suria

Sukarnya Mencari Emas Ke-30 Malaysia Di Hari Kelapan

VIENTIANE: Harapan Malaysia untuk meraih emas ke-30, sekali gus mencapai sasaran minimum bagi kontinjen Malaysia ke temasya ke-25 di sini tidak kesampaian apabila hanya dua pingat emas dikutip semalam, menjadikan kutipan keseluruhan 29 emas.

Pada hari kelapan semalam, Malaysia hanya sekadar meraih dua emas, tujuh perak dan enam gangsa menyebabkan kedudukan negara jatuh satu anak tangga dalam carta kutipan pingat keseluruhan temasya dan berada di tangga kelima dengan memungut keseluruhan 29 emas, 36 perak dan 51 gangsa.

Juara bertahan, Thailand masih utuh di tangga teratas dengan 61 emas, 68 perak dan 79 gangsa, diikuti rapat oleh Vietnam dengan 61 emas, 55 perak dan 47 gangsa.

Indonesia yang selama dua hari berturut-turut berada di tangga kelima di belakang Malaysia, kini melompat dua anak tangga, ke tangga ketiga dengan memungut 32 emas, 37 perak dan 60 gangsa sementara Singapura di tempat keempat dengan 32, 23, 33.

Tuan rumah, Laos pula kekal di tangga ketujuh, di bawah Filipina dengan mengutip 25, 16, 40.

Bermula dengan harapan kepada atlet wushu negara untuk meraih emas ke30 itu, sasaran tersebut beralih kepada acara menembak dan akhirnya, acara olahraga yang dijangka mampu memberikan emas yang diidam-idamkan namun gagal dicapai.

Dua atlet wushu kebangsaan Loh Jack Chang dan Chai Fong Ying, keduaduanya beraksi dalam acara Taijiquan dan Taijijian (lelaki dan wanita) menjadi penyelamat daripada kemarau emas pada hari kelapan temasya Sukan SEA ke-25 di sini yang berlangsung sejak 9 Disember lepas dan berakhir pada Jumaat ini.

Harapan bagi skuad menembak untuk meraih emas pertama tidak kecapaian selepas hanya mampu meraih dua perak menerusi acara individu dan berpasukan lelaki pistol rapid fire 25m.

Dalam acara individu, penembak kebangsaan Hasli Izwan Amir Hasan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 749.7 mata di belakang penembak dari Filipina Nathaniel Padilla yang mengumpul 753.2 mata.

Terdahulu, Hasli bersama-sama Hafiz Adzha dan Khalel Abdullah turut memperolehi pingat perak menerusi acara berpasukan lelaki.

Harapan terakhir Malaysia untuk meraih emas ke-30 menerusi acara 110m juga tidak tercapai selepas atlet sandaran negara, Mohd Robbani Hassan hanya mampu meraih pingat perak dengan catatan masa 14.05s.

Acara itu dimenangi Jamras Rittidet dari Thailand yang mencatat masa 13.89 saat sekali gus memperbaharui rekod kejohanan 13.91s yang dipegang oleh atlet Malaysia Rayzam Shah Wan Sofian semasa di Korat, Thailand, dua tahun lepas.

Hari ini, harapan untuk mengutip emas Malaysia tertumpu kepada acara akhir dalam sukan tinju, silat, badminton dan olahraga menerusi Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi).

Skuad bola sepak Malaysia pula diharap dapat menamatkan kemarau emas selama 20 tahun apabila bertemu Vietnam dalam acara akhir bola sepak lelaki pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di sini pada pukul 5 petang (6 pm di Malaysia). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain