suria

Acara Terjun Terus Menjadi Lubuk Emas Malaysia

VIENTIANE: Penerjun negara terus cemerlang di temasya Sukan SEA ke-25 apabila menyumbang dua lagi pingat emas disumbangkan dari acara itu hari ini yang berlangsung di Kolam Renang Kompleks Sukan Nasional di sini.

Pingat emas pertama negara diperolehi menerusi gandingan Pandalela Rinong dan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama wanita.

"Saya tidak memikirkan sangat soal saingan tetapi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persembahan saya," kata Pandalela yang berjaya meraih pingat emas kedua peribadinya.

Katanya beliau dan Mun Yee masih mempunyai ruang untuk meningkatkan lagi persembahan dengan darjah kesukaran yang lebih tinggi.

Secara keseluruhan, Pandalela berpuas hati dengan persembahan pada penampilan keduanya di Sukan SEA. "Sasaran saya untuk meraih dua pingat emas telah tercapai. Sebelum ini semasa di Korat, saya hanya menang satu pingat emas iaitu dalam acara 10m platform seirama," katanya.

Sementara itu, pingat emas kedua Malaysia daripada acara terjun diraih gandingan Yeoh Ken Nee dan Bryan Nickson Lomas dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki.

"Ini kali kedua kami bergandingan. Ada sedikit kelemahan kerana kami tidak sama berat badan tapi ini masih boleh diatasi.

Saya hanya menggantikan Rossharisham kerana dia berehat kerana baru menjalani pembedahan lutut," kata Bryan.

Esok, dua lagi acara terjun dipertandingkan pada hari terakhir saingan acara itu dan sandaran negara tertumpu kepada gandingan Mun Yee dan Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal seirama wanita.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam acara 10m platform lelaki. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Laos Hari Ini

Artikel Lain