KUALA LUMPUR: Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) hari ini menyerahkan geran kecemerlangan berjumlah RM47,000 kepada 33 atlet baru walaupun menghadapi masalah penajaan.Pengerusi SportExcel Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata yayasan itu yang mengendalikan dua program, Sirkit Remaja dan Bantuan Atlet sejak 1992, menghadapi kesukaran selepas pihak yang berjanji untuk menjadi penaja menarik diri. "Baru-baru ini, empat syarikat menarik diri sebagai anggota sekutu kami. Ia adalah sesuatu yang menyedihkan kerana tidak ada alasan kukuh bagi syarikat awam tersenarai itu atau anak syarikatnya untuk menarik diri," katanya pada majlis penyerahan geran di Kelab Diraja Selangor di Bukit Kiara di sini hari ini.Tunku Imran yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia berkata selaku anggota sekutu SportExcel sesebuah syarikat akan dikecualikan cukai tahunan RM15,000 selama tiga tahun."Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan keuntungan jutaan ringgit yang diperoleh syarikat ini setiap tahun. Adakah SportExcel tidak sesuai sebagai tanggungjawab sosial syarikat korporat ini?" katanya.Seramai 33 atlet berumur antara 10 dan 17 tahun yang menerima insentif itu terdiri daripada lapan atlet remaja sukan golf, enam dari arena boling, lima pemain kriket dan renang, tiga pemain skuasy, dua pemain tenis dan masing-masing seorang atlet lumba basikal, atlet lelaki dan wanita gimnastik artistik dan gimrama.Atlet yang berusia 10 dan 11 masing-masing menerima RM1,000 manakala selebihnya menerima RM1,500 setiap seorang. BERNAMA