SEPANG: Hiroshi Aoyama dari Scot Racing Team 250cc berjaya merebut petak pertama perlumbaan Shell Advance Grand Prix Malaysia 2009 untuk kelas 250cc, esok.Beliau yang menunggang motosikal Honda mencatatkan kepantasan dua minit 6.767s dalam pusingan kelayakan hari ini, meninggalkan penunggang dari Matteoni Racing, Jules Cluzel, 0.332s di belakangnya. Sementara itu Mike di Meglio dari Mapfre Aspar Team 250cc yang mencatatkan kepantasan 2:07.232s menduduki tempat ketiga.Terdahulu dalam kelas 125cc, penunggang Red Bull KTM Moto Sports, Marc Marquez menempah petak pertama dalam perlumbaan esok selepas mencatatkan kepantasan 2:13.756s, manakala juara dunia 125cc semasa, Julian Simon, berada di petak kedua dengan catatan kepantasan 2:13.811s.Rakan sepasukan Simon, Bradley Smith, akan menyertainya di barisan hadapan perlumbaan esok selepas mencatatkan kepantasan 2:14.209s untuk menduduki tempat ketiga pusingan kelayakan hari ini. BERNAMA