidak menjejaskan tumpuan mereka ketika beraksi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain