suria

Azizulhasni Buktikan Masih Berada Dalam Kelompok Pelumba Terbaik

PUTRAJAYA: Jaguh lumba basikal negara Azizulhasni Awang membuktikan beliau masih lagi yang terbaik di Asia apabila memperolehi tempat kedua dalam acara Keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Klasik Piala Dunia UCI di Melbourne, Australia pada semalam.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata walaupun Azizul gagal meraih kejayaan dalam acara pecut akibat keletihan namun beliau masih mempamerkan kejayaan yang berterusan apabila dapat mengetepikan pelumba handalan dari China.

"Saya yakin sekiranya semua pelumba kita mampu mempamerkan kejayaan yang berterusan, tidak mustahil kita mampu memperolehi pingat emas bagi acara berbasikal pada Sukan Komanwel di Delhi, India pada tahun depan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berharap pelumba lain dapat mencontohi kejayaan yang dicipta oleh Azizulhasni dan Josiah Ng yang masing-masing memperolehi pingat perak dan gangsa pada kejohanan itu.

"Saya juga yakin bahawa jurulatih berbasikal negara, John Beasley mempunyai perancangan khusus untuk pelumba kita selepas ini agar mampu mencapai kedudukan yang terbaik di Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zolkples berkata MSN dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum memutuskan sama ada jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei akan menyertai atau tidak, Sukan SEA di Laos pada awal bulan depan.

"Saya akan memberi nasihat kepada BAM agar memandang berat terhadap temasya ini kerana kita perlu mene bus kekecewaan di Korat, Thailand pada dua tahun lepas.

"Bagi MSN, temasya Sukan SEA tidak kurang pentingnya kerana saingan yang turut hebat kerana Indonesia dan Thailand menyertai temasya dwitahunan itu, " katanya.

Beliau berharap untuk edisi kali ini, Malaysia mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara badminton.

Pada Temasya Korat 2007, Malaysia pulang dengan empat pingat gangsa selepas membariskan pasukan kedua dan merehatkan pemain seperti Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Wong Choong Hann, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Chong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari.

Pemain-pemain utama wanita seperti Wong Mew Choo dan beregu Chin Eei Hui pula mengalami kecederaan ketika itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan