KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet (YAKEB) bersetuju untuk menampung sepenuhnya kos rawatan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Yahya Jusoh yang kini menderita akibat sakit saraf sejak tiga bulan lepas.Pengerusi Eksekutif Yakeb Datuk Dr Mumtaz Jaffar berkata bekas pemain pertahanan yang digeruni pada tahun 1970-an itu akan mula mendapat rawatan di sebuah hospital pakar di Petaling Jaya pagi esok. "Esok kita akan bawa Yahya bertemu dengan doktor pakar bagi mengenal pasti jenis penyakit dan rawatan yang sesuai untuknya."YAKEB juga akan memantau perkembangan Yahya dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa beliau mendapat rawatan yang sebaiknya," kata Mumtaz kepada pemberita di sini hari ini.Mumtaz berkata YAKEB akan menganjurkan satu pertemuan antara Yahya dan kawankawannya bagi memberi semangat kepada beliau sebelum menjalani pembedahan nanti."Kita harap Yahya akan segera sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa," katanya.Sementara itu, Yahya berkata beliau amat berterima kasih dengan keprihatinan dan kesungguhan YAKEB dalam membantunya dan juga bekasbekas atlet yang lain."Saya rasa terharu dengan keperihatinan YAKEB yang menghargai jasa dan sumbangan bekasbekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara satu masa dahulu dan ini adalah satu penghormatan buat semua atlet," katanya.Yahya, 57, pemain seangkatan Datuk Soh Chin Aun dan Allahyarham Mokhtar Dahari, diserang penyakit lumpuh berikutan sakit tulang leher sejak 22 Sept lalu. BERNAMA