suria

China Juara Bola Keranjang Asia Bawah 16 Tahun

JOHOR BAHARU: China meneruskan rentetan kemenangan pada kejohanan bola keranjang lelaki bawah 16 tahun Asia FIBA yang julung kali diadakan apabila muncul juara selepas mudah menewaskan Korea Selatan 104-69 pada perlawanan akhir malam tadi.

China jelas sekali gagal dicabar pemainpemain Korea dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu itu.

Gandingan penyerang China iaitu Guo Ailun dan Xu Tao gagal dihalang, berbeza dengan Korea apabila dua pemain harapan mereka Lee Jong Hyun dan Lee Dong Yeop gagal menyinar berikutan kelebihan ketinggian pemainpemain China.

"Itulah kelebihan pemainpemain China. Mereka cukup tinggi untuk menyekat manamana pasukan dalam kejohanan ini dan mereka juga ada kemahiran dan kerja sepasukan," kata jurulatih Iran, Abol Ghasem Kian.

Sementara itu, Iran mengubat kedukaan mereka tewas kepada Korea Selatan pada perlawanan separuh akhir semalam hanya dengan satu mata, dengan menundukkan Filipina 83-73 untuk menduduki tempat ketiga.

"Tempat ketiga lebih baik daripada tempat keempat," kata Abol.

Dalam perlawanan itu, Iran seperti akan tewas pada penghujung perlawanan sebenar apabila kedudukan terikat 71-71 dengan Filipina menguasai permainan tetapi gagal menyempurnakan jaringan walaupun memiliki peluang yang baik, dan keadaan tidak menjadi buat Filipina dalam masa tambahan.

Malaysia pula di tempat ke-11 daripada 12 negara yang bertanding selepas mencatatkan kemenangan 83-73 ke atas Bahrain semalam.

"Inilah yang terbaik kami dapat capai pada kejohanan ini. Kami menentang pasukan yang lebih handal dan tempat ke-11 adalah yang terbaik kami dapat lakukan," kata pengurus pasukan Sim Sin Heng. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain