KUALA LUMPUR: Skuad olahraga menampilkan paling ramai atlet pelapis selepas menyenaraikan 14 pelapis daripada keseluruhan 45 atlet olahraga ke Sukan SEA di Laos pada Disember ini.Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata daripada 14 pelapis tersebut, dua daripadanya akan ke temasya itu di bawah kategori A sementara 12 lagi di bawah kategori B. "Keseluruhannya, kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Laos menampilkan 43 atlet pelapis, 18 di bawah Kategori A sementara 25 lagi di bawah kategori b," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.Seramai 370 atlet menganggotai kontinjen Malaysia ke Laos, menjadikan jumlah tersebut antara yang terkecil dalam sejarah penyertaan negara pada temasya dua tahun sekali itu.Bagi atlet kategori A yang layak secara merit, kesemua perbelanjaan mereka akan ditanggung oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sementara atlet kategori B perlu menanggung sendiri perbelanjaannya tetapi MOM akan membayar kembali jika atlet tersebut mendapat sekurang-kurangnya pingat perak.Jefri berkata skuad karate menampilkan tujuh atlet pelapis dan kesemuanya layak di bawah kategori A.Acara lain yang menampilkan atlet pelapis ialah angkat berat (dua atlet di bawah kategori B), badminton (2A), berbasikal (3B), judo (2B), pingpong (2B), menembak (3A), silat (1A), tinju (2B), wushu (4A), taekwondo (1B).Beliau berkata daripada jumlah 43 pelapis tersebut, 37 daripadanya ialah pelapis kebangsaan, tiga daripada pelapis serantau dan tiga lagi pelapis negeri.Cawangan Pelapis juga, katanya menghantar tujuh jurulatih pelapis ke Laos yang terdiri daripada olahraga (empat orang), dan seorang bagi judo, menembak dan taekwondo.Beliau berkata pada Sukan SEA di Korat, Thailand pada 2007, seramai 42 atlet daripada program pelapis menyertainya dan 19 daripadanya menyumbangkan pingat kepada negara.Daripada 19 pingat itu, empat daripadanya emas yang dipungut menerusi Zatil Iman Abd Ghani (tiga emas) dan Mohd Syafiq Ridhuan (satu emas), keduadua atlet tenpin boling, satu perak disumbangkan oleh Mohd Farkhan Mohd Harun dalam acara tinju sementara baki pingat tersebut ialah gangsa. BERNAMA