MELAKA: Pemain boling negara Zulmasran Zulkifli dan Siti Safiyah Amirah mempamerkan persembahan agak baik apabila masing-masing menduduki tempat kelima dan kelapan di hari pertama, blok pertama dari lapan game Kejohanan boling Piala Dunia Qubica-AMF yang berlangsung di gelanggang Melaka International Bowling Centre (MIBC) di Ayer Keroh di sini malam semalam.Pemain Kanada Michel Schmidt menerajui kategori lelaki dengan jumlah jatuhan pin 1,880 manakala pemain England Zara Giles kategori wanita dengan 1,805 jatuhan pin. Zulmasran membuat 1,784 jatuhan pin dengan frame terbaik membabitkan 257 jatuhan pin, manakala Siti membuat 1,663."Saya berpuas hati dengan persembahan hari ini. Saya hanya perlu ubahsuai pergerakan dalam perlawanan esok untuk tampilkan persembahan lebih baik, harap-harapnya," katanya pada satu persidangan akhbar selepas perlawanan malam semalam.Schmidt yang muncul buat kali keempat dalam kejohanan itu selepas memenanginya buat pertama kali pada 2005 di Slovenia, mempamerkan aksi cukup cemerlang semalam."Memandangkan saya gagal bertanding dalam kejohanan di Mexico tahun lepas, saya terpaksa mencari rentak semula, dan saya cukup gembira dengan persembahan hari ini," kata pemain berumur 29 tahun yang berasal dari Winnepeg itu.Beliau menduduki tempat ketiga pada tahun 2006 dan tempat keempat pada tahun 2007.Sementara itu Zara Giles berkata beliau amat gembira dapat mengungguli kategori wanita pada hari pertama kejohanan."Para peserta lain nampak cukup mantap dan saya perlu berhati-hati, siapa sahaja boleh memintas," kata beliau yang baru menyertai kejohanan itu tahun lepas di Mexico dengan menduduki tempat ketiga.Esok dan Rabu akan menyaksikan dua lagi blok dari lapan game dengan kelompok 24 terbaik kategori lelaki dan wanita akan layak meneruskan cabaran ke pusingan berikutnya.Seramai 153 pemain boling dari 95 negara mengambil bahagian dalam kejohanan itu.Keputusan kelompok lapan pemain terbaik:Wanita: 1. Zara Giles (Eng) 1,805; 2. Evengia Tsarkova (Rus); 1,751 3. Joey Yip (HK) 1,724; 4. Laura Rhoney (Scot) 1,713; 5. Diana Zavjalova (Latvia) 1,683; 6. Baek Seungja (Kor) 1,682; 7. Ann Maree Putney (Aus) 1,676; 8. Siti Safiyah Amirah(MAs) 1,663,Lelaki: 1. Michael Schmidt (Can) 1,880; 2.Choi Yong Kyu (Kor) 1,878; 3. Martin Larsen (Swe) 1,838; 4. Thomas Larsen (Den) 1.767; 5. Zulmasran Zulkifli (MAs) 1,784; 6. Mark Kerr (Sco) 1.762; 7. Zoltan Skobrica (Hun) 1.760; 8. Arturs Levikins (Lat) 1,740. BERNAMA