KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu lebih banyak kejayaan dicipta oleh atlet-atlet kebangsaan pada tahun depan, selepas meraih kejayaan di Sukan SEA Laos yang berjaya menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia.Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng berkata, pencapaian itu telah memberikan satu perspektif baru mengenai mutu sukan negara terutamanya kejayaan skuad bola sepak bawah 23 tahun kebangsaan menamatkan kemarau 20 tahun penantian untuk meraih emas. "Rasa puas dan gembira itu perlu kita teruskan ke tahun depan walaupun cabaran kali ini jauh lebih besar dan getir," katanya pada majlis penutupan Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 di sini hari ini.Beliau berkata, banyak lagi kejayaan boleh dicipta pada tahun depan yang padat dengan saingan sukan antarabangsa seperti Sukan Komanwel (India), Sukan Asia (China), Piala Thomas dan Uber (Malaysia), Sukan Olimpik Remaja (Singapura) dan Sukan Malaysia (Sukma)."Saya percaya konvensyen kali ini akan dapat membantu kita merencana dengan lebih baik untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang," katanya.Empat kertas kerja dibentangkan pada konvensyen itu termasuk oleh dua pakar dari luar negara iaitu Penasihat Prestasi, United Kingdom Sports Performance Solution, Simon Amor (Great Britain) dan Deputy of the Olympic Office of the Competitive Sport Bureau of the General Administration of Sports, Yuan Shoulong dari China."Ia pasti telah membuka minda peserta terhadap cabaran getir yang menunggu pada Olimpik 2012 dan bagaimana Great Britain bersedia untuk mengekalkan pencapaian 19 emas di Olimpik Beijing 2008."Selain itu, banyak yang boleh kita belajar dengan kejayaan China yang mengungguli Olimpik Beijing dengan 51 emas selain pencapaian atlet mereka setakat Ogos lepas yang memenangi 2,310 kejohanan di Olimpik, Piala Dunia, Kejohanan Dunia dan pelbagai acara antarabangsa yang lain selama ini."Malah atlet mereka juga telah mencatat 1,195 rekod dunia setakat ini dengan pendekatan negara Tembok Besar itu memusatkan tumpuan nasional terhadap pembangunan sukan elit," katanya.Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong ketika mengulas lanjut perkara itu berkata, MSN percaya dalam membangunkan sukan tanahair, negara tidak harus berpandukan kepada satu atau dua model sahaja."Banyak negara lain turut berjaya selain China namun apa yang perlu kita contohi adalah semangat, sikap dan kesungguhan setiap individu di negara itu selain kepakaran mereka di dalam sukan-sukan tertentu seperti terjun dan angkat berat."Namun kita tidak boleh mengikut sepenuhnya sistem mereka yang berbeza terutamanya dari segi bakat, kepakaran dan jumlah penduduk yang ramai," katanya.Mengulas mengenai konvensyen dua hari itu, Zolkples berkata, beliau berpuas hati kerana banyak tindakan telah diambil terhadap 100 resolusi yang dicadangkan melalui konvensyen tahun lepas."Namun banyak lagi yang perlu dipertingkatkan untuk mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan saya berharap enam jawatankuasa kecil yang bertanggungjawab terhadap 100 resolusi itu akan kembali berbincang untuk melancarkannya lagi," katanya.Konvensyen dua hari itu melibatkan penyertaan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berkaitan dengan sukan. - BERNAMA