suria

Vientiane Ucap Salam Perpisahan, Indonesia Tuan Rumah Sukan SEA 2011

VIENTIANE: Tuan rumah Sukan SEA ke-25, Laos mengucapkan selamat tinggal selepas sepuluh hari menjadi tumpuan lebih 3,000 atlet dari rantau Asia Tenggara dengan majlis penutupan sukan itu yang dilangsungkan di Stadium Nasional yang berkapasiti 20,000 orang di sini, malam tadi.

Dengan bertemakan mempromosi tradisi dan kebudayaan Laos, majlis penutup bermula pukul 6 petang waktu tempatan (7 petang waktu Malaysia) dengan perbarisan masuk para atlet dan pegawai kesemua kontinjen yang bertanding.

Selepas ucapan penutup oleh Perdana Menteri Laos, Bouasone Bouphavanh dan timbalannya, Somsavat Lengsavad yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur temasya dwitahunan itu di sini, Sukan SEA ke-25 secara rasminya ditutup diiringi dengan persembahan bunga api yang menerangi ruang angkasa Vientiane.

Sebaik bendera rasmi Sukan SEA diturunkan, Bouphavanh menyerahkan bendera itu kepada Presiden Majlis Olimpik Indonesia, Rita Subowo, yang akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-26 yang akan berlangsung pada 2011.

Laos yang menjadi tuan rumah buat kali pertamanya tahun ini kemudiannya menyajikan kepada para penonton elemen-elemen kebudayaan dan tradisi masyarakatnya menerusi persembahan kebudayaan yang dijayakan lebih 8,000 orang yang mengenakan pakaian tradisi mereka seperti tarian menuai padi, persembahan tarian tahun baru, tarian festival roket, festival lumba perahu dan gabungan persembahan cahaya dan bunyi.

Kemuncak majlis ialah upacara memadamkan obor kejohanan yang dinyalakan sejak sepuluh hari yang lepas.

Kontinjen Malaysia yang dianggotai 469 atlet dan pegawai yang menyertai 21 jenis sukan memenangi 40 pingat emas, 40 perak dan 59 gangsa untuk berada di kedudukan keempat keseluruhan dalam carta kedudukan pingat di kalangan negara-negara yang bertanding.

Perenang negara Daniel Bego yang menggondol lima pingat emas dan satu gangsa dipilih sebagai atlet lelaki terbaik Sukan SEA kali ini manakala perenang wanita Singapura, Quah Ting Wen dipilih sebagai atlet wanita terbaik selepas memenangi lima pingat emas, dua perak dan satu gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain