suria

Pelumba Malaysia Hanya Rangkul Gangsa Dalam Aksi Merentas Desa

MELAKA: Pelumba negara gagal meningkatkan prestasi apabila hanya mampu meraih sebutir pingat gangsa pada hari terakhir Kejohanan Lumba Basikal Gunung Asia ke-15 di Taman Botanikal, Ayer Keroh, dekat sini, semalam.

Malaysia, yang gagal menguasai sebarang acara dalam saingan empat hari itu, mendapat gangsa dalam acara merentas desa remaja lelaki sepanjang enam kilometer menerusi Jeoffrey Jerry Jemie dengan catatan masa satu jam sembilan minit dan dua saat.

Tempat pertama dikuasai pelumba Thailand Natawat Supachiwakun dengan masa 1'06:17s manakala pelumba China Luk Chun Chung di tempat kedua dengan masa 1'08:39s.

Dalam acara lelaki elit, pelumba Jepun Kohei Yamamoto muncul juara apabila mencipta catatan masa 1'45:59s manakala pelumba China, Chan Chun Hing meraih pingat perak (1'46:11s) diikuti pelumba Kazakhstan Kiril Kazantsev dengan catatan masa 1'48:00s.

Dalam acara wanita elit, pelumba China Ren Cheng Yuan meraih pingat emas dengan masa 1'41:42s, diikuti pelumba Jepun Rie Katayama (1'44:58s) dan tempat ketiga dimiliki oleh pelumba China, Liu Ying, dengan catatan masa 1'51:07s.

Pelumba negara Masziyaton Mohd Radzi, Junaidah Jus dan Norsyuhaini Othman masing-masing hanya mampu menduduki tempat keenam, ketujuh dan ke-11.

Dalam acara remaja wanita, pelumba Thailand, Siriluck Warapiang, pula menguasai acara dengan catatan masa 1'01:38s dan tempat kedua disandang oleh pelumba Vietnam Dinh Thi Nhu Quynh dengan catatan masa 1'03:31s.

Pelumba Korea DaJeong Yoo mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 1'05:24s.

Kejohanan tersebut disertai 15 negara termasuk Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Iran, China dan Vietnam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain