suria

Peserta dari 35 negara meriahkan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU: Acara Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu kali ke-23 tahun ini mencatatkan jumlah terbesar penyertaan wakil dari luar negara, dengan 35 negara mengesahkan akan mengambil bahagian berbanding 21 negara tahun lepas.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Ellron Angin berkata sehingga kini, 493 peserta telah pun mendaftar untuk mengambil bahagian dalam acara itu Ahad ini di Taman Kinabalu, Kundasang, namun penganjur menjangkakan jumlah itu akan meningkat.

Daripada jumlah itu, 172 orang merupakan peserta luar negara, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

"Kami masih menerima penyertaan di saat akhir," katanya, sambil menambah seperti lazimnya, Malaysia mencatatkan jumlah penyertaan terbesar iaitu 321 pelari, dengan Sabah menyumbangkan 240 pelari daripada jumlah keseluruhan peserta yang mengambil bahagian.

Perlumbaan itu bakal menjadi acara yang menarik memandangkan pelari gunung terkemuka dunia akan bersaing dalam Climbathon itu, yang juga merupakan perlumbaan akhir dan penentuan bagi Sky Runners World Series 2009.

Perlumbaan di Sabah adalah satu-satunya perlumbaan rasmi daripada siri yang diadakan tahun ini di luar Eropah, dengan enam lagi perlumbaan berlangsung di Costa Rica, Sepanyol, Andorra, Itali, Nagano dan United Kingdom.

Bagi acara Climbathon ini, peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka dan Lelaki Veteran.

Perlumbaan itu yang meliputi jarak 21 kilometer, akan bermula pada 7 pagi Sabtu bagi kategori Wanita Terbuka dan Lelaki Veteran, manakala acara Lelaki Terbuka akan dijalankan Ahad ini di Timpohon Gate, Taman Kinabalu, dengan para pemenang dijangka tiba di garisan penamat dalam masa tiga jam.

Rekod bagi kategori Lelaki Terbuka masih belum diperbaharui sejak 2003, yang dipegang oleh Marco De Gasperi dari Itali, iaitu 2 jam, 36 minit dan 59 saat, manakala rekod kategori Wanita Terbuka pula milik Anna Pichrtova dari Republik Czech dengan masa 3 jam, 6 minit dan 54 saat yang dilakukannya pada 2004.

Bagi kategori Lelaki Veteran pula, rekod acara itu ketika ini disandang oleh peserta Malaysia, Rodimin Sodundu iaitu 3 jam, 7 minit dan 22 saat yang diciptanya pada 2004.

Perlumbaan Climbathon itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$33,400 (RM112,975) selain loket emas kepada peserta bagi kategori Lelaki dan Wanita yang pertama sampai ke puncak Gunung Kinabalu manakala semua peserta yang berjaya menamatkan perlumbaan pula akan menerima pingat serta sijil penyertaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain